LABUAN - Kampung Layang-Layangan sekali lagi menjadi tumpuan selepas program Karnival Mahabbah dan Sambutan Maulidur Rasul dilaksanakan di Masjid Jamek Layang-Layangan yang dianjurkan oleh Kelab Pembina Universiti Malaysia Sabah, Kampus Antarabangsa Labuan (UMSKAL) dengan kerjasama Jawatankuasa Masjid Jamek Layang-Layangan (MJLL) pada 24 November 2019.

Turut hadir Ketua Kampung Layang-Layangan, Faizal Haji Lakat, Ketua Imam Masjid Jamek Layang-layangan, Muhammad Shafie Abdul Ghani, Timbalan Pengerusi Masjid Jamek Layang-layangan, Haji Basaran Jamil, Ketua Penolong Mufti Wilayah Persekutuan Labuan, Ustaz Haji Mohamad Shukri Abdul Ghani dan Mudir Pondok Tampin, Negeri Sembilan, Syeikh Abd Raof Nurin al bahanji.

Pelbagai aktiviti telah dilaksanakan sepanjang sehari karnival tersebut berlangsung antaranya gerai jualan bagi menjana pendapatan peniaga kecil kampung, kempen derma darah, perarakan Maulidur Rasul, Ceramah, pertandingan azan, mewarna, fesyen islamik, memanah, dan ziarah Mahabbah.

Menurut Pengarah Program Karnival Mahabbah 2019, Islah Rasydan Salleh Ahamad Khairi. karnival ini yang julung kalinya diadakan dengan kerjasama Masjid Jamek Layang-Layangan adalah bagi mengimarahkan lagi kawasan masjid serta membuka peluang kepada semua warga Wilayah Persekutuan Labuan untuk sama-sama menjayakan karnival ini.

Pada karnival itu juga diadakan sesi Ziarah Mahabbah dengan bantuan jawatankuasa Masjid Jamek Layang-Layangan dan telah memilih 9 keluarga yang memerlukan bantuan sekaligus dapat meringankan beban mereka.

“Menerusi karnival itu, pelajar UMSKAL dapat mempelajari kehidupan di kampung sekaligus memasyarakatkan universiti dalam kalangan penduduk setempat,”kata Islah Rasydan Salleh.

Tambah beliau, program sebegini akan terus diadakan untuk merapatkan lagi hubungan baik antara pelajar UMSKAL dengan warga Wilayah Persekutuan Labuan.

Beliau turut mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang turut menjayakan program tersebut terutama AJK Masjid Jamek Layang-Layangan.

Tamat.