LABUAN - Pengarah Universiti Malaysia Sabah, Kampus Antarabangsa Labuan (UMSKAL), Profesor Dr. Jualang @Azlan Abdullah Gansau telah menghadiri  Majlis Menandatangani Surat Hasrat (LOI), yang pertama di antara Fakulti Kewangan Antarabangsa Labuan (FKAL) dan Neurogine Group of Companies sertta SMK Rancha-Rancha di Bilik Eureka Bangunan Menara UMSKAL pada 26 Februari 2020.

Pada majlis itu, Profesor Dr. Jualang menyaksikan Dekan FKAL, Profesor Madya Dr. Mohamad Rizal Abdul Hamid menandatangani Surat Hasrat dengan Owen Chen Chee Onn, CEO Neorogine Group of Companies dan Sahnuddin Ariffin, Penolong Kanan Kurikulum SMK Rancha-Rancha.

Turut hadir Timbalan Pendaftar Kanan UMSKAL, Zamri Mohamad Tuah dan Dan Chooi, Vice President Neorogine Group of Companies.

Hadir sama Timbalan-timbalan Dekan FKAL, Prof Madya Dr Lee Hock Ann, Dr Sharina Puasa dan Dr Suzillah Sidek serta Zaharah Mat Jali, Ketua Bidang Bahasa SMK Rancha-Rancha.

Dalam ucapannya, Prof Madya Dr Mohamad Rizal berkata usaha untuk mendidik pelajar institusi pengajian tinggi seperti UMS dalam era Revolusi Industri 4.0 kini adalah satu tugas yang amat mencabar.

Dalam era revolusi industri 4.0, kaedah pembelajaran dan pengajaran (P&P) perlu cepat berubah agar ia sentiasa bersesuaian dengan perubahan teknologi yang pantas.

Pensyarah dan pelajar perlu berubah dan menerima pakai kaedah P&P yang melandaskan kendiri, fleksibel, berpusatkan pelajar dan sepanjang hayat.

Katanya, kaedah yang diperlukan adalah sistem yang bukan sahaja mampu melahirkan pelajar yang mampu belajar sepanjang hayat tetapi mempunyai kemahiran yang menyeluruh yang dapat menyediakan mereka untuk menangani perubahan yang pantas di dunia industri.

“Justeru itu, saya amat berbangga bahawa Fakulti Kewangan Antarabangsa Labuan dan Neurogine Group akan menjalinkan hubungan kerjasama dalam aktiviti akademik dan melanjutkan kerjasama ini demi kepentingan masyarakat,”katanya.

Tambah Prof Madya Dr Mohamad Rizal, untuk meningkatkan keupayaan pengajaran dan pembelajaran, FKAL berhasrat untuk bekerjasama dalam aktiviti berikut iaitu Neurogine Group akan menawarkan peluang latihan industri kepada pelajar tahun akhir Fakulti.

Katanya, Neurogine Group menawarkan peluang pekerjaan kepada alumni Fakulti manakala Fakulti menawarkan staf Neurogine Group dengan peluang untuk melanjutkan pengajian di Fakulti (tertakluk kepada syarat kemasukan minimum).

“FKAL dan Neurogine Group akan bekerjasama dalam mana-mana bidang lain yang akan dipersetujui oleh kedua-dua pihak,”katanya.

Selari dengan hasrat Pelan Pendidikan Pembangunan Malaysia 2013-2025, untuk melahirkan modal insan yang holistik, pihak FKAL tidak hanya menitikberatkan kecemerlangan akademik mahasiswa tetapi juga memandang serius akan hal-hal yang melibatkan kecemerlangan sahsiah dan kemandirian mahasiswa.

Justeru itu, fakulti berhasrat untuk menjalinkan kerjasama dalam program yang berbentuk akitiviti sukan, sosial dan kemasyarakatan bersama-sama dengan SMK Rancha-Rancha.

“Saya percaya LOI ini akan memberi impak kepada FKAL bukan sahaja dari segi latihan industri, pengambilan pelajar Pascasiswazah, kebolehpasaran graduan (GE) dan pengalaman industri dalam kalangan staf akademik, malah turut membantu membentuk personaliti dan sahsiah terpuji mahasiswa dan ahli universiti,”katanya.

Sementara itu, Owen Chen Chee Onn berkata Neurogine Group, yang ditubuhkan pada tahun 2014, adalah pembekal penyelesaian kewangan teknologi perbankan mudah alih dan penyedia perkhidmatan mudah alih di Asia Timur dan Asia Pacific untuk memenuhi keperluan dan strategi perniagaan daripada bank, institusi kewangan, kerajaan, syarikat multinasional dan sebagainya.

Katanya, teknologi perbankan bergerak dan mudah alih yang disediakan oleh Neurogine Group telah digunakan oleh 160 bank utama di 34 wilayah dan lebih daripada 4 juta peniaga di China.

“Perkhidmatan Neurogine Group juga diguna pakai oleh bank dan peniaga di ASEAN seperti Kemboja dan Thailand,”katanya.

Sementara itu, Sahnuddin Ariffin yang mewakili Pengetua SMK Rancha-Rancha, Yahya Ahmad Puteh berkata sekolah itu yang baharu ditubuhkan pada tahun 2014 telah banyak mencapai kecemerlangan tidak hanya di peringkat negeri malah di peringkat kebangsaan.

SMK Rancha-Rancha pernah mendapat Anugerah Etnik Kreatif Festival Kesenian Murid Malaysia, 2016 dan meraih pingat Emas dalam Festival Kesenian Murid Malaysia, 2018 anjuran Kementerian Pendidikan Malaysia.

Sahnuddin berkata kerjasama ini juga turut melibatkan aktiviti-aktiviti seperti FKAL menyumbang tenaga kerja dari segi kepakaran dan penyediaan kemudahan/fasiliti melalui program pemindahan pengetahuan dan kemahiran.

Selain itu, FKAL bersedia untuk menawarkan peluang melanjutkan pengajian di fakulti kepada kakitangan SMK Rancha-Rancha (tertakluk kepada syarat kemasukan universiti minimum).

“SMK Rancha-Rancha dan FKAL akan bekerjasama dalam usaha membentuk jati diri dan kepimpinan dalam kalangan pelajar melalui aktiviti/program seni orator, sukan, sosial dan kemasyarakatan,”katanya.

Manakala program Bicara Pendeta yang akan diadakan dalam bulan Mac ini yang melibatkan pelajar-pelajar SMK Rancha-Rancha dan Mahasiswa FKAL.

“SMK Rancha-Rancha dan FKAL bersetuju untuk bekerjasama dalam pelbagai bidang yang berkaitan termasuklah penyelidikan, pemantapan belia, sukan dan kemasyarakatan,”katanya penuh harapan.

Tamat.