Slider

Teks Ucapan PROFESOR DATUK DR. KASIM HJ. MANSOR, Naib Canselor UMS

Teks Ucapan 

PROFESOR DATUK DR. KASIM HJ. MANSOR

Naib Canselor

Universiti Malaysia Sabah 

Sempena

YES! We Are Ready X Universiti Malaysia Sabah Kampus Antarabangsa Labuan 

11 Jun 2023 (10:30 Pagi) | 1:00 Tengah Hari

Dewan Kuliah 1, UMSKAL Labuan 

 

Alhamdulillah, syukur kepada Allah subhanahu wataala yang memberikan kita kesihatan dan kelapangan untuk bertemu pada program YES! We are ready terutamanya kepada mereka yang pertama kali menjejakkan kaki ke pulau kecil yang indah ini, iaitu Wilayah Persekutuan Labuan, yang juga dikenali sebagai Mutiara Borneo. 

Pertama sekali, mewakili warga UMS saya ucapkan setinggi-tinggi terima kasih atas kesudian Yang Berhormat Ts. Mustapha Sakmud, Timbalan Menteri Sumber Manusia yang sudi hadir memeriahkan program ini. 

Ucapan syabas dan tahniah saya ucapkan kepada seluruh warga Universiti Malaysia Sabah Kampus Antarabangsa Labuan dan Talent Corporation Malaysia atas usaha sama dan kolaborasi dalam menjayakan program ini. 

Kerjasama dan sinergi yang ditunjukkan kedua-dua belah pihak adalah satu contoh terbaik dalam meningkatkan kualiti graduan khususnya yang dikeluarkan oleh UMS dan institusi pengajian tinggi dalam negara kita demi memastikan mereka mempunyai kemahiran serta berdaya saing untuk masa depan. 

Program YES! merupakan satu intervensi proaktif untuk meningkatkan kebolehpasaran graduan (Graduate Employability) dan memperkukuh kemahiran asas yang diperlukan supaya mereka bersedia menghadapi masa depan yang tidak dapat diramalkan.

Saya percaya, program ini menawarkan penyelesaian berfokus bagi graduan untuk menentukan hala tuju kerjaya, melengkapkan diri dengan kemahiran, dan keyakinan untuk memasuki pasaran kerja. 

Inisiatif program YES! ini sejajar dengan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2015-2025 (Pendidikan Tinggi) atau akronimnya, PPPM (PT) 2015-2025 untuk meningkatkan daya saing dan peluang pekerjaan graduan muda di Malaysia. 

Saya dimaklumkan, program YES! ini menekankan beberapa aspek penting. 

Pertama sekali, adalah Kesedaran (Awareness). Program ini bertujuan untuk meningkatkan kesedaran pelajar terhadap peluang pekerjaan yang sedia ada dan perkembangan dalam pasaran kerja. 

Selain daripada itu, program ini juga penting bagi menggalakkan pelajar untuk membuka minda mereka dan membuat keputusan yang bijak mengenai peluang-peluang yang tersedia dalam memupuk minat dan kemahiran mereka. 

Aspek kedua adalah Kebijaksanaan (Wisdom). Program ini diharapkan dapat membantu pelajar mengasah kemahiran membuat keputusan berkenaan peluang-peluang yang ada di samping memupuk minat dan kemahiran yang sedia ada. 

UMS juga bertanggungjawab dalam memastikan pelajar dapat memilih dengan bijak dan membuat keputusan yang sesuai dengan bakat dan kebolehan mereka. 

Ketiga, program ini juga menekankan aspek pemerkasaan (Empowerment) kepada pelajar untuk merancang haluan kerjaya masing-masing. 

Melalui program ini, pelajar akan dibekalkan dengan kemahiran dan keyakinan yang diperlukan untuk berjaya dalam kerjaya mereka. 

Program YES! ini diharapkan dapat meningkatkan ekosistem peluang pekerjaan graduan dan memperkukuhkan bakat graduan di UMS dan institusi pengajian tinggi lain di sekitar Labuan.

UMS juga merupakan penyokong utama dalam setiap usaha menambah nilai pelajar dan memperluas rangkaian kerjasama dengan pihak-pihak yang berminat. 

Saya percaya, inisiatif ini dapat meningkatkan kesedaran dan memberikan nilai tambah kepada pelajar dan institusi pengajian tinggi bagi memenuhi permintaan industri. 

Sebelum mengakhiri ucapan, saya ingin merakamkan ucapan terima kasih kepada jawatankuasa penganjur, terutamanya kepada Talent Corp Malaysia, semua rakan kerjasama, pihak fakulti, para pensyarah, dan semua yang terlibat dalam menjayakan program ini. 

Kesungguhan dan dedikasi yang ditunjukkan untuk menjayakan program ini amat dihargai. 

Terima kasih juga kepada semua peserta yang telah mengambil bahagian dalam program YES! ini. Anda semua merupakan aset yang berharga untuk negara kita. 

Saya berharap anda mendapat manfaat serta memperoleh pengetahuan, kemahiran, dan keyakinan yang diperlukan untuk melangkah ke alam pekerjaan kelak. 

Kepada semua tetamu yang hadir dalam majlis ini, terima kasih atas sokongan dan kehadiran anda. 

Kejayaan program YES! ini adalah hasil daripada usaha bersama dan sokongan daripada semua pihak. 

Semoga program ini menjadi titik permulaan bagi para pelajar untuk mencapai kejayaan yang lebih tinggi dalam kerjaya mereka kelak. 

Semoga kerjasama ini dapat diteruskan pada masa depan bagi meningkatkan keunggulan sistem pendidikan negara dan pembangunan bakat di Malaysia. 

Akhir kata, saya berharap program YES! ini akan menjadi tonggak penting dalam meningkatkan peluang pekerjaan dan daya saing bakal graduan di Labuan. 

Saya berharap semua pelajar akan mengambil peluang ini dengan sebaik-baiknya, berusaha dengan gigih, dan meneroka potensi diri sepenuhnya. 

Sekian terima kasih.

 

Teks ucapan beliau dibacakan Penolong Naib Canselor (Jaringan Industri & Masyarakat), Prof. Dr. Coswald Stephen Sipaut @ Mohd Nasri. 

Program tiga hari itu dianjurkan Talent Corporation Malaysia Berhad dengan kerjasama Fakulti Kewangan Antarabangsa Labuan (FKAL). 

Turut hadir Pengarah Pusat Kerjaya Dan Pembangunan Keusahawanan Pelajar UMS, Dr. Soon Singh A/L Bikar Singh, Naib Presiden Graduan, Diaspora Dan Hubungan Industri Talent Corporation Malaysia Berhad, Mohammad Nazrul Aziz, Dekan Fakulti Kewangan Antarabangsa Labuan (FKAL), UMSKAL, Prof. Madya Dr. Geoffrey Harvey Tanakinjal, Ketua Pentadbiran UMSKAL, Zamri Mohamad Tuah yang mewakili Pengarah UMSKAL, Prof. Madya Dr. Mohamad Rizal Abdul Hamid dan Naib Presiden Majlis Perwakilan Pelajar UMSKAL, Dimetio Fernandez Anak Luat.

Tamat.