Magnin Blog

Publish your news and thoughts with all.

Popular Articles

Recent Stories

UMSKAL tuan rumah Mesyuarat Kolaborasi Program TVET Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah

UMSKAL tuan rumah Mesyuarat Kolaborasi Program TVET Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah

LABUAN: Seramai 30 orang delegasi menghadiri Mesyuarat Kolaborasi Program TVET Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) Bersama Syarikat di Bilik Mesyuarat Kiansam, Universiti Malaysia Sabah Kampus Antarabangsa Labuan (UMSKAL) pada 24 April 2024.

Mesyuarat yang bermula pukul 9 pagi itu dipengerusikan oleh Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa), Universiti Malaysia Sabah (UMS), Prof. Dr. Shahril Yusof.

Pada mesyuarat itu diadakan Pembentangan Program Kerjasama TVET UMS-UMPSA oleh Penolong Naib Canselor Pengembangan Akademik, UMPSA, Profesor Ts. Dr. Kamal Yusoh.

Selain itu, taklimat Program TVET; Sarjana Muda Teknologi Penyelenggaraan Fasiliti Minyak dan Gas; dan Sarjana Muda Teknologi Penyelenggaraan Fasiliti Elektrik dan Elektronik serta Taklimat Work Based Learning (WBL).

Turut menghadiri mesyuarat itu ialah Timbalan Dekan Fakulti Kejuruteraan UMS, Prof. Madya. Ts. Dr. Mohd Kamaruddin Abd Hamid yang mewakili Dekan FKJ, Prof. Madya Ts. Dr. Ismail Saad, Pengarah Pusat Jaminan Kualiti UMS, Prof. Ir. Ts. Dr. Zainal Zakaria dan Pengarah Pusat Pembangunan dan Kecemerlangan Akademik UMS, Dr. Denis Andrew D. Lajium.

Hadir sama Pengarah Pusat Inovasi dan Daya Saing Akademik UMPSA, Dr. Noram Irwan Ramli.

Delegasi turut meninjau tempat melihat anak bulan di Aras 13, Bangunan Menara UMSKAL.

Ahli mesyuarat teruja melihat pemandangan menarik Wilayah Persekutuan Labuan.

Tamat.

Jabatan Kesihatan Labuan dan UMSKAL bekerjasama anjur Karnival Belia Sihat Cergas 2024

Jabatan Kesihatan Labuan dan UMSKAL bekerjasama anjur Karnival Belia Sihat Cergas 2024

LABUAN: Hari Aktiviti Fizikal Sedunia disambut setiap tahun pada 6 April dengan tema tahun ini adalah “Have a good time! Be active!” bagi menggalakkan pentingnya aktiviti fizikal dalam kehidupan seharian.

Timbalan Pengerusi Perbadanan Labuan, Simsudin Sidek berkata aktiviti fizikal adalah aspek penting dalam keseluruhan kesihatan dan kesejahteraan kita.

Katanya, ia membantu kita untuk mengekalkan berat badan yang sihat, mengurangkan risiko penyakit kronik, meningkatkan kesihatan mental, meningkatkan fungsi kognitif seterusnya mencapai kualiti hidup yang sejahtera.

Namun, katanya, walaupun terdapat banyak manfaat daripada aktiviti fizikal, sebahagian besar penduduk dunia masih belum mencapai saranan aktiviti fizikal seperti yang ditetapkan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia.

“Penganjuran Karnival Belia Sihat Cergas ini amat bertepatan dan diharapkan dapat mempromosikan hidup yang sihat cergas khusus untuk golongan belia kerana belia hari ini adalah generasi yang akan menjadi pelapis kepimpinan dan menerajui negara pada masa hadapan,”katanya. 

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis Penutupan Karnival Belia Sihat Cergas Sempena Sambutan Hari Aktiviti Fizikal Sedunia 2024 Peringkat WP Labuan di Dewan Utama UMSKAL pada 21 April 2024.

Turut hadir Pengarah Universiti Malaysia Sabah Kampus Antarabangsa Labuan (UMSKAL), Prof Madya Dr Mohamad Rizal Abdul Hamid dan Timbalan Pengarah Kesihatan Labuan (Kesihatan Awam), Dr Mohd Zaki Ab Hamid yang mewakili Pengarah Jabatan Kesihatan WP Labuan, Dr Francis Paul.

Hadir sama Ketua Pentadbiran UMSKAL, Zamri Haji Mohamad Tuah, Penyelaras Program Karnival Belia Sihat Cergas, Dr. Ricky Chia Chee Jiun dan Pengarah Program Karnival Belia Sihat Cergas, Chai Zhi Leng.

Simsudin mengucapkan tahniah kepada Jabatan Kesihatan Labuan dan UMSKAL kerana telah berjaya menganjurkan Karnival Belia Sihat Cergas pada 20 dan 21 April 2024.

