LABUAN: Gabungan pelajar, alumni dan pensyarah dari Universiti Malaysia Sabah Kampus Antarabangsa Labuan (UMSKAL) telah menyertai mini marathon kayak sempena sukan Hari Wilayah Persekutuan yang berlangsung di di Kompleks Sukan Laut Antarabangsa Labuan, Tanjung Purun, Wilayah Persekutuan Labuan pada 8 Februari 2020.

Mini marathon ini merekodkan jarak sejauh 7 kilometer dengan 3 kategori, iaitu mix double, men double dan men single yang berkayak dari pukul 7 pagi hingga 2 petang.

Jumlah keseluruhan penyertaan pada tahun ini mencecah 56 orang yang membabitkan 33 pasukan.

Timbalan Dekan Penyelidikan Dan Inovasi Fakulti Kewangan Antarabangsa Labuan (FKAL) UMSKAL Dr. Sharinah Puasa, yang juga merupakan ahli Persatuan Kanu UMSKAL dan ahli Persatuan Kanu Labuan (PKL) telah menyertai kategori mix double, diikuti dua pelajar dan 1 alumni UMSKAL.

Dr. Sharinah Puasa berkata, penyertaan kali ini merupakan platform pencetus semangat bagi persiapan untuk Labuan Round Island 2020 yang dijangka akan berlangsung pada bulan Jun 2020 nanti.

Kategori mix double telah dimenangi oleh pasukan dari PKL iaitu Situ Emma Talip dan Muhammad Sahpri Tanin.

Manakala kategori men double dimenangi oleh Freddy Anggang dan Md. Azizi Shafie Hj. Md. Khudzairi daripada Persatuan Pendayung Sabah.

Kategori men single pula dimenangi oleh Ariffin Haji. Zainal dari Brunei Darussalam.

Pengerusi PKL, Md. Yunus Md. Waidin berkata, sambutan penyertaan mini marathon kali ke-2 anjuran PKL dgn kerjasama Perbadanan Labuan, Jabatan Belia dan Sukan dan Kementerian Pelancongan ini semakin mendapat penyertaan dalam kalangan penggiat sukan kayak.

“Kami di pihak penganjur berharap agar penyertaan ini meningkat dari tahun ke tahun dan kami juga merancang untuk menambah kategori women single pada masa hadapan,”katanya.

Majlis pelepasan peserta kayak disempurnakan oleh Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Abdul Samad.

Turut mengiringi beliau ialah Pengarah Jabatan Belia dan Sukan Labuan, Mahanum Fauzi dan pegawai kanan Perbadanan Labuan.

Tamat.