LABUAN - Pelajar Fakulti Komputeran dan Informatik (FKI), Universiti Malaysia Sabah, Kampus Antarabangsa Labuan (UMSKAL) telah berkongsi ilmu Komunikasi Teknologi Maklumat (ICT) dengan penduduk di tujuh buah kampung di Wilayah Persekutuan Labuan menerusi program E-Komuniti.

Program E-Komuniti merupakan tugasan bagi subjek IT31103 Topik-topik dan Isu Semasa dengan penilaian markah 80%.

Penyelaras Program, Dr Wan Nooraishya Wan Ahmad berkata program itu melibatkan 85 pelajar tahun akhir yang memberi khidmat masyarakat berasaskan ICT kepada komuniti Labuan.

Katanya, ia dilaksanakan pada bulan Oktober hingga November (Sem 1) setiap tahun.

Tambah beliau, cara perlaksanaan ialah para pelajar dibahagikan kepada beberapa kumpulan dan setiap kumpulan akan memberi khidmat masyarakat kepada komuniti yang disasarkan.

“Projek dan kumpulan pelajar diselia oleh penyelia akademik,”katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Penutupan Program E-Komuniti Fakulti Komputeran dan Informatik (FKI) UMSKAL 2019 di Dewan Theatrette pada 17 Disember 2019.

Majlis penutupan program itu disempurnakan oleh Dekan FKI, Prof. Dr. Abdullah Gani.

Pelajar mengadakan Program E-Komuniti di tujuh buah kampung iaitu Kampung Pohon Batu, Kampung Bebuloh, Kampung Pantai, Kampung Patau-Patau 2, Kampung Sungai Lada, Kampung Sungai Miri dan Kampung Sungai Bedaun yang melibatkan seramai 192 orang penduduk kampung.

Dr Wan Nooraishya berkata program tersebut mampu memupuk kesedaran dan tanggungjawab sosial pelajar terhadap komuniti berdasarkan perkongsian ilmu ICT.

Selain itu, katanya, ia mengasah kemahiran insaniah pelajar dan berkongsi tujuan, ilmu, nilai dan pengalaman dalam bidang ICT dengan komuniti.

Sementara itu, Prof. Dr. Abdullah (gambar) berkata FKI menyediakan kemahiran ICT jangka panjang kepada komuniti.

Malah, katanya, menerusi Program E-Komuniti ia dapat menjana pendapatan sekaligus menaikkan taraf ekonomi dalam kalangan penduduk kampung menerusi ICT.

“Menerusi Program E-Komuniti ia dapat memperkenalkan kampung-kampung di Wilayah Persekutuan Labuan sebagai tarikan pelancongan kepada pelancong tempatan dan luar negara sekaligus dapat menjana ekonomi penduduk setempat,”katanya.

Pada majlis itu, projek E-Komuniti mengenai Kampung Pohon Batu dan Kampung Sungai Lada dipilih sebagai projek terbaik keseluruhan.

Prof. Dr. Abdullah turut menyampaikan sijil penghargaan kepada Ketua Kampung yang hadir sebagai tanda penghargaan atas kerjasama dan komitmen penduduk kampung dalam menjayakan Program E-Komuniti FKI 2019.

Beliau berharap hubungan penduduk kampung dengan pensyarah dan pelajar FKI yang melaksanakan Program E-Komuniti akan terus terjalin erat terutama dalam membantu komuniti menjayakan pelbagai program yang berkaitan ICT.

Turut hadir Ketua Kampung Bebuloh, Haji Abdul Samat, Ketua Kampung Pantai, Kamal @ Dino Sidek, Ketua Kampung Patau-Patau 2, Haji Asmat Saripan, Ketua Kampung Sungai Lada, Jali Mumin, Ketua Kampung Sungai Bedaun, Rosmani Puteh, Setiausaha Kampung Pohon Batu, Masri Ayong dan wakil Ketua Kampung Sungai Miri, Aiwan Haji Tuah.

Hadir sama Pensyarah-pensyarah FKI.

Tamat.