Magnin Blog

Publish your news and thoughts with all.

Popular Articles

Recent Stories

Program “Little Halal Heroes”

Program “Little Halal Heroes”

LABUAN: Pelajar Kursus Pengurusan Wakaf daripada program Kewangan Islam, Fakulti Kewangan Antarabangsa Labuan (FKAL), Universiti Malaysia Sabah Kampus Antarabangsa Labuan (UMSKAL) telah menjayakan program “Little Halal Heroes” yang diadakan di Dewan Surapit, Sekolah Kebangsaan Layang-Layangan, pada 8 Januari 2025.

Mereka terdiri daripada 10 orang mahasiswi iaitu Nazatul Insyirah Hasirin, Nurul Shasha Fazillah, Nur Hazirah Shazwani, Siti Nurhayatul Fazella Asri, Nuraina Ja’aib, Syifaa Rainul, Ariana, Majrah Manan, Nur Aisyahtul Ain Razid dan Nur Azwani Farhana Rahman.

Program “Little Halal Heroes” ini merupakan hasil kerjasama antara UMSKAL di bawah program SULAM dan Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (PERKIM) serta Syarikat Rancha-Rancha Aerated Water.

Program ini melibatkan 76 murid yang terdiri daripada murid Tahun 5 dan Tahun 6 SK Layang-Layangan yang turut disertai oleh Guru Pembimbing dan Unit Panitia Agama Islam sekolah itu.

Tujuan program ini dijalankan adalah untuk memberikan pendedahan awal terhadap konsep halal dalam makanan di samping meningkatkan pengetahuan mereka dengan maksud sebenar halal dalam makanan.

Program “Little Halal Heroes” juga memberikan manfaat kepada murid dengan memastikan setiap peserta didedahkan kepada kelebihan memakan makanan dan meminum minuman yang halal iaitu salah satunya adalah untuk mencapai keredhaan Allah SWT.

Selain itu, program ini membantu peserta untuk lebih berhati-hati dalam memilih makanan yang diambil agar tidak memakan makanan yang haram.

Menerusi program ini, murid SK Layang-Layangan juga boleh mengaplikasikan ilmu yang mereka perolehi mengenai konsep halal dalam makanan ke dalam kehidupan mereka.

Program ini dimulakan dengan nyanyian lagu “Negaraku” dan “Maju dan Sejahtera”, diikuti oleh bacaan doa oleh murid tahun enam, Yu’afarez Nawfal Yusnizam.

Program ini dirasmikan oleh pengarah program, Nazatul Insyirah Hasirin.

Ceramah yang disampaikan oleh wakil PERKIM, Ustaz Nik Muhamad Fazli Nik Abdul Razak yang bertajuk “Makanan Halal Lagi Baik” dapat memberikan ilmu pengetahuan tambahan kepada setiap peserta agar mereka dapat mengambil bahagian dalam aktiviti–aktiviti yang diadakan selepas sesi ceramah serta dapat dipraktikkan dalam kehidupan seharian.

Selain daripada sesi ceramah, terdapat juga beberapa aktiviti yang dilaksanakan bagi meningkatkan lagi pengetahuan peserta mengenai konsep makanan halal.

Aktiviti-aktiviti yang telah dilaksanakan termasuklah “BINGO”, Radio Rosak, “Think Fast!”, dan “Mix & Match” Logo Halal.

Penyelaras Kursus Pengurusan Wakaf, Dr. Hajah Haneffa Muchlis Gazali juga memainkan peranan sebagai penasihat program bagi memastikan program “Little Halal Heroes” ini dapat dilaksanakan dengan jayanya.

Dr. Hajah Haneffa turut menyampaikan cenderamata kepada Guru Besar SK Layang-Layangan, Shamsuria Ebni atas kesudian menjadi rakan kolaborasi bagi program ini.

Pihak penganjur berharap agar program yang dilaksanakan ini akan dapat memberikan manfaat kepada para peserta yang terlibat.

Tamat.

Kumpulan Ihsan Yusri Kendali Program “Respon Pantas: Bantuan Pertolongan Cemas”

Kumpulan Ihsan Yusri Kendali Program “Respon Pantas: Bantuan Pertolongan Cemas”

PELAJAR Kursus Pengurusan Wakaf daripada program Kewangan Islam Fakulti Kewangan Antarabangsa Labuan (FKAL), Universiti Malaysia Sabah Kampus Antarabangsa Labuan (UMSKAL) telah berjaya mengadakan program “Respon Pantas: Bantuan Pertolongan Cemas” yang dilaksanakan di Dewan Mutiara, Kolej Matrikulasi Labuan pada 4 Januari 2025.

Melalui program ini, pelajar Kolej Matrikulasi Labuan (KML) dapat memahami ilmu pertolongan cemas daripada aspek Menyelamat Kecemasan dan Tali Menali.

