Slider

Kumpulan Gegirl UMSKAL Juara Pertandingan Cabaran Troli Pengguna 2023

LABUAN: Kumpulan Gegirl, Gerakan Pengguna Siswa (GPS) Universiti Malaysia Sabah, Kampus Antarabangsa Labuan (UMSKAL) muncul juara Pertandingan Cabaran Troli Pengguna anjuran Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDNKSH) sempena Karnival Hari Kepenggunaan Peringkat Wilayah Persekutuan Labuan 2023 yang diadakan di ruang legar, Kompleks Ujana Kewangan Labuan pada 19 Mac 2023.  

Dengan kejayaan itu, Kumpulan Gegirl yang diwakili Nur Syafiqah Jofree, Siti Suriani Salti dan Dg.Shahirah Shayranie Awang Mohamad Reduan membawa pulang hadiah utama sebanyak RM1,000.  

Manakala kumpulan Prestige yang dibarisi kakitangan UMSKAL iaitu Mohd Nurulizam Tinggal, Yusdi Lamat dan Mohd Norizal Md. Jumat memenangi tempat keempat daripada 10 kumpulan yang bertanding dan menerima hadiah saguhati sebanyak RM150.  

Pemenang tempat pertama sehingga ketiga program tersebut akan mewakili W.P Labuan ke Peringkat Kebangsaan yang dijangka akan berlangsung pada bulan Mei 2023.  

Sepanjang program tersebut pelbagai aktiviti diadakan seperti Pertandingan Mewarna, Pertandingan Cabaran Troli Pengguna, Pertandingan Gubahan, Kahoot dan taklimat Advokasi Pengguna.  

Sementara itu, Penyelaras GPS UMSKAL, Mohd Nurulizam mengucapkan tahniah kepada kumpulan Gegirl yang bukan sahaja muncul johan tetapi juga akan mewakili Labuan ke peringkat kebangsaan Mei depan.  

“Kejayaan mereka turut mengharumkan nama UMSKAL dalam gerakan pengguna siswa.  

“Kami berharap mereka akan memberikan saingan sengit di peringkat kebangsaan kelak.”katanya.  

Mohd Nurulizam tidak lupa mengucapkan terima kasih kepada Pengarah UMSKAL. Prof. Madya Dr. Mohamad Rizal Abd Hamid dan Ketua Sektor Hal Ehwal Pelajar (SHEP) UMSKAL, Nur Iman Reedzal yang banyak memberikan sokongan dan dorongan kepada kedua-dua pasukan untuk menyertai pertandingan tersebut. 

Tamat.