Magnin Blog

Publish your news and thoughts with all.

Popular Articles

Recent Stories

180 alumni UMS meriahkan Program 'Sunset Gathering Alumni Chapter Labuan' 2023

180 alumni UMS meriahkan Program 'Sunset Gathering Alumni Chapter Labuan' 2023

LABUAN: Kehadiran kira-kira 180 orang alumni Universiti Malaysia Sabah (UMS) telah memeriahkan Program 'Sunset Gathering Alumni Chapter Labuan' 2023.

Mereka merupakan alumni yang pernah melanjutkan pengajian di Fakulti Kewangan Antarabangsa Labuan (FKAL) dan Fakulti Komputeran dan Informatik (FKI) serta alumni UMS di sekitar Wilayah Persekutuan Labuan.

Majlis yang diadakan di Pine Garden, Tunas Hijau Recreation Village Labuan pada 22 Oktober 2023 itu dimeriahkan dengan kehadiran Naib Canselor Universiti Malaysia Sabah (UMS), Profesor Datuk Dr. Kasim Haji Mansor.

Turut hadir Ahli-ahli Senat dan Pengarah UMS Kampus Antarabangsa Labuan (UMSKAL), Prof. Madya Dr. Mohamad Rizal Abdul Hamid.

Dr Rizal mencatat sejarah sebagai pelajar pertama dilantik sebagai Pengarah UMSKAL.

Program berkenaan dianjurkan Pusat Alumni UMS dengan kerjasama pengurusan UMSKAL dan Fakulti Kewangan Antarabangsa Labuan (FKAL).

Program berlangsung dengan santai berjaya menceriakan alumni-alumni yang hadir dengan pelbagai aktiviti antaranya cabutan bertuah, karaoke, busking serta sesi perkongsian pengalaman oleh alumni.

Datuk Dr. Kasim ketika berucap berharap agar program itu mampu menjejak dan membina hubungan baik dengan alumni bermula di zon Labuan yang jumlah keseluruhannya kini telah mencecah 889 orang.

Beliau juga amat berharap Alumni UMS yang hadir pada majlis itu agar tidak melupakan universiti yang tercinta dan seterusnya menyumbang kepada bakal alumni yang ada.

“Adalah diharapkan agar semua Alumni dapat menyumbang bakti kepada universiti dan menjadikan platform alma mater sebagai satu medan perkongsian kepada bakal alumni.

“Setiap kemahiran, pengalaman dan perkongsian ilmu alumni selepas bergraduat dapat dikongsi bersama dengan para pelajar khasnya dan juga komuniti kampus amnya,”katanya.

Sementara itu, Pengarah Pusat Alumni UMS, Dr Arif @ Kamisan Pusiran berkata pihaknya bercadang mewujudkan Kelab Alumni UMS di Kota Kinabalu sebagai hab sehenti alumni.

“Pusat Alumni UMS juga mengadakan kolaborasi bersama dengan 25 syarikat milik alumni dan swasta untuk potongan diskaun bagi alunni dan kakitangan UMS,”katanya.

Tamat.

FKAL, BNM bekerjasama jayakan Program Literasi Kewangan 2023

FKAL, BNM bekerjasama jayakan Program Literasi Kewangan 2023

LABUAN: Kira-kira 300 pelajar Fakulti Kewangan Antarabangsa Labuan (FKAL), Universiti Malaysia Sabah Kampus Antarabangsa Labuan (UMSKAL) telah menjayakan Program Literasi Kewangan di Dewan Kuliah Pusat UMSKAL pada 20 Oktober 2023.

Timbalan Dekan (Akademik dan Antarabangsa) FKAL, Dr Ricky Chia Chee Jiun berkata program itu bertujuan untuk melaksanakan intervensi Literasi Kewangan yang awal dan bersasar.

Selain itu, mewujudkan kesedaran dan pendedahan awal terhadap pengurusan kewangan yang baik.

Memantau pencapaian, keberkesanan dan impak projek.

