LABUAN - Universiti Malaysia Sabah, Kampus Antarabangsa Labuan (UMSKAL) telah menangguhkan penerbangan balik pelajar antarabangsa dari China ke Wilayah Persekutuan Labuan yang sepatutnya memulakan pengajian mereka pada minggu ini.

Pengarah Universiti Malaysia Sabah, Kampus Antarabangsa Labuan (UMSKAL), Profesor Dr. Jualang @Azlan Abdullah Gansau (gambar) bagaimanapun berkata pelajar tersebut masih boleh mendaftar dan mengikuti pembelajaran secara dalam talian ‘online’ atau digital selaras dengan revolusi industri RI 4.0.

Pada masa sama, katanya, pendaftaran semester dan pembelajaran kuliah berjalan seperti biasa.

Katanya, penangguhan pelajar dari China itu adalah inisiatif pengurusan UMSKAL dengan kerjasama Fakulti Kewangan Antarabangsa Labuan (FKAL) dan Fakulti Komputeran dan Informatik (FKI) serta pelajar itu sendiri.

“Inisiatif ini diambil bagi mengelak kemungkinan berlakunya penularan virus novel koronavirus 2019 atau CoV-2019.

“Pelajar dari China itu masih boleh mengikuti pengajian dan pembelajaran serta pendaftaran secara online,”katanya menerusi satu kenyataan di pejabatnya di Aras 13, Bangunan Menara UMSKAL.

Profesor Dr. Jualang berkata inisiatif itu juga diambil bagi mengelak penularan virus tersebut dalam kalangan warga UMSKAL dan masyarakat tempatan selepas pelajar tersebut balik ke kampung halaman untuk meraikan Tahun Baru Cina.

Pada ketika ini terdapat dua orang pelajar sedang mengikuti pengajian mereka di FKAL dan seorang lagi di FKI.

Profesor Dr. Jualang juga menasihatkan warga UMSKAL supaya mendapatkan maklumat rasmi daripada saluran media sosial rasmi Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengenai COVID-19.

Tamat.