Magnin Blog

Publish your news and thoughts with all.

Popular Articles

Recent Stories

Lawatan Mahasiswa Fakulti Kewangan Antarabangsa Labuan ke Labuan FSA

Lawatan Mahasiswa Fakulti Kewangan Antarabangsa Labuan ke Labuan FSA

21 JANUARI 2025 - Kelab Mahasiswa Kewangan Islam Sesi 2024/2025, Fakulti Kewangan Antarabangsa Labuan (FKAL) Universiti Malaysia Sabah Kampus Antarabangsa Labuan (UMSKAL) telah mengadakan lawatan akademik ke Labuan Financial Services Authority (Labuan FSA).

Lawatan ini diketuai oleh Ketua Program Kewangan Islam, Dr. Maisyarah Stapah @ Salleh bersama 31 orang mahasiswa FKAL.

Dr. Maisyarah berkata lawatan ini dijalankan bersempena dengan sambutan Bulan Kewangan Islam peringkat fakulti.
Rombongan telah disambut oleh Sumarni Matnin dan Anas Mentoh dari bahagian Komunikasi Korporat dan Hubungan Luar Labuan FSA.

Sepanjang lawatan tersebut, para pelajar telah diberi penerangan mendalam mengenai peranan Labuan FSA, Pusat Perniagaan & Kewangan Antarabangsa Labuan (Labuan IBFC), serta inisiatif Labuan FSA dalam Pelan Hala Tuju Strategik Labuan IBFC 2022-2026.

Selain itu, pendigitalan dan digitalisasi Islam seperti Islamic Digital Asset Centre (IDAC) dan penyenaraian token RAMZ (Token Sekuriti Patuh Shariah).

Beliau berharap dapat memperkukuh pengetahuan mahasiswa mengenai aktiviti perniagaan kewangan antarabangsa dan kewangan Islam.

Diharapkan lawatan ini dapat juga memberikan inspirasi kepada mahasiswa untuk meneroka lebih banyak peluang serta menyumbang kepada pembangunan industri kewangan Islam, khususnya dalam era digitalisasi.

Terima Kasih Labuan FSA.

Tamat.

FKAL UMS, FIEF UNISSA Jalin Kerjasama

FKAL UMS, FIEF UNISSA Jalin Kerjasama

Seramai lima orang pensyarah Fakulti Ekonomi Dan Kewangan Islam (FIEF), Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA), Brunei Darussalam telah mengadakan lawatan kerja ke Universiti Malaysia Sabah Kampus Antarabangsa Labuan (UMSKAL) pada 22 Januari 2025.

Kunjungan delegasi FIEF yang diketuai Dekannya, Dr Muhammad Zaki Haji Zaini itu merupakan lawatan balas selepas rombongan Fakulti Kewangan Antarabangsa Labuan (FKAL) mengadakan lawatan kerja ke FIEF UNISSA pada 25 Februari tahun lalu.

Terdahulu ketibaan delegasi FIEF disantuni Dekan Fakulti Kewangan Antarabangsa Labuan (FKAL), Profesor Madya Dr. Geoffrey Harvey Tanakinjal.

Dr. Geoffrey berkata kunjungan balas itu bertujuan pemurnian dokumentasi Memorandum Perjanjian (MoA) yang melibatkan kedua-dua institusi pendidikan tinggi itu.

Katanya, kunjungan itu merupakan langkah penting dalam memperkukuhkan kerjasama strategik antara UMS dan UNISSA, dalam membangunkan program Ijazah Dual (Dual Degree) yang julung kalinya ditawarkan di Universiti Malaysia Sabah (UMS).

Dalam sesi perbincangan yang berlangsung di Bilik Seminar Kiansam, Bangunan Menara UMSKAL itu, kedua-dua pihak mengadakan perbincangan terperinci bagi memastikan dokumen MoA yang dirangka mencerminkan komitmen dan aspirasi bersama.

“Pemurnian dokumen ini dijangka membuka laluan kepada pelaksanaan pelbagai program kolaborasi, termasuk penyelidikan bersama, seminar antarabangsa dan mobiliti akademik yang bakal memberi manfaat kepada pelajar serta kakitangan akademik kedua-dua universiti,”katanya berucap pada majlis itu.

