LABUAN: Seramai 64 pelajar Pusat Tingkatan Enam (PTE) SMK Bengkongan, Kota Marudu, Sabah telah mengadakan lawatan sambil belajar ke Fakulti Komputeran dan Informatik (FKI), Universiti Malaysia Sabah, Kampus Antarabangsa Labuan (UMSKAL), Wilayah Persekutuan Labuan pada Khamis lalu.
Ketua rombongan, Julias Bisara berkata lawatan itu bertujuan untuk mendedahkan pelajar kepada kursus-kursus yang ditawarkan di UMSKAL sebagai peluang melanjutkan pelajaran terutama di Fakulti Komputeran dan Informatik.
Selain itu, katanya, untuk membuka minda pelajar untuk beradaptasi dengan dunia luar.
Beliau yang juga Penolong Kanan PTE berkata lawatan itu juga untuk mendedahkan pelajar dengan pengurusan aktiviti luar sekolah.
“Kami berharap menerusi lawatan ke FKI dan UMSKAL itu amnya akan menarik minat pelajar Tingkatan Enam untuk meneruskan pengajian tinggi mereka ke UMS khususnya UMSKAL.
“Kami yakin pelajar telah mendapat pelbagai maklumat dan pengalaman sepanjang menyertai lawatan tersebut,”katanya yang mewakili Pengetua, M. Salim Masrah.
Sementara itu, Julias Bisara tidak lupa mengucapkan terima kasih kepada pihak yang banyak membantu menjayakan program ini dari mula sehingga berjaya dilaksanakan terutamanya Jabatan Pendidikan Negeri Sabah, Pejabat Pendidilan Daerah Kota Marudu, Pengetua SMK Bengkongan, Persatuan Ibu Bapa dan Guru, semua ibu bapa pelajar tingkatan enam serta Ahli Parlimen P168 Kota Marudu merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri N6 Bandau, YB Datuk Wetrom Bahanda yang telah memberikan sumbangan kewangan untuk pelaksanaan program tersebut.
“Terima kasih juga kepada Jabatan Muzium Labuan dan Taman Burung Labuan selain FKI UMSKAL yang sudi menerima kunjungan rombongan sekolah kami,”katanya.
Turut menyertai lawatan itu ialah penyelaras program, Wini Eging dan Ketua Pelajar, Elny Alessandra Janis.
Terdahulu, ketibaan pelajar dan 13 orang guru disambut Pegawai Teknologi Maklumat Kanan, FKI, Mohd Nazri Suin yang mewakili Dekan Fakulti Komputeran & Informatik, Profesor Madya Ts. Dr. Mohd. Hanafi Ahmad Hijazi.
Sementara itu, taklimat mengenai pentadbiran FKI disampaikan oleh Penolong Pendaftar, Mohd Fadzli Sarudi manakala Mohd Nazri menyampaikan taklimat berkaitan kemudahan yang terdapat di fakulti tersebut yang diadakan di Bilik Seminar Kiamsam, Bangunan Menara UMSKAL.
Selepas taklimat, pelajar dan guru kemudiannya dibawa melawat kemudahan yang terdapat di Makmal FKI di Aras 9, Bangunan Menara UMSKAL.
Keterujaan pelajar terserlah selepas melihat pemandangan menarik Wilayah Persekutuan Labuan dari Aras 13 yang turut menempatkan Balai Cerapan Anak Bulan.
Selain FKI, rombongan sekolah itu turut mengadakan lawatan ke Muzium Marin, Muzium Labuan, Muzium Chimney dan Bird Park.
Sudah tentu kehadiran pelajar dan guru SMK Bengkongan, Kota Marudu turut membantu menjana ekonomi dan merancakkan lagi industri pelancongan Wilayah Persekutuan Labuan.
Tamat.