Program Respon Pantas: Bantuan Pertolongan Cemas ini merupakan hasil kerjasama di antara UMSKAL dan pihak Angkatan Pertahanan Awam serta Kelab Sahabat Al- ‘Irfaan KML di bawah program Sulam.

Program itu melibatkan 50 pelajar KML yang disertai oleh tiga pegawai Angkatan Pertahanan Awam iaitu L/Kpl. (PA) Dzulnizam Ali Hassan, Pbt. (PA) Amirul Safrudin dan Pbt. (PA) Kennedy Advent Chiol serta pihak Kelab Sahabat Al-’Irfaan iaitu Ketua Pengurusan Pelajar Kelab Sahabat Al-’Irfaan, Ustaz Syahmun Yahaya, Ustazah Noor Aliza Sidek dan Nerwani  Aslan.

Objektif bagi program Respon Pantas: Bantuan Pertolongan Cemas adalah untuk memberi pendedahan dan ilmu mengenai pertolongan awal sebelum ketibaan pihak APM dan pihak Bomba serta memupuk rasa tanggungjawab dalam melakukan sesuatu perkara.

Selain itu, penyelaras program Respon Pantas: Bantuan Pertolongan Cemas, Dr. Hajah Haneffa Muchlis yang juga penasihat program telah banyak memberikan sokongan dan dorongan dalam memastikan program ini berjalan dengan lancar dan jayanya.

Beliau yang merasmikan program itu turut menyampaikan sijil penghargaan kepada pihak Angkatan Pertahanan Awam dan Kelab Sahabat Al-’Irfaan.

Ilmu yang telah disampaikan oleh L/Kpl. (PA) Dzulnizam Ali Hassan dan dibantu oleh Pbt. (PA) Amirul Safrudin dan Pbt. (PA) Kennedy Advent Chiol telah memberi peluang kepada para pelajar untuk terlibat dan mengambil bahagian dalam aktiviti praktikal dan demonstrasi dalam menyelamatkan mangsa.

Aktiviti itu merangkumi cara-cara mengangkat mangsa, jenis-jenis teknik mengangkat mangsa serta kaedah simpulan dan ikatan yang sesuai dalam penyelamatan.

Selain itu, terdapat aktiviti yang dinamakan “Station Game” yang melibatkan peserta dan ahli jawatankuasa pelaksana dalam mengendalikan aktiviti itu.

Permainan itu berkaitan dengan taklimat dan ilmu pengetahuan yang telah disampaikan oleh pihak Angkatan Pertahanan Awam seperti kuiz, cer teka dan Draw A-Line.

Ahli jawatankuasa pelaksana program ini yang diketuai oleh Maria Sherrina Herman bersama ahli kumpulannya iaitu Nurul Ashiqin Mohd Amin @ Mangenre, Nur’ain Sofea Muhamad Shahrum, Nurul Fadhzlyana Qhairounniesa Darwisal.

Selain itu, Farah Nur’ Adawiyyah Othman, Nurul Aisyah Mangummah, Siti Nur Syafiqah Abdullah, Muhammad Yusri Ahmad Tarmizi, Nor-Rahma Abd Rahkib dan Noor Ashikin Adjad.

Maria Sherrina berkata dengan adanya program yang telah dilaksanakan itu dapat memberi manfaat kepada semua peserta yang terlibat dalam memberikan bantuan pertolongan awal kepada mangsa yang berada dalam keadaan kecemasan.

“Kami ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada pihak yang terlibat iaitu APM dan Kelab Sahabat Al-’Irfaan atas kerjasama bagi menjayakan program ini serta pelajar-pelajar KML kerana sudi menyertai program ini.

“Tidak lupa ucapan terima kasih kepada penyelaras program Respon Pantas: Bantuan Pertolongan Cemas, Dr Hajah Haneffa kerana telah banyak memberi tunjuk ajar kepada kami sepanjang menguruskan program ini.,”katanya.

Semoga segala usaha dan penat lelah kita mendapat keberkatan dan ganjaran daripada Allah SWT.

Tamat.

Pelajar Kursus Pengurusan Wakaf Anjur Program Pemindahan Ilmu untuk murid Sekolah Rendah

Pelajar Kursus Pengurusan Wakaf Anjur Program Pemindahan Ilmu untuk murid Sekolah Rendah

LABUAN: Pelajar Kursus Pengurusan Wakaf Program Kewangan Islam, Fakulti Kewangan Antarabangsa Labuan (FKAL), Universiti Malaysia Sabah Kampus Antarabangsa Labuan (UMSKAL) telah menjayakan Program "Pure Hearts, Clean Souls: A Taharah Journey" di Desa Tunas Hijau pada 14 Disember 2024.
 
