Slider

UMS Kampus Antarabangsa Labuan (UMS KAL) yang terletak kira-kira 18km dari pusat bandar Labuan merupakan kampus cawangan pertama Universiti Malaysia Sabah (UMS). UMS KAL telah mula beroperasi pada 2 Januari 1999 dengan pengambilan kumpulan pertama seramai 356 orang pelajar pada bulan Mei 1999.

Lokasi kampus yang berada di persisiran pantai berhadapan dengan Laut China Selatan dengan pemandangan pantai yang indah menjadikan suasana kampus yang damai, harmoni dan kondusif, amat sesuai untuk persekitaran pembelajaran.

UMS KAL yang menawarkan program-program bercirikan antarabangsa serta bersifat global disamping pengajaran dalam Bahasa Inggeris menarik pelajar antarabangsa khususnya dari rantau Asia. Sehingga kini (2016), UMS KAL telah mempunyai kira-kira 202 orang pelajar antarabangsa bergraduat dari pelbagai negara.

Halatuju akademik UMS KAL ialah untuk mencapai kecemerlangan kesarjanaan akademik bertaraf antarabangsa dalam pelbagai program sesuai dengan jolokan Labuan sebagai sebuah Pusat Perniagaan Luar Pesisir yang berteraskan kecemerlangan ilmu ke arah pembangunan masyarakat dan negara.

Di UMS KAL, pelajar diajar, dididik, dibimbing dan dibentuk secara holistik, dalam persekitaran pembelajaran yang kondusif, disokong oleh kemudahan pengajaran dan pembelajaran yang lengkap, terkini dan canggih untuk melahirkan insan berminda kelas pertama yang mampu menerajui cabaran dunia pada masa akan datang, untuk kemajuan masyarakat dan negara.

Objektif

  1. Melahirkan siswazah yang mampu menilai, menganalisis, berdaya intelek serta berwawasan dan mendukung falsafah Universiti Malaysia Sabah dan negara.
  2. Melahirkan tenaga manusia terlatih serta berkemampuan untuk menyesuaikan diri dalam pasaran tempatan dan antarbangsa.
  3. Menawarkan bidang yang menggabungkan ilmu pengurusan terkini dan teknologi canggih serta memperkembangkan ilmu dan pengalaman kepada masyarakat tempatan dan antarabangsa dalam bidang-bidang perniagaan dan kewangan luar pesisir.
  4. Menjadi sebuah pusat pengajian tinggi bersifat global yang melambangkan Labuan sebagai sebuah Pusat Perniagaan dan Kewangan Antarabangsa dan berteraskan kecemerlangan dan teknologi menuju ke arah pembangunan masyarakat dan negara.
  5. Menjadi penggerak bagi merealisasikan aspirasi Labuan untuk menjadi sebuah pusat pasaran modal dalam sektor kewangan luar pesisir dan utama di rantau Asia bersesuaian dengan lokasi Labuan yang bersifat pusat gugusan BIMP-EAGA.
  6. Menawarkan perkhidmatan dengan tadbir urus baik melalui kekuatan modal insan sedia ada berteraskan kaedah pengurusan inovatif dan berkualiti bagi memenuhi kehendak pihak berkepentingan kampus.