LABUAN – Pelajar Fakulti Kewangan Antarabangsa Labuan (FKAL), Universiti Malaysia Sabah, Kampus Antarabangsa Labuan (UMSKAL) turut bersama-sama menjayakan program belia ‘Youth Island Camp’ di Pulau Rusukan Besar, Wilayah Persekutuan Labuan pada 13 – 15 Disember 2019 yang lalu.

Program tersebut dianjurkan Ahli Parlimen Belia Labuan, Nazera Roslan dengan kerjasama Jabatan Belia dan Sukan Labuan, Persatuan Belia dan Beliawanis Kampung Sungai Lada (BELADA), Fakulti Kewangan Antarabangsa Labuan (FKAL, UMSKAL), Jabatan Laut Labuan dan Taman-taman Laut Labuan.

Timbalan Dekan Penyelidikan dan Inovasi FKAL, Dr. Sharinah Puasa, yang turut bersama-sama menjayakan program ini berkata program sebegini berperanan untuk melatih dan membentuk jati diri pemimpin dalam kalangan belia termasuk pelajar IPTA, sekaligus mempersiapkan negara untuk pelapis pemimpin masa hadapan.

“Kami di pihak universiti akan sentiasa menyokong aktiviti-aktiviti yang menyumbang ke arah pembangunan belia. Banyak pengetahuan dan pengalaman telah diperolehi pelajar FKAL sepanjang menyertai program tersebut,”katanya.

Tiga orang pelajar FKAL juga telah menyumbangkan masa dan tenaga sebagai urusetia program ini di samping meraih pengalaman dan kemahiran insaniah.

Dr. Sharinah mengucapkan terima kasih kepada Ahli Parlimen Belia Labuan, Nazera Roslan yang juga Alumni FKAL kerana turut membabitkan pelajar FKAL UMSKAL sekaligus menjalin kerjasama erat dengan pelajar IPTA dari seluruh negara yang mampu mempromosikan Pulau Rusukan Besar.

Program tersebut yang berkonsepkan kepimpinan dan survival telah dirasmikan oleh Pengarah Jabatan Belia dan Sukan Labuan, Mahanum Fauzi.

Seramai 35 orang belia yang berumur tidak lebih daripada 25 tahun yang kebanyakannya pelajar lepasan SPM menyertai program tiga hari itu.

Mereka dibahagikan kepada empat kumpulan oleh Kem Komandan, Abdul Mutalib bersama Ketua Fasilatator, Asrin Jairi yang memberi pendedahan mengenai kraf perkhemahan dan ikhtiar hidup, cara memasang khemah dan disediakan barang-barang dan keperluan untuk memasak sendiri.

Peserta turut dibawa mengelilingi pulau oleh pegawai Taman-taman Laut, Hamka dan Saharudin pada program kembara alam sekaligus mengenali hidupan di pulau dan sekitar Pulau Rusukan Besar.

Nazera bersama Nazatul Natasha mengendalikan program debat anak muda selain acara bakat muda dan gotong-royong membersihkan pulau.

Tamat.