LABUAN - Program Seminar Sifat Solat Nabi Tahun 2020 (SSSN) telah diadakan di Dewan Theatrette, Universiti Malaysia Sabah Kampus Antarabangsa Labuan (UMSKAL) pada 29 Februari 2020.

Program yang diadakan dari pukul 8.30 pagi hingga 4.30 petang itu dianjurkan     Persatuan Mahasiswa Fakulti Kewangan Antarabangsa Labuan dengan kerjasama Belia HARMONI Labuan.

Kira-kira 170 orang peserta menghadiri program yang dianjurkan buat pertama kali itu.

Solat merupakan tiang di dalam agama Islam. Seruan solat merupakan kefarduan kepada mereka yang bergelar muslim, yang baligh dan berakal sebagai salah satu pra-syarat amal kebaikan lain diterima Allah Azza wa jalla.

Justeru, usaha menyedarkan kepentingan solat di samping memperbaiki dan menambah baik mutu solat perlu ditekankan bagi mengukuhkan tiang agama ini dalam setiap yang bergelar muslim.

Seminar “Sifat Solat Nabi” merupakan program bermula daripada awal pagi sehingga petang yang disampaikan oleh Ustaz Muhammad Fahmi Rusli, Pegawai Hal Ehwal Islam, Unit Buhuth (Penyelidikan), Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan.

Penyelaras program SSSN, Nurul Izzati Abd Razak berkata sasaran awal peserta adalah seramai 150 orang, tetapi yang hadir sangat memberangsangkan iaitu seramai 170 orang peserta terdiri daripada mahasiswa dan kakitangan UMSKAL, serta masyarakat Labuan yang dahagakan ilmu.

Majlis penutupan disempurnakan oleh Dr Suzillah Sidek, Timbalan Dekan Fakulti Kewangan Antarabangsa Labuan.

Turut hadir pada majlis itu ialah Pengarah Program, Muhammad Nur Aiman Ahmad Yunus, wakil Persatuan Mahasiswa Kewangan Antarabangsa Labuan, Muhammad Aqil Ahmad dan Pengerusi Belia Harmoni Labuan, Mohd Nadzri Mohammad.

Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) diwakili oleh Ustaz Mohd Nasir Misi, Pertubuhan IKRAM Malaysia Cawangan Sabah diwakili oleh Dr Mohd Hafizuddin Ahmad dan Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (PERKIM) Cawangan Labuan diwakili oleh Ustaz Azzif Anuwar selaku Pengerusi PERKIM Cawangan Labuan merupakan tetamu yang menjadi penyumbang kepada program tersebut.

Penceramah seminar itu ialah Ustaz Muhammad Fahmi Rusli, Pegawai Hal Ehwal Islam, Unit Buhuth (Penyelidikan), Mufti Wilayah Persekutuan.

Nurul Izzati berkata objektif program itu ialah memberi kesedaran mengenai kepentingan memperbaiki dan menambah baik ibadah solat.

Selain itu, memberi pendedahan mengenai keluasan pandangan di dalam fiqh Solat bertepatan dengan pandangan yang muktabar menurut Ahlul Sunnah Wal Jamaah.

“Ia juga untuk membentuk kesedaran menguatkan hubungan dengan Allah secara tidak langsung memelihara hubungan sesama manusia,”katanya ditemui selepas majlis penutupan program tersebut.

Sementara itu, antara peserta yang memberikan respon terhadap penganjuran seminar itu ialah walaupun tajuk agak biasa didengari (Seminar Solat), tetapi pengisian lebih berilmiah dan lain daripada yang lain.

Mereka juga berharap semoga program seperti ini dapat diperbanyakkan buat kami warga Labuan kerana ianya sangat memberi manfaat kepada masyarakat yang dahagakan ilmu.

Tamat.