LABUAN - Pendaftar Universiti Malaysia Sabah (UMS), Vina Zahriani Yusof @ Vina Joseph telah menghadiri Majlis Ramah Mesra Pendaftar UMS Bersama Kakitangan UMS Kampus Antarabangsa Labuan (UMSKAL) di Dewan Theatrette pada 11 Februari 2020.

Rombongan Pendaftar UMS itu turut disertai Ketua Bahagian Sumber Manusia, Masri Judah, Ketua Bahagian Pengurusan Kualiti, Norti Sirin, Ketua Bahagian Pentadbiran dan Governan, Sharifah Ismail dan Ketua Bahagian Keselamatan, Lt Kol (B), Talib Ariffin.

Turut hadir Timbalan Pendaftar Kanan UMSKAL, Zamri Mohamad Tuah, Penolong Pendaftar Kanan, Mas Adi Alimin dan Ketua-ketua Sektor.

Kira-kira 100 kakitangan pentadbiran UMSKAL mendengar taklimat dan bersoal jawab bersama Vina.

Dalam ucapannya, Vina mahu semua kakitangan mengadakan pelbagai program dan aktiviti yang menyeronokkan, menjaga kesihatan dan makanan yang mampu menghilangkan tekanan selepas bekerja seharian di pejabat.

Tambahnya, aktiviti dan program yang dijalankan itu mestilah yang mampu meningkatkan kegembiraan, diadakan secara santai dan mengukuhkan ukhuwah dalam kalangan warga UMSKAL.

“Pada hari Jumaat pula, saya mahu kita mengadakan pelbagai program dan aktiviti yang berbentuk keagamaan sama ada yang bergama Islam mahupun bukan Islam.

“Manakala pada hari Rabu, buatlah aktiviti riadah dan sukan bagi memastikan kakitangan UMS sihat, cergas dan cerdas,”katanya pada sesi dialog bersama kakitangan UMSKAL.

Pada majlis itu, Vina juga mahu kakitangan sentiasa menjaga disiplin sekaligus menjaga nama baik UMS seperti mana yang diharapkan Naib Canselor UMS, Prof Datuk ChM. Dr Taufiq Yap Yun Hin.

“Kita kena bekerja untuk manfaat dan kebahagian orang lain terutama pelanggan UMS,”katanya.

Pada akhir majlis, Zamri menyampaikan cenderamata kenangan kepada Vina serta sesi bergambar bersama kakitangan UMSKAL.

Tamat.