LABUAN: Kira-kira 300 peserta telah menjayakan program Seminar Fiqh Kontemporari 2.0 anjuran Persatuan Mahasiswa Kewangan Islam (HE23), Fakulti Kewangan Antarabangsa Labuan (FKAL), UMSKAL pada 19 Oktober 2019.

Program seminar yang dianjurkan dengan kerjasama Jawatankuasa Kebajikan Mahasiswa (JAKMAS) ini bertemakan seminar dan motivasi bertujuan untuk memperkukuh pengetahuan masyarakat dan mahasiswa dalam kewangan Islam dan menyelesaikan persoalan daripada mahasiswa tentang kewangan Islam dan juga ibadah.

Seminar ini terbuka kepada seluruh masyarakat Labuan dan mahasiswa UMSKAL.

Program seminar yang diadakan di Dewan Kuliah 1, UMSKAL itu telah dirasmikan oleh Pensyarah Kanan program Kewangan Islam, Prof. Madya Dr. Hanudin Amin, yang mewakili Dekan FKAL, Prof. Madya Dr. Zaiton Osman.

Seminar ini telah dibahagikan kepada tiga slot iaitu Fiqh Ekonomi, Fiqh Wanita dan Fiqh Hiburan.

Slot pertama iaitu Fiqh Ekonomi telah disampaikan oleh Haji Razli Ramli yang merupakan Ketua Penasihat, Jabatan Perniagaan – Syariah di Islamic Banking and Finance Institute Malaysia (IBFIM), membincangkan Perbezaan Perbankan Konvensional dan Perbankan Islam serta mengupas lebih lanjut tentang isu kewangan semasa (berkaitan riba).

Slot Fiqh Wanita pula dikendalikan oleh Ustazah Shadiya Abbas yang membincangkan secara mendalam topik ibadah wanita, ‘shopping’ dan hal-hal dalaman wanita.

Slot Fiqh Hiburan berbentuk bual motivasi (Dakwah in Music) dan diserikan dengan persembahan nasyid telah disampaikan oleh Mohamad Fitri Mohamad Haris atau lebih dikenali sebagai Fitri Haris yang merupakan penasyid dan juara Gema Gegar Vaganza 2018.

Kehadiran anak-anak yatim dari Kompleks Anak Yatim Darul Kifayah, MAIWP memeriahkan lagi program kali ini.

Hadir sama Penyelaras Program Seminar Fiqh Kontemporari 2.0, Pg Mohd Faezul Fikri, Ketua Program Kewangan Islam (HE23) UMSKAL, Najwa Mohd Khalil dan beberapa pensyarah UMSKAL sendiri.

Pada masa yang sama, seminar ini mendapat sokongan daripada pelbagai pihak seperti Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) Labuan, Persatuan Harmoni UMSKAL, Kementerian Pelajaran dan Inovasi Sabah, Rancha-Rancha Aerated Water Co., Tabika Kemas, Nanas Sarawak dan pihak UMS sendiri yang menyumbang tenaga, kewangan dan sebagainya bagi memastikan kelancaran program tersebut.

Prof. Madya Dr. Hanudin Amin dalam ucapannya mengingatkan mahasiswa UMSKAL agar menimba lebih banyak ilmu serta yakin mereka akan memperoleh ilmu dan pengalaman yang sukar dilupakan sepanjang program Seminar Fiqh Kontemporari 2.0 berlangsung.

“Saya berharap program seperti ini akan diteruskan lagi pada masa akan datang kerana memberi manfaat dan pengetahuan kepada orang ramai,”katanya.

Sehubungan itu, beliau berharap dengan adanya program seperti ini akan memberikan pendedahan kepada masyarakat awam tentang hukum kontemporari berkaitan kewangan Islam, terutama kepada mahasiswa yang bakal menempuh alam pekerjaan yang menjurus kepada kewangan dan perbankan Islam, di samping dapat menambah ilmu pengetahuan mereka sebagai seorang Muslim.

Tamat.