LABUAN – Seramai 44 pelajar Tingkatan 3 Sekolah Menengah St Anthony (SAS) telah mengadakan lawatan sambil belajar sempena Program Pasca PT3 2019 ke Universiti Malaysia Sabah, Kampus Antarabangsa Labuan (UMSKAL) pada 21 Oktober 2019.

Ketua Guru Pengiring, Fauziah Henry yang juga Kaunselor SAS berkata antara tujuan lawatan itu ialah untuk mengetahui peluang-peluang untuk melanjutkan pelajaran ke IPTA dan program yang ditawarkan di UMSKAL.

Selain itu, beliau berharap menerusi lawatan itu pelajar dapat menyesuaikan dengan pemilihan elektif Tingkatan 4.

Selain Fauziah, dua lagi guru yang mengiringi pelajar ke UMSKAL ialah Roziah Abd Rahman dan Teng Chai Lin.

Tambah Fauziah, program itu juga bertujuan untuk memberi motivasi kepada pelajar untuk menyambung pengajian ke peringkat lebih tinggi.

“Menerusi taklimat dan lawatan tersebut, saya yakin ia akan menaikkan semangat kepada pelajar untuk terus belajar dengan azam untuk melanjutkan pengajian tinggi ke universiti khususnya ke UMS,”katanya ditemui selepas lawatan tersebut.

Sementara itu, Pengetua SAS, Dona Undoh berharap agar lawatan itu dapat membuka minda dan memberi motivasi kepada para pelajar untuk berusaha bersungguh-sungguh mencapai kecemerlangan.

“Saya berharap menerusi lawatan itu, pelajar Tingkatan Tiga akan dapat menggapai impian untuk meneruskan pengajian tinggi di IPTA khasnya di UMSKAL,”katanya ketika dihubungi, kelmarin.

Pada masa sama, tambah Dona menerusi lawatan itu ia akan memberi pendedahan kerjaya untuk memberi motivasi kepada pelajar yang terpilih sebagai sumber inspirasi untuk lebih cemerlang.

Sementara itu, taklimat mengenai UMSKAL disampaikan oleh Penolong Pegawai Tadbir, Mohizam Mohamad yang mewakili Timbalan Pendaftar Kanan UMSKAL, Zamri Haji Mohamad Tuah di Dewan Kuliah C, Bangunan Menara.

Sepanjang lawatan itu, pelajar dan guru diiringi serta diberikan taklimat oleh Mohizam dan Nor Atiqah Mustafa ke Aras 13 dan Makmal Fakulti Komputeran dan Informatik (FKI) di Tingkat 9.

“Kami ucapkan terima kasih kepada Pengarah UMSKAL, Prof Dr Murnizam Haji Halik yang sudi menerima kunjungan pelajar Tingkatan 3 yang bakal memasuki UMSKAL pada masa akan datang,”katanya.

Pelajar dan guru teruja ketika berada di Makmal FKI yang canggih dan moden selain terpesona dengan pemandangan menarik Wilayah Persekutuan Labuan yang dapat dilihat dari Aras 13 yang turut menempatkan Balai Cerapan.

UMSKAL kini menawarkan tujuh program iaitu lima di Fakulti Kewangan Antarabangsa Labuan (FKAL) dan dua program di FKI.

Pada akhir lawatan, Fauziah menyampaikan cenderamata kepada Nor Atiqah sebagai tanda kenang-kenangan.

Tamat.