LABUAN – Pensyarah Kanan, Fakulti Kewangan Antarabangsa Labuan (FKAL), Universiti Malaysia Sabah, Kampus Antarabangsa Labuan (UMSKAL), Prof Madya Dr Mohamad Rizal Abdul Hamid dilantik sebagai Dekan FKAL yang baharu yang berkuatkuasa 1 Januari 2020 hingga 31 Disember 2021.

Mohamad Rizal menggantikan Prof Madya Dr Zaiton Osman yang memegang jawatan Dekan FKAL pada 1 Disember 2017 sehingga 31 Disember 2019.

Dr Zaiton, 44 tahun, kembali bertugas di Fakulti Perniagaan, Ekonomi dan Perakaunan Kampus UMS Kota Kinabalu.

Dalam ucapan ringkasnya, Mohamad Rizal, 43 tahun berharap akan mendapat kerjasama yang mantap daripada kakitangan akademik dan kakitangan pentadbiran FKAL.

Beliau yakin kerja berpasukan yang telah diamalkan fakulti itu sejak sekian lama akan diteruskan bagi memastikan FKAL terus cemerlang dalam pelbagai bidang terutama akademik, penyelidikan, inovasi dan hal ehwal pelajar.

“Saya memerlukan komitmen dan kerjasama yang padu daripada semua kakitangan akademik dan kakitangan pentadbiran bagi memastikan FKAL terus cemerlang pada tahun-tahun akan datang,”katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Penyerahan Nota Serah Tugas Dekan FKAL yang baharu di Bilik Seri Menanti, Bangunan Menara UMSKAL pada 14 Januari 2020.

Mohamad Rizal yang merupakan pensyarah bagi program HE21 Pemasaran Antarabangsa pernah dilantik sebagai Timbalan Dekan Penyelidikan dan Inovasi FKAL pada 1 Jun 2016 sehingga 31 Mei 2018.

Beliau tidak lupa mengucapkan terima kasih kepada Naib Canselor UMS, Professor Datuk Dr. Taufiq Yap Yun Hin yang memberikan kepercayaan kepada beliau memegang jawatan Dekan FKAL untuk tempoh dua tahun akan datang.

Sementara itu, Dr Zaiton merakamkan ucapan terima kasih dan penghargaan kepada semua warga FKAL atas kerjasama yang diberikan sepanjang dua tahun beliau memegang jawatan Dekan fakulti tersebut.

Turut hadir Timbalan-timbalan Dekan, Prof Madya Dr Lee Hock Ann (Akademik dan Antarabangsa). Dr Sharinah Puasa (Penyelidikan dan Inovasi) dan Dr Suzillah Sidek (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni).

Hadir sama pensyarah dan kakitangan pentadbiran FKAL.

Tamat.