LABUAN - Staf Sektor Pentadbiran dan Sumber Manusia (SPSM) dan Sektor Kewangan Universiti Malaysia Sabah, Kampus Antarabangsa Labuan (UMSKAL), sentiasa mengekalkan kesihatan menerusi acara sukan bola tampar pantai.

Sehubungan itu, satu perlawanan bola tampar pantai persahabatan telah diadakan di Gelanggang Bola Tampar Pantai Universiti Malaysia Sabah, Kampus Antarabangsa Labuan (UMSKAL) pada 11 September 2020.

Menurut Ketua Sektor SPSM, Mas Adi Alimin, acara santai seperti itu amat digalakkan pengurusan universiti dalam melahirkan kakitangan yang cergas, cerdas dan sihat.

Katanya, selain untuk memenuhi jadual harian kakitangan untuk beriadah, beliau yakin aktiviti itu mampu mengeratkan lagi hubungan persahabatan yang sedia terjalin erat antara kedua-dua sektor.

“Pengurusan UMSKAL sentiasa mengalakkan kakitangan mengadakan pelbagai aktiviti termasuk sukan dan riadah,”katanya ditemui selepas tamat perlawanan tersebut.

Sementara itu, Ketua Sektor Kewangan, Mohammad Anwar Abdullah berharap aktiviti seumpama itu akan terus diadakan bagi memastikan anak buahnya kekal sihat sekaligus memudahkan mereka menjalankan tugas hakiki di pejabat.

“Kami gembira dapat mengadakan acara sukan seperti itu untuk memastikan staf Sektor Kewangan kekal sihat, cergas dan cerdas.

“Malah hubungan baik yang terjalin selama ini dengan kakitangan SPSM dapat diteruskan,”katanya.

Tamat.