LABUAN – Kira-kira 100 kakitangan telah menghadiri Majlis Perjumpaan Naib Canselor Universiti Malaysia Sabah (UMS), Prof Datuk ChM. Dr Taufiq Yap Yun Hin bersama warga UMS Kampus Antarabangsa Labuan (UMSKAL), di Dewan Theatrette pada 29 Januari 2020.

Turut hadir Pengarah UMSKAL, Prof Dr Murnizam Haji Halik dan Timbalan Pendaftar Kanan UMSKAL, Zamri Mohamad Tuah.

Majlis yang julung kalinya diadakan itu bertujuan untuk memberi ruang dan peluang kepada Prof Datuk ChM. Dr Taufiq Yap Yun Hin menyampaikan dasar-dasar UMS kepada warga UMSKAL yang terdiri daripada pegawai, pensyarah dan kakitangan sokongan.

Beliau berharap warga UMSKAL akan terus menjalankan tugas dan amanah dengan penuh tanggungjawab yang akhirnya akan memberi manfaat kepada universiti.

“Kita mesti komited menjalankan tugas yang diamanahkan dan memberikan perkhidmatan yang terbaik kepada pelajar dan masyarakat di Wilayah Persekutuan Labuan,”katanya.

Terdahulu, Prof Datuk ChM. Dr Taufiq Yap Yun Hin mengadakan perjumpaan bersama pengurusan UMSKAL yang diketuai Prof Dr Murnizam Haji Halik dan Zamri Mohamad Tuah di Bilik Seminar Kiamsam.

Hadir sama pada perjumpaan itu ialah Dekan Fakulti Kewangan Antarabangsa Labuan (FKAL), Prof Madya Dr Mohamad Rizal Abdul Hamid.

Pada sebelah petang, Prof Datuk ChM. Dr Taufiq Yap Yun Hin meninjau kemudahan di kolej kediaman pelajar, Dewan Kuliah Pusat (DKP) dan Perpustakaan.

Beliau berharap semua kemudahan tersebut dapat dijaga dengan baik manakala pihak pengurusan UMS akan berusaha menambahbaik dan menaiktaraf beberapa lagi kemudahan termasuk lif untuk digunakan oleh pelajar, kakitangan dan pelawat universiti.

Prof Datuk ChM. Dr Taufiq Yap Yun Hin ketika menyampaikan ucapan kepada warga UMSKAL berharap mereka akan bekerja dengan gembira, mengamalkan sikap toleransi, hormat-menghormati, berakhlak mulia dan sentiasa membantu antara satu sama yang lain.

Pada masa sama, beliau mahu pensyarah menghasilkan penerbitan dan penyelidikan yang terbaik dan dapat dikongsi dengan pihak lain sekaligus membantu memperkenalkan UMS ke peringkat lebih tinggi.

“Ahli akademik juga perlu menjalinkan hubungan yang baik dengan universiti antarabangsa termasuk menghadiri persidangan atau seminar yang berkualiti,”katanya.

Beliau juga mengingatkan warga universiti agar tidak berkongsi atau menyebarkan maklumat yang tidak sahih yang hanya akan menyusahkan diri dan universiti secara keseluruhannya.

Prof Datuk ChM. Dr Taufiq Yap Yun Hin juga memuji usaha UMSKAL mewujudkan Pusat Autisme Labuan yang dapat membantu golongan yang memerlukan sekaligus membuktikan keprihatinan kita terhadap masyarakat di Wilayah Persekutuan Labuan.

“Sebagai sebuah gedung ilmu, kita kena prihatin dengan keperluan masyarakat di sekeliling kita. Penubuhan Pusat Autisme Labuan di UMSKAL telah memberikan kesan yang mendalam kepada ibu bapa terbabit,”katanya yang hanya mahu menubuhkan pusat tersebut di UMS Kota Kinabalu.

Tamat.