“Terima kasih juga lepada rakan-rakan strategik Institut Latihan Perindustrian, Kolej Matrikulasi Labuan, Jabatan Belia dan Sukan, Majlis Belia Labuan, Perbadanan Labuan dan Sekolah Menengah Sains Labuan yang menyokong segala usaha yang dilaksanakan oleh kerajaan.

“Semoga inisiatif ini dapat memberi manafaat dan mempromosikan pengamalan budaya hidup sihat aktif selaras dengan matlamat Agenda Malaysia Sihat Sejahtera untuk melahirkan rakyat khususnya masyarakat di Labuan dapat menikmati hidup yang lebih sihat sejahtera,”tambah beliau lagi.

Jelas beliau, kecergasan merupakan keadaan yang sihat yang membolehkan kita melakukan aktiviti harian dengan bertenaga, mengambil bahagian dalam kepelbagaian aktiviti fizikal dan mengurangkan faktor risiko kesihatan. 

Di Malaysia, dalam kalangan orang dewasa, 25.1% menjalani hidup tidak aktif, 38.1% menghidap kolesterol tinggi, 30% menghidap hipertensi dan 18.3% menghidap diabetes.

“Saya percaya apabila kita menjadi lebih aktif, banyak faedah yang dapat dinikmati terutama dari segi kesihatan. rutin aktiviti fizikal yang biasa seperti berjalan, mengayuh basikal dan bersukan dapat memberi kesan yang besar kepada kesihatan kita,”katanya.

Justeru itu, beliau menggesa setiap individu untuk berkomitmen mengambil bahagian dalam aktiviti fizikal dalam kehidupan harian.

Kita perlu berusaha untuk menjadikan aktiviti fizikal sebagai rutin harian kita, sama ada dengan berjalan, bermain, bersukan, atau melakukan kerja rumah.

Adalah penting untuk diingat bahawa sedikit aktiviti fizikal adalah bermakna dan perubahan kecil boleh memberi impak yang besar. 

Tamat.

Teks Ucapan Ketua Pentadbiran UMSKAL, Zamri Haj. Mohammad Tuah yang mewakili Pengarah UMSKAL, Prof. Madya Dr. Mohamad Rizal Abdul Hamid.

Teks Ucapan Ketua Pentadbiran UMSKAL, Zamri Haj. Mohammad Tuah yang mewakili Pengarah UMSKAL, Prof. Madya Dr. Mohamad Rizal Abdul Hamid.

Majlis Penutupan dan Perasmian Karnival Kokurikulum UMSKAL Semester 1 Sesi 2023/20234 di Dewan Utama, UMSKAL pada 7 Januari 2024.

Fokus utama program ini adalah untuk mengaplikasikan hasil pembelajaran yang telah diperoleh oleh pelajar selama mengikuti kursus kokurikulum ini.

Program ini juga memberikan pengalaman dan peluang kepada semua pelajar yang terlibat dalam mengembangkan potensi mereka, secara tidak langsung membentuk jati diri yang kukuh bagi setiap pelajar.

Saya ingin mengucapkan tahniah dan syukur atas penganjuran program Karkomkal ini yang telah berjaya dilaksanakan, atas dorongan daripada satu gerak kerja oleh semua pelajar yang telah menunjukkan kesungguhan yang tinggi dalam menjayakan program ini.

Program ini bertujuan untuk merapatkan silaturahim setiap pelajar kursus kokurikulum semester 1 sesi 2023/2024 dengan kakitangan dan masyarakat dalam serta luar W.P Labuan.

Terdapat pelbagai pertandingan yang dianjurkan oleh pelajar.

Mereka ini juga mengadakan pameran dan menganjur aktiviti sepertimana yang telah dirancang oleh setiap kursus yang ditawarkan pada semester ini.

Selain itu, melalui aktiviti sebegini dapat melatih nilai kerjasama di antara pelajar bersama organisasi luar dalam mengadakan program serta memantapkan lagi kemahiran insaniah mahasiswa.

Program ini sememangnya memberikan impak yang besar buat warga UMSKAL khususnya pelajar UMSKAL sendiri.

Antara Objektif Program adalah untuk merupakan medium untuk mempamerkan nilai positif yang telah diperolehi sepanjang kursus kokurikulum sepanjang semester ini.

Mempamerkan kemahiran insaniah yang telah diterapkan sepanjang semester melalui penganjuran aktiviti dan program di dalam Karnival Kokurikulum.

Menyerlahkan bakat-bakat pelajar yang terpendam melalui kursus-kursus Kokurikulum sebagai salah satu kaedah mempromosikan UMS dan PKPP khususnya.

Melatih pelajar untuk berhadapan dengan masyarakat dan agensi luar di dalam usaha untuk menjayakan sesuatu program yang dianjurkan.

Melatih pelajar untuk bekerjasama dengan pihak luar dan merasai sendiri pengalaman berurusan daripada mula hingga program selesai dijalankan.

Program KARKOMKAL ini adalah satu program terbaik yang wajar diberikan pujian kerana bukan mudah untuk jawatankuasa program bekerjasama dalam membuat persiapan untuk menjayakan sehingga selesai.

