LABUAN – Seramai 36 orang pelajar Tingkatan 2, 3 dan 4 SMK Agama Tun Sakaran, Semporna telah mengadakan lawatan sambil belajar ke Universiti Malaysia Sabah, Kampus Antarabangsa Labuan (UMSKAL) PADA 30 Oktober 2019.

Lawatan yang dinamakan sebagai Program Jejak Mahabbah Imtiyaz itu membabitkan 13 pelajar lelaki dan 23 pelajar perempuan yang pertama kali menjejakkan kaki ke Wilayah Persekutuan Labuan.

Ketua rombongan lawatan, Emilliana Amirullah, berkata pelajar–pelajar tersebut merupakan pelajar asrama yang cemerlang sekaligus memberikan penghargaan kepada mereka.

Tambahnya, tujuan program tersebut ialah untuk memberi pendedahan kepada pelajar tentang kemasukan ke universiti khususnya IPTA tempatan.

“Program itu juga bertujuan untuk mendedahkan budaya belajar dan persekitaran sekolah lain yang cemerlang,”katanya.

Tiga lagi guru yang turut mengiringi lawatan itu ialah Ustaz Mohammad Harmizi Tamjehi, Cikgu Mohd Amin Lahama dan Ustazah Siti Rafidah Sahaddin.

Beliau yang mewakili Pengetua SMKA Tun Sakaran, Ustaz Mohd Yahya Mohd Juda mengucapkan terima kasih atas kesudian pengurusan UMSKAL menerima lawatan tersebut.

“Kami ucapkan terima kasih kepada Pengarah UMSKAL, Prof Dr Murnizam Haji Halik yang sudi menerima kunjungan pelajar Tingkatan 2, 3 dan 4 yang bakal memasuki UMSKAL pada masa akan datang,”kata Emilliana lagi.

Selain UMSKAL rombongan sekolah itu turut melawat SM Sains Labuan yang terletak bersebelahan dengan Kampus UMS itu.

Sementara itu, taklimat mengenai UMSKAL disampaikan oleh Penolong Pegawai Tadbir, Mohizam Mohamad yang mewakili Timbalan Pendaftar Kanan UMSKAL, Zamri Haji Mohamad Tuah di Dewan Kuliah F, Bangunan Menara.

Sepanjang lawatan itu, pelajar dan guru diiringi serta diberikan taklimat oleh Mohizam dan Nor Atiqah Mustafa ke Aras 13 dan Makmal Fakulti Komputeran dan Informatik (FKI) di Tingkat 9.

Pelajar dan guru teruja ketika berada di Makmal FKI yang canggih dan moden selain terpesona dengan pemandangan menarik Wilayah Persekutuan Labuan yang dapat dilihat dari Aras 13 yang turut menempatkan Balai Cerapan.

UMSKAL kini menawarkan tujuh program iaitu lima di Fakulti Kewangan Antarabangsa Labuan (FKAL) dan dua program di FKI.

Tamat.