Slider

Komuniti Pra-Universiti SMK Labuan jalin kerjasama dengan Fakulti Kewangan Antarabangsa Labuan

LABUAN: Pusat Tingkatan Enam (PTE) SMK Labuan telah berjaya melaksanakan Forum Pengenalan Program Tawaran dan Syarat Kemasukan ke Universiti Malaysia Sabah, Kampus Antarabangsa Labuan (UMSKAL) yang diadakan di Dewan Mutiara, SMK Labuan pada 19 Mei 2023.  

Pengetua SMK Labuan, Mohd Nizam Yasim berkata, program ini merupakan satu jaringan dan jalinan bersama antara PTE, SMK Labuan dan UMSKAL yang diwakili oleh Fakulti Kewangan Antarabangsa Labuan (FKAL).  

Katanya, program ini telah dihadiri oleh 34 pensyarah Pusat Tingkatan Enam, 120 guru SMK Labuan, 4 kaunselor dari sekolah-sekolah menengah di Wilayah Persekutuan Labuan, 146 pelajar Tingkatan Enam dan 144 pelajar Tingkatan Enam yang telah tamat pengajian.  

Forum tersebut telah dikendalikan dengan jayanya oleh moderator Fazlinah Razali dan panel-panel jemputannya terdiri daripada Penolong Kanan Tingkatan Enam, SMK Labuan, Saminan Sabtu, Dekan, Fakulti Kewangan Antarabangsa Labuan (FKAL), Prof Madya Dr Geoffrey Harvey Tanakinjal dan Timbalan Dekan (Akademik dan Antarabangsa) FKAL, Dr Ricky Chia Chee Jiun.  

Saminan menerangkan bahawa sesiapa pun layak untuk memasuki pengajian Tingkatan Enam dengan syarat mata nilaian keputusan pelajaran Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) mereka tidak melebih 12 mata. Katanya, apabila berada di Tingkatan 6 pelajar-pelajar dikehendaki memilih satu daripada 7 pakej saluran yang ditawarkan.  

Prof Madya Dr Geoffrey pula memaklumkan sekiranya mendapat tawaran universiti, walalupun pelajar berhadapan dengan masalah kewangan, pelajar perlu sedaya upaya untuk sampai dan mendaftar sebagai pelajar bagi membolehkan pelajar mendapat akses kepada pelbagai bantuan kewangan yang disediakan oleh pihak universiti.  

Dr Ricky pula menekankan kepentingan pelajar semasa memohon tempat di IPTA untuk memuatnaik dokumen penting di dalam sistem UPU dengan betul untuk mengelakkan keciciran berlaku.  

Beliau juga berpesan agar pelajar berusaha mendapatkan Band 4 untuk ujian MUET bagi membolehkan pelajar mengambil opsyen bahasa asing di universiti kelak bagi menambah nilai kerjaya seseorang pelajar.  

Majlis tersebut diakhiri dengan upacara menandatangani surat niat (Letter of Intention) di antara kedua-dua entiti dan LoI ini antaranya membuka peluang kerjasama dalam kalangan pensyarah-pensyarah kedua-dua organisasi.  

Prof Madya Dr Geoffrey mewakili Fakulti Kewangan Antarabangsa Labuan manakala SMK Labuan diwakili Mohd Nizam telah menyempurnakan majilis tandatangan LOI untuk kerjasama yang lebih erat pada masa hadapan.  

Ianya juga memberikan pelajar-pelajar Tingkatan 6 SMK Labuan peluang yang lebih cerah untuk memasuki IPTA terutamanya Fakulti Kewangan Antarabangsa Labuan.  

Jalinan jaringan kerjasama yang pertama adalah pada 9 – 11 Jun 2023 di mana Dr Geoffrey telah menjemput semua pelajar Tingkatan 6, pensyarah-pensyarah, guru-guru kaunselor, pelajar IPTA seperti Kolej Matrikulasi, Institut Latihan Perindustrian, Kolej Vokasional dan orang awam untuk menghadiri bengkel meningkatkan nilai individu melalui program Young Employable Student (YES) UMSKAL.   

Pendaftaran boleh dibuat disini: https://docs.google.com/forms/d/16sdCI-7yOCzGI2nF1AuWlgvYNWA-6nyPH2SISnvL5-E/viewform?edit_requested=true

Tamat.