LABUAN – Pasukan SMK Mutiara muncul johan kategori Lelaki Karnival Bakat Sukan Bola Tampar Pantai peringkat Wilayah Persekutuan Labuan 2019 yang diadakan di Gelanggang Bola Tampar Pantai UMSKAL pada 17 November 2019.

Pasukan sekolah itu yang diwakili Gabil Ghani dan Mohamad Ikram Shafie Tajeri menewaskan SMKL D yang dibarisi Mohd Ikhwan Monajah dan Ardiansyah Jimi 15-11, 12-115 dan 11-4 dalam aksi final yang menarik dan mendebarkan.

Tempat ketiga bersama pula dimenangi pasukan SMKL C dan LIS.

Manakala bagi kategori Wanita, juara menjadi milik pasukan LABVOC B yang diwakili Elly Nadhirah Safri dan Rozatul Ainol Athirah Amir menewaskan SMK Mutiara yang dibarisi Beverly Liew Hui Wen dan Sabrina Masnih 15-10 dan 15-9.

Pasukan LABVOC A dan SMKL A menduduki tempat ketiga bersama.

Sebanyak 12 pasukan lelaki dan 10 pasukan wanita menyertai program tersebut yang dikhususkan kepada pemain Bawah 18 Tahun.

Karnival Bakat Sukan Bola Tampar Pantai dianjurkan Majlis Sukan Wilayah Persekutuan (MSWP) manakala Persatuan Bola Tampar Labuan (LAVA) bertindak sebagai pengelola kejohanan dua hari itu.

Karnival tersebut turut mendapat kerjasama daripada Kelab Bola Tampar UMSKAL sempena penganjuran Pesta Tamu Gadang Universiti Malaysia Sabah, Kampus Antarabangsa Labuan (UMSKAL) 2019.

Ahli Parlimen Labuan, Datuk Rozman Isli menyampaikan hadiah kepada pemenang Karnival Bakat Sukan Bola Tampar Pantai 2019.

Turut hadir Pengerusi Persatuan Bola Tampar Labuan (LAVA), Abdul Samat Ismail dan Timbalan Pendaftar Kanan UMSKAL, Zamri Haji Mohamad Tuah.

Tamat.