LABUAN - Pengarah Universiti Malaysia Sabah Kampus Antarabangsa Labuan (UMSKAL), Prof Dr Murnizam Haji Halik sentiasa menghargai peranan, sumbangan dan kemahiran kakitangan universiti itu.

Ketika berucap pada Majlis Penghargaan Pengarah UMSKAL, beliau berkata semua perubahan yang dilakukan sejak beliau menjalankan tugas pada 2014, adalah kerana komitmen dan kerjasama serta sumbangan semua kaktangan.

Justeru itu, beliau menambah, perubahan dari segi pembangunan fizikal yang dapat dilihat dan digunapakai oleh semua kakitangan dan pelajar adalah untuk memastikan kebajikan warga UMSKAL sentiasa diberi perhatian.

“Sebagai contoh, kita ubahsuai Aras 11 menjadi kafetaria Kesumba yang memberi manfaat kepada kakitangan dan pelajar UMSKAL.

“Saya hargai sumbangan semua kakitangan yang bersama-sama menjalankan tugas masing-masing dengan baik sepanjang perkhidmatan saya sebagai Pengarah UMSKAL sejak 2014,”katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penghargaan Pengarah UMSKAL di Bilik Sri Menanti, Bangunan Menara pada 31 Januari 2020.

Prof Dr Murnizam menamatkan tempoh perkhidmatannya pada 31 Januari 2020 selepas berkhidmat selama enam tahun di UMS Labuan.

Pada majlis itu, beliau menarima cenderamata daripada Timbalan Pendaftar Kanan UMSKAL, Zamri Mohamad Tuah sebagai tanda kenang-kenangan dan penghargaan atas khidmat bakti beliau membangunkan kampus tersebut.

Turut hadir Dekan Fakulti Kewangan Antarabangsa Labuan (FKAL), Prof Madya Dr Mohamad Rizal Abdul Hamid, Ketua-ketua Sektor, pensyarah dan kakitangan sokongan.

Prof Dr Murnizam bersama-sama kakitangan yang hadir turut memotong kek sebagai simbolik penghargaan warga UMSKAL kepada beliau.

Pada masa sama, beliau berharap semua kakitangan akan meneruskan komitmen dan kerjasama kepada pengganti beliau kelak.

Beliau turut berkongsi kegembiraan atas penghargaan yang diterima UMSKAL termasuk dalam bidang kewangan, eco campus dan penjimatan selain sukan.

“Semua anugerah yang UMSKAL terima adalah hasil kerja keras dan sumbangan semua kakitangan.

“Saya berharap semua kakitangan termasuk pegawai dan pensyarah akan terus menjalankan tugas serta memberikan sumbangan yang memberi manfaat kepada universiti,”katanya dilihat sebak ketika memohon maaf kepada kakitangan yang hadir.

Sementara itu, Zamri ketika berucap mewakili semua kakitangan mezahirkan ucapan terima kasih dan penghargaan atas khidmat bakti dan sumbangan Prof Dr Murnizam sebagai Pengarah UMSKAL sejak 2014.

“Banyak kenangan manis dapat dikecapi kakitangan bersama Prof Dr Murnizam sebagai Pengarah UMSKAL sejak 2014.

“Banyak usaha dan idea beliau menampakkan hasil yang akhirnya dinikmati kita semua dan pelajar,”katanya.

Beliau mendoakan selamat maju jaya kepada Prof Dr Murnizam yang akan kembali menabur bakti di Kampus Induk UMS di Kota Kinabalu.

Tamat.