Sementara itu, Dr Muhammad Zaki menyatakan penghargaan atas sambutan mesra daripada FKAL UMS dan optimistik terhadap peluang kolaborasi pada masa depan.

Kedua-dua pihak dijangka menandatangani dokumen Memorandum Perjanjian itu dalam tempoh terdekat selepas semua butiran dimuktamadkan.

Inisiatif ini sekali lagi menunjukkan komitmen UMS dalam mengukuhkan hubungan antarabangsa untuk pembangunan pendidikan yang mampan selaras dengan Pelan Strategik UMS untuk menjadikan program akademik bertaraf dunia.

Turut hadir Timbalan-timbalan Dekan, Pensyarah Kanan dan pegawai kanan serta kakitangan FKAL.

Turut menyertai lawatan itu ialah Dr Amnisuhailah Abarahan, Dr Hajah Nur Annisa Haji Sarbini, Dr Hajah Siti Nor Surianna Haji Abdul Talip dan Aminur Rasyid Dr Haji Zakaria.

Delegasi FIEF UNISSA turut meninjau pemandangan indah dan menarik WP Labuan dari Aras 13 Bangunan Menara UMSKAL yang turut menempatkan lokasi melihat anak bulan.

Rombongan pensyarah FIEF UNISSA turut melawat kolej kediaman UMSKAL dan mendengar taklimat ringkas daripada Ketua Sektor Pentadbiran Kolej Kediaman, Norhanizah Adnan.

Semoga Berjumpa Lagi.

Tamat.

Murid Tahun 6 SK Mansiat Keningau Berminat Lanjutkan Pengajian Ke UMSKAL

Murid Tahun 6 SK Mansiat Keningau Berminat Lanjutkan Pengajian Ke UMSKAL

SERAMAI 12 murid Tahun 6 Sekolah Kebangsaan (SK) Mansiat Keningau teruja mengunjungi Universiti Malaysia Sabah Kampus Antarabangsa Labuan (UMSKAL) pada 20 Januari 2025.

Program Lawatan Sambil Belajar dan bimbingan kerjaya murid-murid SK Mansiat, Keningau itu diketuai Guru Besar, Ledrin Ziubin@Jiubin.

Ledrin berkata program lawatan yang diiringi tujuh orang guru itu bertujuan untuk membimbing murid menetapkan matlamat kerjaya yang jelas dan langkah permulaan dari sekolah rendah.

Pada masa sama, memupuk kesedaran dan penghargaan terhadap budaya, sejarah dan pemeliharaan tempat lawatan di UMSKAL.

“Menerusi program itu, kami berharap murid akan memahami dan mengaplikasi teori yang dipelajari dalam dunia sebenar melalui pengalaman lawatan berkenaan.

“Murid sangat berminat dan teruja melanjutkan pengajian selepas melihat sendiri kemudahan yang disediakan di UMSKAL,”katanya.

Terdahulu ketibaan rombongan sekolah itu disantuni Ketua Sektor Pentadbiran dan Sumber Manusia (SPSM), Mas Adi Alimin, Ketua Unit Korporat dan Antarabangsa, Ezawati Pungut serta kakitangan SPSM.

Selepas sesi bergambar, kedua-dua pihak bertukar-tukar cenderamata tanda kenangan.

Mas Adi menyampaikan taklimat mengenai pentadbiran UMSKAL di Bilik Seminar Layangan Aras 11, Bangunan Menara UMSKAL.

Beliau turut mengalu-alukan kehadiran murid dan guru sekaligus mendoakan kejayaan mereka pada masa hadapan.

“Pelbagai kemudahan disediakan oleh pihak UMSKAL sekaligus mampu menarik lebih ramai pelajar dari seluruh negara melanjutkan pengajian di sini,”katanya.

Murid dan guru turut dibawa ke Makmal Fakulti Komputeran dan Informatik (FKI) untuk melihat sendiri kemudahan yang disediakan.

