Magnin Blog

Publish your news and thoughts with all.

Popular Articles

Recent Stories

Pelajar FKAL Laksana Projek SULAM, Ceria & Perkasa Kelas Pemulihan SK Bebuloh

Pelajar FKAL Laksana Projek SULAM, Ceria & Perkasa Kelas Pemulihan SK Bebuloh

LABUAN, 16 JUN 2025 (ISNIN) – Seramai 10 pelajar dari kursus GT30203 Kewangan Korporat Antarabangsa, Fakulti Kewangan Antarabangsa Labuan (FKAL), Universiti Malaysia Sabah Kampus Antarabangsa Labuan (UMSKAL), telah melaksanakan projek komuniti berimpak tinggi di bawah inisiatif Service Learning Malaysia – University for Society (SULAM).

Projek bertemakan Bright Minds Corner – Empowering 3M at SK Bebuloh ini memberi fokus kepada murid-murid Kelas Pemulihan yang menghadapi kesukaran menguasai kemahiran asas membaca, menulis dan mengira (3M).

Antara aktiviti utama ialah penyediaan bahan pembelajaran, sesi pengajaran interaktif, serta menambah baik bilik darjah melalui kerja mengecat, melukis mural, menyusun semula ruang dan penyediaan kemudahan asas.

Dana projek diperoleh sepenuhnya melalui platform crowdfunding MyStartr, yang berjaya mengumpul sebanyak RM4,010.

Pensyarah Kanan dan Penyelaras Projek, Dr. Suzillah Sidek, berkata SULAM bukan sekadar inisiatif akademik, malah merupakan platform holistik yang membentuk jati diri mahasiswa melalui nilai empati, kepimpinan, dan tanggungjawab sosial.

Projek ini juga berperanan sebagai jambatan dinamik yang merapatkan hubungan antara mahasiswa dan komuniti setempat, sekali gus memperkasa peranan institusi pendidikan dalam pembangunan masyarakat.

Guru Besar SK Bebuloh, Haji Maidan Dali @ Sumardi Yusoff dan Yang Dipertua PIBG, Asmadi Haji Ahmad, menyambut baik usaha pelajar yang memberi impak langsung kepada murid berkeperluan khas. Ahli PIBG, guru-guru serta komuniti setempat turut membantu dalam logistik dan pelaksanaan program.

Sumbangan dana digunakan untuk pembelian peralatan seperti rak buku, langsir, mesin pencetak, mesin laminasi dan kelengkapan digital yang dapat dimanfaatkan secara langsung oleh murid-murid Kelas Pemulihan.

Majlis penutupan projek yang berlangsung di SK Bebuloh dihadiri Dr. Suzillah Sidek, Haji Maidan Dali, Asmadi dan Ketua Projek, Tharini Nair a/p Jayaraj.

Projek berkenaan dijayakan Angelica, Devyaletchumy, Ggivyasri, Glynnisa, Magdalena, Mogana, Narvinaashini, Sanggetha, dan Vaishneevi.

Majlis penutupan turut diserikan dengan kehadiran murid-murid yang gembira melihat transformasi bilik darjah mereka, mencerminkan kejayaan usaha para pelajar.

Projek ini diharap menjadi inspirasi kepada lebih banyak inisiatif pendidikan dan sukarelawan di masa akan datang.

Akhir kata, anak-anak inilah masa depan negara dan pendidikan adalah kunci utama yang akan memacu mereka ke arah kejayaan.

Sekalung penghargaan ditujukan kepada seluruh warga SK Bebuloh dan PIBG atas sokongan berterusan sepanjang pelaksanaan projek ini.

Gabungan Festival Mahasiswa 2025 UMSKAL berakhir meriah

Gabungan Festival Mahasiswa 2025 UMSKAL berakhir meriah

LABUAN, 22 Jun 2025 – Majlis Penutupan Collaboration FF X STC X MFF X FE 2025 yang menghimpunkan empat program besar Universiti Malaysia Sabah Kampus Antarabangsa Labuan (UMSKAL) berlangsung dengan penuh meriah dan semangat perpaduan di Dewan Utama UMSKAL.

