LABUAN – Penganjuran Pesta Tamu Gadang 2019 Universiti Malaysia Sabah, Kampus Antarabangsa Labuan (UMSKAL) berjaya mengeratkan hubungan antara UMSKAL dengan warga Wilayah Persekutuan Labuan.

Ini dapat dibuktikan dengan sokongan padu bukan sahaja peserta malahan pengunjung yang datang setiap hari selama tiga hari pesta itu diadakan pada 15 hingga 17 November lalu.

Pengarah UMSKAL, Prof Dr Murnizam Haji Halik berkata kehadiran orang ramai termasuk kanak-kanak, belia dan warga emas selain pelajar dan kakitangan UMSKAL sendiri membuktikan Pesta Tamu Gadang sentiasa dinanti-nantikan oleh pelbagai pihak.

Malah peniaga tempatan turut bersyukur kerana menerusi program tahunan itu, mereka dapat menambah pendapatan sekaligus mampu menyara keluarga.

Pada masa sama, katanya, menerusi penganjuran program besar-besaran itu membolehkan pelajar menimba pelbagai ilmu dan pengalaman termasuk dari segi kepimpinan, pengurusan kewangan, komunikasi, kekuatan mental dan fizikal serta hubungan dengan pelbagai pihak termasuk agensi kerajaan, swasta dan badan bukan kerajaan (NGO).

“Inilah matlamat Penganjuran Pesta Tamu Gadang 2019 Universiti Malaysia Sabah, Kampus Antarabangsa Labuan (UMSKAL) untuk mengeratkan hubungan warganya dengan masyarakat setempat.

“Kewujudan UMSKAL sebagai satu-satunya IPTA di Wilayah Persekutuan Labuan juga diharap mampu menyuntik semangat pelajar Labuan untuk melangkah ke menara gading,”katanya.

Pelbagai program diadakan termasuk Bicara Santai, pertandingan Beyblade, Cutey Catz Gathering, The Ghost House, Futsal Terbuka Lelaki, Horse Riding, Kids Got Talent, Extravaganza Fitness, UMSKAL Talent Night, The Voice Labuan dan Graduate Night Run serta kira-kira 70 gerai jualan termasuk 30 gerai pelajar yang mengambil subjek Asas Pembudayaan Keusahawanan (APK) dari pukul 8 pagi hingga 11 malam.

Program yang pertama kali diadakan iaitu Bicara Santai yang menampilkan Mufti Negeri Perlis, Prof Madya Dato’ Dr Mohd Asri Zainul Abidin dan Naib Canselor UMS, Prof Datuk Chm Dr Taufik Yap Yun Hin berjaya menarik kira-kira 1,000 orang yang memenuhi Dewan Utama.

Beliau tidak lupa mengucapkan terima kasih kepada Ahli Jawatankuasa Penganjur yang diketuai Timbalan Pendaftar Kanan UMSKAL, Zamri Haji Mohamad Tuah, Pengarah Tamu Gadang 2019, Muhammad Lukman Malik, pegawai, kakitangan dan pelajar yang berusaha gigih memastikan Pesta Tamu Gadang UMSKAL 2019 berjalan lancar.

Ucapan terima kasih juga beliau tujukan kepada para penyumbang termasuk Kelab Suri Rumah dan Staf Wanita (Kesumba UMSKAL), Seri Wilayah Enterprise, Kelab Kebajikan dan Rekreasi UMSKAL (KAKAL), AZ Engineering, F.T. Maju Enterprise, Sejati Enterprise, Fizrix System Sdn Bhd dan Moorthy Mini Market.

Dewan Utama UMSKAL terus dipenuhi dengan warga Labuan yang berpusu-pusu untuk menyaksikan persembahan artis Atmosfera Band pada Malam Penutupan Tamu Gadang 2019 yang diserikan dengan cabutan bertuah yang menawarkan pelbagai hadiah menarik.

Selain acara hiburan dan kebudayaan, Tamu Gadang UMSKAL juga memberi ruang dan peluang kepada orang ramai untuk mendapatkan pelbagai jenis ilmu yang berkaitan akademik, sejarah, khidmat masyarakat, derma darah dan kesihatan.

Tamat.