Mereka juga teruja meninjau pemandangan indah dan menarik WP Labuan dari Aras 13 Bangunan Menara UMSKAL yang turut menempatkan lokasi melihat anak bulan.

Hingga Berjumpa Lagi.

Tamat.

KARKOMKAL Semester 1 Sesi 2024/2025 Meriah

KARKOMKAL Semester 1 Sesi 2024/2025 Meriah

19 JANUARI 2025 - Pengarah UMSKAL, Prof Madya. Dr. Mohamad Rizal Abdul Hamid merasmikan Karnival Kokurikulum Berkredit UMSKAL Semester 1 Sesi 2024/2025 (KARKOMKAL).

Program itu dianjurkan Pusat Kokurikulum dan Pemajuan Pelajar Universiti Malaysia Sabah Kampus Antarabangsa Labuan (PKPP-UMSKAL).

KARKOMKAL Semester 1 Sesi 2024/2025 diadakan di Dewan Utama UMSKAL dari pukul 7.30 hingga 11 malam.

Turut hadir Pengarah Pusat Kokurikulum Dan Pemajuan Pelajar, Universiti Malaysia Sabah. Professor Madya Dr. Jury Foo @ Jurry F Michael, Calvin Hii Lu Hin Wakil Presiden Dewan Perniagaan Tionghua, Wilayah Persekutuan Labuan, Dekan Fakulti Kewangan Antarabangsa Labuan (FKAL), Profesor Madya Dr. Geoffrey Harvey Tanakinjal, Ketua Pentadbiran UMSKAL, Zamri Mohammad Tuah dan Pengarah KARKOMKAL Semester 1 Sesi 2024/2025, Mohd Amirul Mohammad Isa.

Hadir sama Ketua Sektor Pentadbiran dan Sumber Manusia (SPSM), Mas Adi Alimin dan Ketua Sektor Pusat Kokurikulum dan Pemajuan Pelajar UMSKAL, Johari Safar.

Profesor Madya Dr. Mohamad Rizal berkata Program Karnival Kokurikulum Berkredit Universiti Malaysia Sabah Kampus Antarabangsa Labuan (UMSKAL) Sesi 2024/2025 merupakan salah satu program ikonik di bawah pusat kokurikulum dan pemajuan pelajar.

Beliau percaya program ini telah memberi banyak manfaat dan impak yang sangat baik kepada mahasiswa UMSKAL.

Saya percaya objektif program ini telah tercapai secara tidak langsung sepanjang karnival ini dijalankan.

Program ini secara tidak langsung telah memupuk perpaduan antara kaum khususnya kepada mahasiswa UMSKAL.

Saya berharap agar mahasiswa UMSKAL dapat mengekalkan keharmonian dan saling menghormati bangsa dan agama masing-masing.

Karnival juga juga sekaligus menggalakkan keterangkuman sosial bagi memastikan tiada mahasiswa yang tertinggal dan berpeluang untuk berkembang tanpa sebarang halangan tidak kira apa latar belakang.

Saya juga percaya karnival ini dapat meningkatkan kesedaran budaya dan tradisi serta mendorong tanggungjawab sosial kepada semua mahasiswa yang telah bertungkus lumus dalam menjayakan karnival kokurikulum pada kali ini.

Seterusnya, memperkukuhkan semangat kerjasama dan kerja berpasukan.

Saya ingin merakamkan penghargaan kepada semua yang terlibat dan bekerjasama memberi sepenuh komitmen untuk memberi yang terbaik.

Saya berharap mahasiswa sekalian dapat mengekalkan kerjasama dan kerja berpasukan seperti ini sehingga ke alam pekerjaan kelak.

Karnival ini juga telah menginspirasi penghargaan terhadap kepelbagaian budaya di negara ini khususnya dalam kalangan warga UMSKAL itu sendiri dan yang paling penting sekali telah menghidupkan nilai-nilai positif dalam kalangan pelajar.

Tamat.

Hubungi Kami

UMS Kampus Antarabangsa Labuan
Jalan Sungai Pagar
87000 WP Labuan

+(60) 87 - 503 000
adminkal[at]ums.edu.my