Majlis berprestij ini telah disempurnakan oleh Pengarah UMSKAL, Profesor Technologists (Ts). Dr. Shamsul Bahari Shamsudin.

Beliau amat bangga dengan dedikasi dan komitmen pelajar dalam menjayakan empat festival besar secara bersama.

Ia mencerminkan semangat kolaborasi, kepimpinan dan profesionalisme mahasiswa UMSKAL.

Program itu melibatkan 7th Stock Trading Competition (STC), Food Festival (FF), Mega Fit Festival (MFF) dan Festival E-Sport (FE).

Turut hadir Timbalan Dekan (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) Fakulti Kewangan Antarabangsa Labuan (FKAL), Dr. Noor Hassanah Husin, Penyelaras Food Festival merangkap Penyelaras Kelab Pemasaran Antarabangsa, Caroline Rosie anak Jeffrey Nasah, Ketua Penyelaras STC, Dr. Aminah Shari dan Penyelaras Bersama, Dr. Siti Nur Aqilah Ab Wahab.

Hadir sama Penyelaras Festival E-Sport, Mohd. Nurulizam Tinggal, Timbalan Presiden Majlis Perwakilan Pelajar Sesi 2024/2025 UMSKAL, Mohd Raffiezy Mohd Rashad dan Presiden Majlis Belia Labuan, Nazera Roslan.

Pengarah Program Food Festival 2025, Mohamad Syukri Nur Hajar, Pengarah Program 7th Stock Tading Competition, Shamita A/P Parameswaran, Pengarah Program Festival Mega Fit, Allynesa Shirlyana Inja Anak Tedong dan Pengarah Program Festival E-Sport 2025. Mohamad Asyraaf Amirullah.

Pasukan L’SEA muncul juara 7th Stock Trading Competition (STC) 2025 dengan pencapaian pulangan pelaburan (ROI) luar biasa sebanyak 144.05%, menjadikan mereka pasukan paling berjaya dalam sejarah penganjuran STC.

Pasukan ini diwakili Arthur Surang Angi, Nurazween Jamain dan Dayang Diana Fasilah Awang Afindi, yang merupakan gabungan pelajar daripada Program Kewangan Antarabangsa dan Perbankan Antarabangsa dan Luar Pesisir.

Mereka membawa pulang hadiah wang tunai RM300, sijil penyertaan serta tawaran latihan industri eksklusif selama enam bulan bersama AXE Holdings Sdn Bhd.

Axe Holdings Sdn Bhd merupakan sebuah syarikat induk pelaburan yang sedang berkembang pesat di Malaysia dengan fokus utama dalam industri kewangan dan teknologi.

Naib juara disandang oleh Pasukan SRS Sisters dengan ROI 12.96%, dianggotai oleh Samini A/P Sivam, Siti Raihana Sharif dan Shalini A/P R Ganasan, yang menerima RM200, sijil penyertaan dan tawaran internship selama tiga bulan di AAE International Trust Ltd.

AAE International Trust Ltd, sebuah syarikat amanah berlesen yang berpusat di WP Labuan, menawarkan kepakaran dalam penubuhan perniagaan, pelesenan kewangan dan perancangan kekayaan.

Tempat ketiga dimenangi pasukan Heng Ong Huat (ROI 10.04%), diikuti pasukan The Value Investors (ROI 7.64%) dan pasukan V Donchu Car (ROI 6.41%).

Ketiga-tiga pasukan ini menerima wang tunai RM100 dan sijil penyertaan.

Dalam pertandingan Innovation Competition, empat kumpulan pelajar dinobatkan sebagai penerima Gold Award atas inovasi cemerlang yang dipersembahkan.

