LABUAN – Atlet Universiti Malaysia Sabah, Kampus Antarabangsa Labuan (UMSKAL), Nazera Roslan meraih pingat perak dalam kategori perseorangan wanita di UNIMAS International Regatta 2019 yang diadakan di UNIMAS Lake pada 19 - 20 Oktober 2019.

Kontinjen UMSKAL yang diiringi dua kakitangannya, Jasri Japar dan Mohd Nazri Mohd Ibrahim turut membawa pulang tiga pingat gangsa iaitu masing-masing menerusi Chow Kai Xuan juga dalam kategori perseorangan wanita.

Nazera Roslan, 25 tahun membuktikan kehebatannya apabila meraih pingat gangsa bersama gandingannya Chow Kai Xuan, 22 tahun, bagi kategori beregu wanita.

Kecemerlangan Nazera semakin menyerlah apabila sekali lagi memperolehi pingat gangsa menerusi acara beregu campuran bersama pasangannya, Mohd Syazrin Mat Said, 22 tahun.

Selain Nazera Roslan, Chow Kai Xuan dan Mohd Syazrin pasukan UMSKAL turut disertai Gerard Umin Anak Ngadi 21 tahun.

Selain UMSKAL, kejohanan itu turut disertai Universiti Teknologi Mara Sarawak (UITM Sarawak), Universiti Brunei Darussalam (UBD), Universitas Tanjungpura (UNTAN) dan tuan rumah, Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS).

Jasri bagi pihak Ketua Sektor Sukan dan Rekreasi UMSKAL, Ahmad Fadzly Abd Rahman mengucapkan tahniah atas kejayaan atlet tersebut yang bukan sahaja memperolehi pingat perak dan gangsa tetapi juga mampu memberikan saingan sengit kepada atlet yang mewakili universiti tempatan dan luar negara.

“Semoga kejayaan itu akan terus menyuntik semangat mereka ketika beraksi di kejohanan peringkat kebangsaan dan antarabangsa pada masa akan datang,”katanya sambil mengucapkan terima kasih atas sokongan Pengarah UMSKAL, Prof Dr Murnizam Haji Halik terhadap penyertaan pasukan tersebut ke pertandingan bertaraf antarabangsa.

Jasri tidak lupa mengucapkan terima kasih kepada Pengarah Pusat Sukan UMS, Kota Kinabalu, Ahmadi Nurdin yang meluluskan peruntukan kewangan bagi membolehkan kontinjen UMSKAL menyertai kejohanan tersebut.

“Sokongan semua pihak dibalas dengan kejayaan atlet UMSKAL membawa pulang satu pingat perak dan tiga gangsa,”katanya.

Tamat.