Mengukuhkan penjenamaan dan pengaruh Jaringan Pendidikan Kewangan (FEN),”katanya.

Beliau berkata demikian ketika mewakili Dekan FKAL, Professor Madya Dr. Geoffrey Harvey Tanakinjal menyampaikan pengenalan FEN Proaktif pada majlis itu.

Program Santai-santai bersama BNM dan PDRM dikendalikan oleh Eksekutif Kanan Bank Negara Malaysia (BNM), Mohammed Tonarusli Tonamli bersama Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Komersial, Ibu Pejabat Polis Daerah Labuan, ASP Jacklyn Justin.

Manakala Pengurusan Kewangan Peribadi oleh Ketua Cawangan Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK), Sabah, Sheirly Alfred.

Dr Ricky berharap pelajar memberikan perhatian terhadap isu keberhutangan serius pada usia muda dan fasa pemulaan kerjaya.

Pada masa sama, kurang kesedaran terhadap kepentingan perlindungan kewangan.

Program Literasi Kewangan dianjurkan bersama FKAL dan BNM.

Dr Ricky mengucapkan terima kasih kepada BNM yang bekerjasama menjayakan program yang memberi manfaat kepada pelajar FKAL itu.

Tamat.

600 pelajar UMSKAL jayakan Program TownHall J-KOM dan UMSKAL

600 pelajar UMSKAL jayakan Program TownHall J-KOM dan UMSKAL

LABUAN: Jabatan Komunikasi Komuniti (J-KOM) menjayakan Program TownHall Bicara Perpaduan untuk memupuk perpaduan yang memanfaatkan 600 pelajar Universiti Malaysia Sabah Kampus Antarabangsa Labuan (UMSKAL) yang diadakan di Dewan Kuliah Pusat UMSKAL pada 18 Oktober 2023.

Program dengan kerjasama UMSKAL sebagai platform bagi pelajar untuk terlibat dalam perbincangan yang membina, berkongsi pandangan dan bekerjasama mencapai matlamat bersama.

Program itu memainkan peranan penting dalam mempromosikan komunikasi terbuka, pemahaman dan perpaduan dalam kalangan komuniti akademik.

Terdahulu diadakan taklimat kenegaraan bertajuk “Merdekakah Kita? Di mana letaknya Patriotik Kita” yang disampaikan oleh Timbalan Pengarah Jabatan Penerangan Sabah, Supian Musa.

Manakala sesi TownHall menampilkan Ketua Pengarah Jabatan Komunikasi Komuniti (J-KOM), Dato’ Dr. Mohammad Agus Yusoff dan Profesor Kehormat di Universiti Selangor (UNISEL), Prof. Dr. Hajah Arsiah Haji Bahrun @ Bahron yang dikendalikan moderator, Hashimah Hassan.

Turut hadir Pengarah UMSKAL, Prof. Madya Dr Mohd Rizal Abdul Hamid, Dekan Fakulti Kewangan Antarabangsa Labuan (FKAL), Prof Madya Dr Geoffrey Harvey Tanakinjal, Penolong Pengarah J-KOM Sabah, Dr Diana Dominic, Ketua Pentadbiran UMSKAL, Zamri Haji Mohd Tuah dan Ketua Sektor Pentadbiran dan Sumber Manusia UMSKAL, Mas Adi Alimin.

Turut diadakan Majlis Tandatangan Surat Niat antara Dekan Fakulti Kewangan Antarabangsa Labuan, Prof Madya Dr Geoffrey dan Pengarah J-KOM Zon Sabah, Milus Alu@And Wahad.

Majlis Tandatangan Surat Niat diadakan untuk penyelidikan dan pembangunan dalam konteks perpaduan dan komunikasi dengan dana peryelidikan permulaan sebanyak RM5,000.

Menerusi program itu, ia memberi pelajar peluang untuk menyuarakan kebimbangan dan pendapat mereka mengenai perkara-perkara penting di peringkat negara dan tempatan.