Projek-projek itu ialah Option: Unboxed yang diketuai oleh Brooklyn Anak Bensin, Money Smart Kids: Financial Literacy for Malaysian Primary School oleh Nurul Fathin Syuhaifah Mohammad Yusup, CapExp Mastery: Learning Capital Budgeting Through Interactive Website oleh pelajar tahun tiga Program Kewangan Antarabangsa, Olven Azel Samuel serta Financial Globalization and Risks yang diketuai oleh pelajar tahun dua Program Kewangan Antarabangsa Diyana Orienza Rahman.

Projek-projek ini telah menonjol berdasarkan keaslian idea, potensi impak serta kebolehlaksanaan dalam konteks dunia sebenar.

Program ini merupakan penutup kepada siri kolaborasi rentas fakulti dan kelab mahasiswa di UMSKAL yang bertujuan memupuk kepimpinan, inovasi, dan kecemerlangan pelajar melalui penganjuran aktiviti berskala besar.

Tahniah buat semua.

Projek SULAM “Lent of Hope: Pelajar FKAL Mengukir Perubahan di SRA Al-Lamudin Sungai Bedaun”

Projek SULAM “Lent of Hope: Pelajar FKAL Mengukir Perubahan di SRA Al-Lamudin Sungai Bedaun”

LABUAN, 14 Jun 2025 (Sabtu) – “Dari harapan ke realiti”, begitulah kisah 10 pelajar Tahun 3 FKAL Universiti Malaysia Sabah Kampus Antarbangsa Labuan (UMSKAL) yang telah berjaya melaksanakan projek Service Learning Malaysia - University for Society (SULAM) yang membawa perubahan besar kepada persekitaran pembelajaran di Sekolah Rendah Agama (SRA) Al-Lamudin Sungai Bedaun.

Projek Lent of Hope: Revitalizing School Surroundings merupakan sebahagian daripada pembelajaran berasaskan perkhidmatan masyarakat bagi kursus GT30203 Kewangan Korporat
Antarabangsa, di bawah seliaan pensyarah kursus, Dr. Suzillah Sidek.

Projek ini berjaya mengumpul dana sebanyak RM4,149.00 melebihi sasaran asal (RM3,897) menerusi platform KitaFund yang disokong oleh 88 pemberi dana. 
 
Guru Besar SRA Al-Lamudin Sungai Bedaun, Ustazah Azliena Md.Nor, menyatakan rasa terima kasih yang mendalam atas sumbangan yang diberikan, sambil menjelaskan bahawa kemudahan yang disediakan sangat bermakna bagi murid sekolah tersebut yang sebelum ini terpaksa menunggu di lantai semasa waktu rehat.
 
Kini mereka dapat menikmati keselesaan bangku panjang di luar sekolah.

Majlis perasmian Lent of Hope telah disempurnakan oleh Guru Besar SRA Al-Lamudin Sungai Bedaun.

Turut hadir bersama Pengerusi PIBG SRA AL-Lamudin Sg Bedaun, Muhamed Zainal Muktar, dan Penyelaras Projek, Dr Suzillah Sidek serta Pengarah Projek, Luke Alex.

Turut diadakan gotong-royong dengan penyertaan aktif daripada 35 orang ibu bapa, guru, serta pelajar UMSKAL, yang mencerminkan semangat kerjasama yang kukuh antara universiti dan komuniti setempat dalam memastikan kejayaan projek ini.

Antara sumbangan yang berjaya disediakan melalui projek ini adalah tujuh buah bangku kayu panjang, tiga papan kenyataan (softboard) baharu, sebuah rak buku, satu banner jadual
induk sekolah, lapan buah sejadah dan tiga buku Yassin serta mengecat semula tulisan Jawi pada pintu pagar sekolah,

Pelajar FKAL yang terlibat dalam projek ini ialah Luke Alex, Nurilyana Izani, Aisyah Ameerah, Mohd Samsuddin, Khairul Nizam, Nur Atikah, Raynaldi Zico, Mohd Fadzreen, Mohd Nazri dan Ikaafiz.

Semoga projek seperti ini dapat diteruskan pada masa akan datang yang memberi manfaat kepada masyarakat dan mewujudkan suasana pembelajaran yang lebih baik, bukan hanya di SRA Al-Lamudin, tetapi juga di tempat-tempat lain.

