Slider

FKAL UMSKAL jayakan ujian rintis aplikasi sistem tempahan makanan – Kantin Juara SMK Labuan

LABUAN – Sejajar dengan revolusi Industri Keempat IR 4.0, lima penyelidik dari Fakulti Kewangan Antarabangsa Labuan (FKAL), Universiti Malaysia Sabah, Kampus Antarabangsa Labuan (UMSKAL) bersama guru-guru dari Sekolah Menengah Kebangsaan Labuan (SMK Labuan) membangunkan aplikasi sistem tempahan makanan Kantin Juara dan telah berjaya melaksanakan ujian rintis lapangan pada 17, 19 dan 20 Oktober 2022.  

Ujian rintis lapangan awal ini berlangsung selama seminggu dilaksanakan oleh lima penyelidik daripada FKAL yang diketuai oleh Timbalan Dekan Penyelidikan dan Inovasi, Dr. Anath Rau Krishnan dan empat ahli iaitu Dr Suzillah Sidek, Dr. Sharinah Puasa, Md Hafizi Ahsan dan Zakiah Hassan.  

Turut menjayakan bersama ujian rintis tersebut adalah Pengetua SMK Labuan, Mohd Nizam Yasim dan guru-guru daripada SMK Labuan, Nurul Nazihah Sia Abdullah, Nazurah Dollah, Maruhan Lutam, Azlan Tumingan, Muhd Ghazali Samudin, Noraslindah Hassan, Yusrin Ahmad dan Zulkifli Ismail.  

Turut hadir Penolong Kanan Hal Ehwal Murid (HEM) SMK Labuan, Jamaliah Razali.  

Kerjasama yang menggalakkan juga diterima daripada pengusaha kantin sekolah dan 17 orang pelajar tingkatan 6 sesi pagi serta 35 orang pelajar tingkatan 3 sesi petang turut serta dalam uji rintis lapangan di kantin SMK Labuan.  

Dr Anath berkata ujian rintis ini dilaksanakan untuk melihat keberkesanan penggunaan aplikasi tempahan makanan yang telah dibangunkan selain melihat keberkesanan sistem tersebut dalam mengurangkan masa transaksi pembelian makanan oleh pelajar.  

Katanya, hasil daripada ujian rintis tersebut didapati masa yang digunakan pelajar untuk pembelian makanan di kantin dapat dikurangkan di samping menerap budaya “cashless” di peringkat sekolah.  

“Adalah diharapkan agar sistem tempahan makanan Kantin Juara dapat terus dilaksanakan di semua peringkat pelajar di SMK Labuan.  

“Selain itu, diharapkan langkah membudayakan teknologi dalam kalangan pelajar ini mendapat sokongan sepenuhnya daripada ibu bapa pelajar agar generasi pemimpin mendatang mampu mendukung teknologi ke arah pertumbuhan masyarakat yang cemerlang,”tambah Dr Anath lagi. 

Sementara itu, Dekan Fakulti Kewangan Antarabangsa Labuan (FKAL), Profesor Madya Dr. Geoffrey Harvey Tanakinjal mengucapkan tahniah dan terima kasih atas komitmen pensyarah FKAL dan guru-guru SMK Labuan dalam menjayakan projek tersebut.

Beliau yakin dan percaya menerusi projek tersebut ia akan memberi manfaat kepada kedua-dua pihak khususnya warga SMK Labuan.

Tamat.