Selain itu, interaksi langsung ini meningkatkan pemahaman mereka terhadap isu-isu dunia sebenar dan mendorong penyertaan aktif dalam membentuk masa depan negara.

Dengan mengadakan Program Town Hall membolehkan UMSKAL menunjukkan komitmennya dalam memupuk budaya dialog dan inklusiviti.

Pada masa sama, ini membolehkan mereka menangani kebimbangan dan memberikan maklumat tentang pelbagai inisiatif kerajaan, mempromosikan ketelusan dan penyertaan rakyat.

Sementara itu, kerjasama antara FKAL dan J-KOM Zon Sabah dalam penyelidikan dan pembangunan akan menyumbang kepada pemahaman yang lebih mendalam tentang isu-isu perpaduan dan komunikasi di Malaysia, khususnya di W.P Labuan.

Tamat.

Lawatan ke UMSKAL beri pengalaman manis buat pelajar SMK Kota Marudu II

Lawatan ke UMSKAL beri pengalaman manis buat pelajar SMK Kota Marudu II

LABUAN: Seramai 85 orang pelajar SMK Kota Marudu II, Kota Marudu, Sabah mendapat tonik terbaik ketika mengadakan Lawatan Sambil Belajar ke Universiti Malaysia Sabah Kampus Antarabangsa Labuan (UMSKAL) pada 12 Oktober 2023.

Ketua rombongan, Syed Mohamad Ashraf Mokdin berkata lawatan berkenaan bertujuan untuk menyuntik semangat pelajar untuk belajar bersungguh-sungguh.

Selain itu, katanya, untuk memberi pengalaman awal suasana universiti yang berbeza dengan sekolah menengah.

“Kami berharap menerusi lawatan itu, ia akan menambah wawasan pelajar untuk memperkayakan potensi diri.

“Malah, lawatan berkenaan menaikkan semangat pelajar untuk melanjutkan pengajian tinggi mereka ke UMS,”katanya.

Pelajar berkenaan yang terdiri daripada pelajar Tingkatan 3, 4, 5 dan 6 merupakan pelajar yang tinggal di asrama turut disertai 9 warden.

Syed Mohamad yang mewakili Pengetua, Morris Kundapit mengucapkan terima kasih atas layanan mesra pihak pengurusan UMSKAL.

“Lawatan itu bertujuan untuk mendedahkan dan memperkenalkan universiti sebagai salah satu tempat yang menyediakan peluang untuk meningkatkan ilmu pengetahuan, pembangunan modal insan dan sahsiah diri,”katanya.

Terdahulu ketibaan rombongan sekolah itu disantuni Ketua Pentadbiran UMSKAL, Zamri Haji Mohamad Tuah dan Ketua Sektor Pentadbiran dan Sumber Manusia UMSKAL, Mas Adi Alimin.

Selepas taklimat mengenai UMSKAL oleh Mas Adi, diadakan pula taklimat mengenai Fakulti Komputeran dan Informatik (FKI) oleh Pegawai Teknologi Maklumat Kanan FKI, Mohd Nazri Suin.

“Lawatan itu bertujuan untuk mendedahkan dan memperkenalkan universiti sebagai salah satu tempat yang menyediakan peluang untuk meningkatkan ilmu pengetahuan, pembangunan modal insan dan sahsiah diri,”katanya.

Mohd Nazri memberikan penerangan tentang program-progam yang terdapat di FKI, fungsi makmal-makmal komputer dan tayangan hasil-hasil projek pelajar tahun akhir.

Pelajar dan guru turut dibawa melawat makmal FKI di Aras 9 dan meninjau pemandangan menarik Wilayah Persekutuan Labuan dari Aras 13 yang turut menempatkan Balai Cerapan.

Tamat.

Hubungi Kami

UMS Kampus Antarabangsa Labuan
Jalan Sungai Pagar
87000 WP Labuan

+(60) 87 - 503 000
adminkal[at]ums.edu.my