Terima kasih para penderma.

Terima kasih warga SRA Al-Lamudin Sungai Bedaun.

Program Tranformasi B40 @Universiti Malaysia Sabah Kampus Antarabangsa Labuan Tahun 2025

Program Tranformasi B40 @Universiti Malaysia Sabah Kampus Antarabangsa Labuan Tahun 2025

LABUAN, 21 JUN 2025 - Program Transformasi B40 di Universiti Malaysia Sabah Kampus Antarabangsa Labuan (TRANSB40 @UMSKAL) WP Labuan Tahun 2025.
 
Pengarah Universiti Malaysia Sabah Kampus Antarabangsa Labuan (UMSKAL), Profesor Technologists (Ts). Dr. Shamsul Bahari Shamsudin merakamkan ucapan terima kasih dan tahniah kepada pihak Jabatan Kebajikan Masyarakat WP Labuan terutamanya Pengarah JKM WP Labuan, Rodin Suri Arif dan penyelaras program serta ahli jawatankuasa pelaksana di atas kejayaan penganjuran Program Transformasi B40 di UMSKAL.
 
Terima kasih juga memilih UMSKAL sebagai rakan strategik pelaksanaan program ini.
 
Program Transformasi B40 di Universiti (TransB40@Universiti) merupakan pendekatan proaktif yang diambil dalam membangunkan penerima bantuan ke arah hidup berdikari dan berusaha untuk meningkatkan taraf hidup keluarga kerana bantuan yang diterima adalah bersifat sementara dan bukan untuk jangka masa panjang.
 
Program yang dilaksanakan ini adalah sebagai langkah advokasi tentang pentingnya pendidikan untuk mengubah landskap kehidupan seorang individu dan keluarga mereka.
 
Terdapat beberapa kajian lepas yang membuktikan faktor pendidikan merupakan salah satu faktor yang tidak boleh disisihkan dalam usaha mengurangkan kemiskinan.
 
Pendidikan boleh menjejaskan keupayaan seseorang individu dalam mengurus hidup yang berkualiti kerana faktor ekonomi dan sosial bergantung kepada tahap pendidikan yang diterima.
 
Kemiskinan adalah suatu perkara bukan untuk diwarisi.
 
Oleh itu, anak-anak dan ibu bapa dinasihatkan untuk terus memberi keutamaan dan dorongan terhadap pendidikan bagi meningkatkan tahap sosio ekonomi keluarga dan seterusnya keluar dari situasi serta belenggu kemiskinan.
 
Kita perlu membuka lebih banyak ruang dan peluang dalam usaha untuk menimbulkan rasa cinta anak-anak khususnya dalam kalangan B40 dan anak-anak penerima bantuan sama ada melalui pendidikan formal dan pendidikan tidak formal.
 
Kita berharap dengan usaha ini dapat memberi peluang kepada anak-anak penerima bantuan JKM merasai suasana dan persekitaran yang disediakan di pusat pengajian tinggi – UMSKAL secara amnya.
 
Usaha jitu antara pihak UMSKAL bersama Jabatan Kebajikan Masyarakat WP Labuan dilihat sebagai inisiatif yang dapat memacu ke arah memastikan isu kemiskinan dapat diatasi.
 
Diharapkan kerjasama yang terjalin ini akan diteruskan pada masa hadapan demi manfaat semua pihak.
 
Turut hadir Ketua Unit Psikologi dan Kaunseling JKM Labuan, Rinatho Nunchi, Ketua Penolong Pengarah Cawangan Pembangunan Klien Produktif JKM Malaysia, Mohd Azan Hussin dan Ketua Sektor HEP UMSKAL, Nur Iman Reedzal.
 
Terima kasih kepada semua.

Hubungi Kami

UMS Kampus Antarabangsa Labuan
Jalan Sungai Pagar
87000 WP Labuan

+(60) 87 - 503 000
adminkal[at]ums.edu.my