LABUAN – Warga Wilayah Persekutuan Labuan menyambut baik dan menyokong saranan kerajaan untuk melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan, mulai 18 Mac 2020 hingga 31 Mac 2020 di seluruh negara bagi mengelak ancaman wabak COVID-19.

Rata-rata mereka yang ditemui menyokong langkah kerajaan yang memandang serius situasi semasa ancaman virus berbahaya ini terutama perkembangan gelombang kedua.

Perintah kawalan ini dibuat di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 dan Akta Polis 1967.

Salah seorang kakitangan kerajaan, Ruby Zawati Haji Timbang, 44, berkata inilah masa yang sesuai untuk beliau memantau pergerakan anak-anak yang ketika ini sedang bercuti sekolah.

Katanya, menerusi arahan kerajaan itu juga beliau dan suami dapat menjalankan aktiviti termasuk mengaji dan mengulangkaji pelajaran bersama anak-anak di rumah.

Beliau berkata ibu bapa perlu memantau setiap pergerakan anak-anak yang kebiasaannya bercuti atau balik ke kampung halaman bagi mengelak ancaman wabak tersebut.

“Bagus juga saranan kerajaan itu sebab inilah masanya untuk ahli keluarga untuk membersihkan halaman rumah.

“Ibu bapa juga dapat meluangkan lebih banyak masa bersama anak-anak,”katanya yang mempunyai empat orang anak.

Ruby Zawati yang berasal dari Kampung Patau-Patau Satu, Labuan terpaksa mengorbankan cuti bersama keluarga untuk keselamatan diri dan anak-anak.

“Tindakan drastik perlu diambil dalam kadar segera untuk menyekat penularan wabak ini dengan cara mengehadkan pergerakan orang ramai,”tambah Ruby yang juga Pengerusi Kelab Badminton di sebuah institusi pengajian tinggi di pulau ini.

Seorang lagi penduduk tempatan, Mohd Ali Kassim, 46, yakin kerajaan mempunyai alasan yang munasabah untuk memastikan rakyat negara ini bebas daripada ancaman COVID-19.

Katanya, kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin telah mengambil langkah yang bijak dan tepat serta proaktif bagi mencegah penularan wabak tersebut lebih awal.

Beliau yang berasal dari Kampung Tanjung Aru Nelayan Labuan berharap orang ramai akan sentiasa mematuhi arahan daripada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) termasuk menjaga kebersihan diri dan keluarga.

“Saya ucapkan terima kasih kepada petugas Kementerian Kesihatan Malaysia yang cekap menjalankan tugas mereka dengan efisien bagi mengelak lebih ramai rakyat negara ini terkena ancaman wabak tersebut,”katanya yang mempunyai dua orang anak.

Sementara itu, penduduk Kampung Benoni, Papar, Dg Marianah Ag Ibrahim, 41, pula berharap ahli keluarga dan rakan-rakannya akan sentiasa mematuhi arahan kerajaan termasuk tidak berada di kawasan tumpuan orang ramai seperti pusat membeli belah dan tempat rekreasi bagi mencegah merebaknya wabak COVID-19.

Tambah beliau, rakyat Malaysia perlu mengamalkan gaya hidup yang sihat dengan sentiasa menjaga kebersihan termasuk membasuh tangan dan memakai topeng muka ketika keluar rumah.

Walaupun terpaksa menangguhkan minatnya terhadap sukan petanque, Dg Marianah akur arahan kerajaan itu adalah untuk kebaikan rakyat negara ini juga.

“Saya menyokong penuh larangan menyeluruh pergerakan dan perhimpunan ramai termasuk aktiviti keagamaan, sukan, sosial dan budaya.

“Bagaimanapun rakyat tidak perlu panik kerana pasar raya, pasar awam, kedai runcit dan kedai serbaneka yang menjual barangan keperluan harian masih beroperasi seperti biasa,”katanya yang tidak dapat balik ke kampung halaman menjenguk keluarganya berikutan kebimbangan beliau terhadap wabak tersebut.

Ketiga-tiga mereka berharap mereka yang menghadapi simptom COVID-19 agar menjalani pemeriksaan kesihatan dan melakukan kuarantin secara sukarela.

Tamat.