LABUAN – Universiti Malaysia Sabah, Kampus Antarabangsa Labuan (UMSKAL), merakamkan ucapan terima kasih dan penghargaan kepada semua pihak yang membantu urusan penghantaran pulang pelajar UMSKAL ke Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak.

Pengarah UMSKAL, Profesor Dr Jualang @ Azlan Abdullah Gansau berkata ucapan penghargaan itu ditujukan kepada Jawatankuasa Pengurusan Bencana Wilayah Persekutuan Labuan yang diketuai Pengerusinya, Dr Fary Akmal Osman yang juga Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Labuan.

Katanya, urusan penghantaran pulang pelajar kampus tersebut mendapat kerjasama padu daripada Majlis Keselamatan Negara (MKN), Jabatan Kesihatan, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Perbadanan Labuan, Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM).

Selain itu, Malaysia Airport Berhad (MAB), Jabatan Imigresen, Kolej Matrikulasi Labuan, Sekolah Menengah Sains Labuan dan SMK Labuan.

Tidak lupa kepada pegawai, kakitangan dan pemimpin badan pelajar UMSKAL seperti Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) dan Jawatankuasa Kebajikan Mahasiswa (Jakmas).

Beliau bagi pihak Naib Canselor UMS, Profesor Datuk ChM. Dr Taufiq Yap Yun Hin, berkata pihak UMSKAL turut mengucapkan terima kasih kepada agensi kerajaan dan swasta serta badan bukan kerajaan (NGO) yang telah memberikan bantuan makanan dan topeng muka serta peralatan kesihatan yang lain kepada pelajar sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan sejak 18 Mac lalu.

“Pihak UMSKAL mengucapkan terima kasih dan penghargaan kepada semua pihak yang membantu urusan penghantaran pulang pelajar UMSKAL ke Semenanjung Malaysia yang bermula pada 5 Mei 2020.

“Ucapan terima kasih juga kami tujukan kepada agensi kerajaan dan swasta serta badan bukan kerajaan (NGO) yang memberikan bantuan makanan dan peralatan kesihatan termasuk topeng muka kepada pelajar sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan sejak 18 Mac lalu,”katanya ditemui selepas meninjau operasi penghantaran pulang pelajar berkenaan di Padang Kawad UMSKAL pada 5 Mei 2020.

Profesor Dr Jualang menasihatkan pelajar agar terus mengikuti SOP yang ditetapkan kerajaan termasuk menjaga kesihatan, kebersihan dan keselamatan di kampung halaman masing-masing bersama keluarga sepanjang PKP ini dilaksanakan bagi menangani penularan wabak COVID-19.

Urusan penghantaran pulang 326 pelajar dari Zon Tengah yang membabitkan Selangor, Kuala Lumpur, Melaka, Pahang, Negeri Sembilan dan Perak itu bermula dari UMSKAL dengan menaiki bas dan lori tentera menuju ke Lapangan Terbang Labuan yang diiringi kenderaan polis pada pukul 12.30 tengah hari.

Pelajar UMSKAL mengikuti semua Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ditetapkan oleh Jawatankuasa Pengurusan Bencana Wilayah Persekutuan Labuan.

Selain Dr Fary, Pengarah Majlis Keselamatan Negara, Wilayah Persekutuan Labuan, Nurzalizah Kartika Abdullah dan Ketua Polis Wilayah Persekutuan Labuan, Superitendan Muhamad Farid Ahmad turut mengucapkan selamat jalan kepada pelajar terbabit.

Tamat.