LABUAN - Asas Pembudayaan Keusahawanan (APK) Universiti Malaysia Sabah, Kampus Antarabangsa Labuan (UMSKAL) diadakan untuk mendedahkan kepada mahasiswa tentang kaedah pengurusan perniagaan yang berkesan dan sistematik.

Pengarah UMSKAL, Prof Dr Murnizam Haji Halik berkata pada masa sama pelbagai kemahiran diajar termasuklah kemahiran berniaga dan kemahiran berkomunikasi dengan pembekal dan pelanggan.

“Pelajar didedahkan dengan pengurusan dan strategi pemasaran. Inilah ruang dan peluang yang seharusnya direbut oleh pelajar ketika berada di UMSKAL selama tiga hingga empat tahun,”katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan program APK Fakulti Kewangan Antarabangsa Labuan (FKAL), Pusat Penataran ILmu dan Bahasa (PPIB) Jubilant Jamboree 2019 di Dewan Utama UMSKAL pada 15 November 2019.

Tambah beliau, program APK juga diadakan untuk membudayakan semangat keusahawanan dalam kalangan mahasiswa UMSKAL.

Turut hadir Penyelaras Program, Shamsulbahri Mohd Nasir yang juga Pensyarah FKAL bersama Nurul Izzati Abd Razak serta Penolong Pendaftar PPIB, Haji Taufik Abd Latif dan Pengarah Program, Harvint Thevadass.

Seramai 368 pelajar mengambil matapelajaran APK.

Terdapat 70 gerai jualan termasuk 30 gerai pelajar APK yang menyertai program APK 2019 yang diadakan sempena Penganjuran Pesta Tamu Gadang 2019 pada 15 – 17 November 2019.

Pelbagai barangan termasuk makanan dan minuman dijual pelajar sepanjang tiga hari program APK diadakan di hadapan Dewan Utama dan pekarangan Perpustakaan UMSKAL.

Gerai yang beroperasi dari pukul 8 pagi hingga 10 malam itu mendapat sambutan yang menggalakkan daripada pengunjung termasuk warga Wilayah Persekutuan Labuan selain pelajar dan kakitangan UMSKAL sendiri.

Tamat.