Saya sebagai perasmi pada malam ini berasa berbangga dan mengucapkan syabas dan tahniah sekali lagi kerana berjaya melaksanakan program sebesar ini.

Kejayaan ini membuktikan bahawa mahasiswa sekalian mempunyai satu ikatan ukhuwah yang sangat utuh dan kebijaksanaan serta pengalaman yang diperoleh semasa persiapan ini berlangsung sedikit sebanyak memberikan satu ilmu baharu dan bermanfaat untuk digunakan pada masa akan datang.

Saya berharap program seperti ini dapat diteruskan dan menjadi satu asas atau elemen penyatuan dalam semangat berpasukan serta suatu keraian yang akan mengeratkan lagi silaturahim sesama pelajar, pensyarah dan seluruh warga Universiti Malaysia Sabah Kampus Antarabangsa Labuan dan warga Labuan.

Ucapan terima kasih juga dipanjangkan kepada semua pihak yang terlibat secara langsung atau tidak langsung dalam menjayakan majlis ini.

Semoga usaha kita yang ikhlas dan berterusan ini akan membawa kepada kemajuan, kesejahteraan dan keharmonian negara yang boleh kita kecapi bersama-sama untuk generasi akan datang.

Turut hadir Timbalan Pengarah Pusat Kokurikulum dan Pemajuan Pelajar UMS, Dr. Sharifah Rahama Amirul, Timbalan Dekan HEPA FKAL, Dr. Noor Hasanah Husin, Ketua Sektor PKPP UMSKAL, Johari Safar, Penolong Pengarah Jabatan Belia dan Sukan Labuan Felix Dean Anthony Paru, Penyelaras Karnival Kokurikulum, Shahridah Shahdan dan Pengarah Karkomkal Sesi 2023/2024, Nur Farahin Mohd Ali.

Tamat.

Pelajar Kursus Pengurusan Wakaf Program Kewangan Islam, FKAL sumbang peralatan kelengkapan harian kepada Madrasah Al Ansar

Pelajar Kursus Pengurusan Wakaf Program Kewangan Islam, FKAL sumbang peralatan kelengkapan harian kepada Madrasah Al Ansar

22 Disember 2023 (JUMAAT) – Pelajar Kursus Pengurusan Wakaf Program Kewangan Islam, Fakulti Kewangan Antarabangsa Labuan (FKAL), Universiti Malaysia Sabah Kampus Antarabangsa Labuan (UMSKAL) sekali lagi telah berjaya menjayakan Infaq Crowdfunding iaitu pengumpulan dana melalui platform KitaFund.

Pensyarah Kursus Pengurusan Wakaf, Dr Hajah Haneffa Muchlis Gazali berkata kutipan dana ini digunakan untuk membeli peralatan harian bagi kegunaan pelajar di Madrasah Al Ansar, Taman Mutiara, Kampung Sungai Bedaun, Labuan.

Antara peralatan yang disumbangkan adalah kipas angin, rak kasut, rehal, rak baju dan papan putih untuk kegunaan 29 pelajar tahfiz berkenaan.

Projek ini merupakan salah satu tugasan bagi melengkapkan penilaian Kursus Pengurusan Wakaf yang diambil pelajar pada semester ini.

Dr. Hajah Haneffa juga berkata bahawa projek ini merupakan salah satu inisiatif di bawah Projek SULAM iaitu kaedah pengajaran dan pembelajaran (PdP) yang menggabungkan hasil pembelajaran kursus dengan khidmat komuniti dalam kalangan pelajar Institut Pengajian Tinggi (IPT).

Majlis penyerahan peralatan itu disempurnakan oleh Ketua Projek Infaq Crowdfunding, Nur Faliza Adam kepada Pengerusi Madrasah Al Ansar, Ustaz Drs Haji Masdaud Mapalili yang disaksikan oleh Dr. Hajah Haneffa di Pusat Madrasah Al Ansar, Labuan.

Ustaz Drs Haji Masdaud mengucapkan ribuan terima kasih kepada penderma, pensyarah dan pelajar yang terlibat dalam menjayakan projek pada kali ini.

Projek ini telah dilaksanakan oleh 9 orang pelajar Tahun 4 Kewangan Islam yang diketuai oleh Nur Faliza Adam.

Projek ini juga diusahakan oleh Nur Afrina Appri, Nurul Izzati Ahmad, Sia Sapini dan Sitti Jaisah Ahmad Jais.

Turut terlibat sama, Muhammad Afiq Arlan, Mohd Firdaus Ibnu Habir, Mohd Haiqal Ramli dan Muhammad Salman Latapa.

Semoga Allah menerima amal ibadah ini dan membalas kebaikan semua pihak yang terlibat.

Tamat.

Hubungi Kami

UMS Kampus Antarabangsa Labuan
Jalan Sungai Pagar
87000 WP Labuan

+(60) 87 - 503 000
adminkal[at]ums.edu.my