LABUAN – Pengarah Universiti Malaysia Sabah, Kampus Antarabangsa Labuan (UMSKAL) Prof Dr Jualang @ Azlan Abdullah Gansau telah menerima kunjungan hormat Pengarah (China) Confucius Institute Universiti Malaysia Sabah, Profesor Madya Deng Rong di Pejabatnya di Aras 13, Bangunan Menara UMSKAL pada 13 Ogos 2020.

Turut mengiringi Deng ialah Pengarah (Malaysia) Confucius Institute Universiti Malaysia Sabah, Profesor Dr Low Kok On.

Mereka turut mengadakan taklimat penawaran Kelas Bahasa Mandarin Confucius Institute Universiti Malaysia Sabah (CI, UMS) kepada pensyarah Fakulti Kewangan Antarabangsa Labuan (FKAL) yang diketuai Dekan FKAL, Prof Madya Dr Mohd Rizal Abd Hamid.

Pensyarah Fakulti Komputeran dan Informatik (FKI) dan Pusat Penataran Ilmu dan Bahasa (PPIB) turut mendengar taklimat tersebut yang diadakan di Bilik Mesyuarat Eksekutif.

Prof Dr Jualang berharap lebih ramai pelajar dan kakitangan UMSKAL akan mengikuti kelas tersebut sekaligus mempromosikan UMSKAL ke peringkat antarabangsa khususnya di China pada masa akan datang.

Tamat.