Slider

Masyarakat Perlu Lebih Prihatin

LABUAN: Sektor Hal Ehwal Islam dan Masjid (SHEIM) dan Masjid Al-Hikmah Universiti Malaysia Sabah Kampus Antarabangsa Labuan (UMSKAL) telah menganjurkan Seminar Penjelasan Isu Semasa di Podium D, Bangunan Menara, Universiti Malaysia Sabah Kampus Antarabangsa Labuan (UMSKAL) pada 17 Jun 2023. 

Seminar yang mendapat kerjasama daripada Cawangan Penguatkuasaan Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) Labuan itu disertai kira-kira 50 peserta yang terdiri daripada mahasiswa, pensyarah dan kakitangan UMSKAL. 

Majlis Penutupan Seminar disempurnakan oleh Penolong Pengarah Kanan JAWI Labuan, Ustaz Sazali Ridthouddin Shahbudin yang mewakili Ketua Penolong Pengarah Kanan, Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) Labuan, Ustazah Sharidah Zainal Abidin. 

Turut hadir Ketua Pentadbiran UMSKAL, Zamri Haji Mohamad Tuah yang mewakili Pengarah UMSKAL, Prof. Madya Dr. Mohamad Rizal Abd Hamid. 

Hadir sama Ketua Sektor Hal Ehwal Islam dan Masjid UMSKAL, Ustaz Mohd Khairul Isham Abd Latiff. 

Pihak penganjur telah menjemput dua ahli panel untuk menerangkan isu-isu semasa iaitu Timbalan Mufti Jabatan Mufti WP Labaun, Sohibus Samahah Ustaz Nik Azlan Nik Man dan Pegawai Polis, ASP Sosial /Agama / Pelampau Cawangan Khas IPD Labuan, ASP Rahmat Muda serta ASP Francisca Duliat dari Bahagian Siasatan Jenayah IPD Labuan. 

Objektif program ini dilaksanakan adalah bertujuan bagi memberi pendedahan kepada peserta tentang isu-isu semasa berkaitan jenayah syariah yang sedang berlaku. 

Dengan penganjuran program seperti ini diharap dapat memberi kefahaman dan pendedahan serba sedikit berkaitan Akta Jenayah Syariah Wilayah-Wilayah Persekutuan terutama seksyen-seksyen yang berkaitan kesalahan jenayah syariah. 

Sekiranya gejala sosial remaja ini tidak dibendung dari peringkat awal lagi dikhuatiri akan melahirkan masyarakat yang bebas perlakuannya tanpa ada sebarang batas agama mahupun etika sosial yang menjadi pegangannya. 

Oleh itu, masyarakat perlu lebih prihatin dan bekerjasama mendidik golongan remaja agar mereka mempunyai pegangan dan jati diri yang kuat dalam menempuh cabaran kedewasaan. 

Pendekatan pendidikan terancang dan pencegahan perlu diperkemas selaras dengan perubahan dan peredaran masa yang berlaku. 

Jangan mudah terpengaruh dengan anasir tidak baik sehingga merosakkan corak kehidupan sedia ada. 

Pimpinlah diri kita dengan sebaiknya agar keluarga dan institusi masyarakat juga terpimpin dengan sebaiknya. 

Zamri mengucapkan terima kasih kepada JAWI Labuan yang bekerjasama menganjurkan program tersebut yang memberi manfaat kepada mahasiswa dan kakitangan UMSKAL.

Beliau turut mengalu-alukan kerjasama daripada jabatan dan agensi kerajaan untuk menganjurkan pelbagai program yang mampu memberikan maklumat terkini kepada warga UMSKAL 

Tamat.