LABUAN – Sukan badminton telah mengeratkan hubungan persahabatan antara kakitangan Sektor Pentadbiran dan Sumber Manusia (SPSM) dan Sektor Pembangunan dan Penyelenggaraan (SPP), Universiti Malaysia Sabah, Kampus Antarabangsa Labuan (UMSKAL).

Perlawanan persahabatan yang diadakan di Dewan Utama UMSKAL pada 22 Julai 2020 itu merupakan medan terbaik untuk kakitangan kedua-dua sektor menjalin dan mengukuhkan hubungan baik yang sedia terjalin antara kedua-dua pihak.

Menurut Pengurus Pasukan SPSM, Che Din Md Salleh, lebih banyak perlawanan akan diadakan pada masa akan datang dalam kalangan kakitangan pentadbiran dan kakitangan akademik UMSKAL.

“Kita mahu memberikan lebih banyak peluang kepada semua kakitangan menunjukkan bakat mereka bagi memudahkan jurulatih memilih pemain bagi mewakili UMSKAL pada masa akan datang,”katanya ditemui selepas perlawanan yang berakhir pukul 6 petang itu.

Perlawanan itu juga diadakan sempena program Jom Sihat pada setiap Hari Rabu sekaligus menggalakkan gaya hidup sihat dalam kalangan warga universiti.

Sementara itu, Pengurus Pasukan SPP, Abdullah Manggul berharap perlawanan itu dijadikan panduan untuk anak buahnya menggandakan latihan sebelum berhadapan lawan pada perlawanan akan datang.

“Memang seronok bermain dengan rakan-rakan daripada sektor lain. Selain mengeratkan persahabatan, perlawanan itu juga menguji tahap permainan kakitangan SPP sendiri,”katanya sambil mengucapkan terima kasih kepada Che Din yang menjadi penganjur perlawanan tersebut.

Tamat.