LABUAN – Pemain dari Labuan telah membantu pasukan Wipers C muncul juara Kejohanan Bola Tampar Pantai Peringkat Kebangsaan 2019 yang diadakan di Pulau Tioman, Pahang pada 25-27 Oktober lalu.

Wipers C yang diwakili pasangan kembar, Al Basri Kuangkoy dan Al Rasid Kuangkoy menewaskan pasukan Bistro 21-10 dan 22-20.

Lebih membanggakan Al Rasid dinobatkan sebagai Pemain Terbaik kejohanan tersebut.

Manakala pasukan Wipers A yang diwakili Mohd Hazim Shah Abdul Rahman dan Muhammad Hamri Telso turut melakar kejayaan dengan menduduki tempat ketiga selepas mengalahkan Takek All Star 18-21, 21-17 dan 17-16.

Pengurus pasukan, Johann Junior Ong cukup gembira dan berbangga kerana kedua-dua pasukan itu diwakili pemain dari Labuan yang mewakili Wilayah Persekutuan ke kejohanan tersebut.

Katanya, kejayaan kedua-dua pasukan itu adalah hasil kegigihan pemain yang mendapat bimbingan daripada jurulatih berpengalaman, Ahmad Fadzly Abd Rahman dan pembantu jurulatih, Mohd Mazlan Ahmad serta jurulatih kecergasan, Midzmar@Adam Harun.

 Ahmad Fadzly dan Mazlan merupakan kakitangan Universiti Malaysia Sabah, Kampus Antarabangsa Labuan (UMSKAL) manakala Adam guru di Labuan International School (LIS).

Johann Junior tidak lupa mengucapkan terima kasih kepada Majlis Sukan Wilayah Persekutuan (MSWP) dan Persatuan Bola Tampar Wilayah Persekutuan Labuan (LAVA) yang memberikan peluang kepada pemain dari Labuan mewakili Wipers ke Kejohanan Bola Tampar Pantai Peringkat Kebangsaan 2019.

“Sudah tentu kejayaan tersebut meningkatkan motivasi pemain dari Labuan itu untuk terus berlatih bukan sahaja untuk mewakili Wilayah Persekutuan tetapi juga negara satu hari nanti,”katanya sambil mengucapkan terima kasih atas tunjuk ajar jurulatih, Ahmad Fadzly dan Mazlan.

Tamat.