LABUAN – Pasukan UMSKAL FC menewaskan pasukan Veteran Oldtimer 3-1 pada perlawanan bola sepak persahabatan yang diadakan di Padang UMSKAL pada 11 Mac 2020.

Gol-gol UMSKAL FC dijaringkan Syahrulnidzam Wahanin, Dr Suddin Lada dan Che Razali Che Muda.

Manakala gol saguhati Veteran Oldtimer dijaringkan Johan Sinau.

Menurut jurulatih UMSKAL FC, Asmawi Awang pasukannya akan mengadakan lebih banyak perlawanan persahabatan bagi menguji keserasian anak buahnya.

Katanya, pasukan UMSKAL FC yang diketuai ketua pasukan, Yusdi Lamat masih mencari rentak permainan sebelum boleh menyertai pertandingan yang lebih besar sama ada di peringkat UMS mahupun Wilayah Persekutuan Labuan.

“Lebih banyak perlawanan persahabatan akan diadakan dengan agensi kerajaan, swasta dan kelab bola sepak di Wilayah Persekutuan Labuan,”katanya ditemui selepas tamat perlawanan.

Sementara itu, pengurus pasukan, Mohd Abdullah Manggul, berkata perlawanan itu juga diadakan untuk mengeratkan hubungan baik yang sedia terjalin antara UMSKAL dengan kelab bola sepak di Wilayah Persekutuan Labuan seperti mana yang dihasratkan Pengarah UMSKAL, Profesor Dr Jualang @ Azlan Abdullah Gansau dan Timbalan Pendaftar Kanan UMSKAL, Zamri Haji Mohamad Tuah.

Pada masa sama, tambah Abdullah menerusi perlawanan itu juga akan memantapkan pasukan UMSKAL FC yang terdiri daripada pensyarah, kakitangan pentadbiran dan pelajar.

Perlawanan bola sepak itu diadakan sempena program Jom Sihat yang diadakan setiap Rabu bermula pukul 4 petang yang membabitkan warga UMSKAL.

Tamat.