Program ini merupakan inisiatif pelajar Pengurusan Wakaf yang bertujuan untuk mendidik, berkongsi ilmu dan meningkatkan kesedaran tentang konsep taharah dalam kalangan murid sekolah rendah di Wilayah Persekutuan Labuan.
 
Program ini mendapat kerjasama daripada pelbagai agensi termasuk Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan (JPWPL), Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) Labuan, Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP), Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (PERKIM) Labuan serta Desa Tunas Hijau, Labuan.
 
Majlis perasmian disempurnakan oleh Penyelaras program dan Pensyarah Kanan FKAL di UMSKAL, Dr. Hajah Haneffa Muchlis Gazali.
 
Turut hadir Pengarah Urusan Desa Tunas Hijau, Datin Sri Dato’ Hajah Norsiah Abdullah dan Setiausaha Kehormat PERKIM Labuan, Rika Oktavia Asnam Rajo Intan dan Ketua Kumpulan, Nurul Ain Hazwani Kifle.
 
Dengan sokongan ini, program ini diharapkan dapat memberikan impak positif kepada 61 orang murid Tahap 2 SK Membedai, SK Sungai Lada, SK Patau-patau, SK Layang-layangan, SK Pekan Dua dan SK Bebuloh.
 
Penyelaras program dan Pensyarah Kanan FKAL di UMSKAL, Dr. Hajah Haneffa Muchlis Gazali memainkan peranan penting dalam menyelaras, menasihat dan memastikan program ini dapat dilaksanakan dengan jayanya.
 
Beliau bertanggungjawab memastikan sepanjang persediaan program sentiasa dalam pemerhatiannya dan dirangka dengan cara yang betul, termasuklah cara pendekatan pelajar bersama rakan kolaborasi.
 
Dengan pengalaman dan kepakaran beliau, Dr. Hjh Haneffa berkomitmen untuk menjadikan program ini menjadi satu pengalaman yang bermakna dan berkesan bagi pelajar Kursus Pengurusan Wakaf dan juga semua peserta.
 
Dr. Haneffa mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua pihak yang terlibat secara langsung dan tidak langsung dalam menjayakan program ini.
 
Program ini telah diusahakan oleh 12 orang pelajar dari Tahun 3 dan 4 Kewangan Islam selama sebulan bermula dari awal bulan November sehingga hari program.
 
Pelaksanaan program ini diketuai oleh Nurul Ain Hazwani Kifle bersama ahli kumpulannya, Muhammad Khairul, Nur Humaira, Mohammad Kahrudin, Mohd Afiq, Siti Wardina, Siti Nur Farhana, Ahmad Aqil, Anis Najihah, Muhammad Nazrul, Mohamed Atiqullah, dan Wan Ashraf.
 
Antara aktiviti yang dilaksanakan termasuklah ceramah interaktif yang telah disampaikan oleh penceramah daripada JAWI, Ustaz Zaidon Burahim yang bertajuk “Bab Taharah Najis-najis dan Cara Menyucikannya”.
 
Ceramah ini memberi tumpuan kepada jenis-jenis najis dan kaedah penyucian yang betul menurut ajaran Islam.
 
Peserta juga telah terlibat dalam aktiviti praktikal dan demonstrasi yang menarik melalui aktiviti yang berkonsepkan explore race untuk mengukuhkan lagi pemahaman mereka tentang taharah melalui misi di setiap check point.
 
Program ini bukan sahaja bertujuan untuk mendidik tetapi juga untuk membina hubungan sosial dalam kalangan peserta daripada sekolah-sekolah rendah yang berbeza melalui sesi ice breaking.
 
Dengan pendekatan yang interaktif dan menarik, diharapkan peserta dapat menghayati dan mengamalkan nilai-nilai kebersihan dalam kehidupan seharian mereka, seperti dalam hadith yang dikutip dari Kitab Ihya’ Ulumuddin karya Imam Al Ghazali, Rasulullah SAW menjadikan kebersihan separuh dari keimanan.
 
Baginda bersabda, yang ertinya; “Kesucian itu adalah setengah dari iman.” (HR Muslim.).
 
Pihak penganjur berharap agar program ini dapat menjadi platform untuk menyebarkan ilmu dan meningkatkan kesedaran tentang pentingnya taharah dalam Islam, sekaligus membentuk generasi yang lebih bersih dan berakhlak mulia.

Tamat.

Meraikan inovasi, menginspirasi masa depan Labuan dan Sabah

Meraikan inovasi, menginspirasi masa depan Labuan dan Sabah

Universiti Malaysia Sabah (UMS) meraikan kemuncak inisiatif sulungnya, Technology Talent Hub 2024 (T2H 2024), melalui satu majlis anugerah yang diadakan di Bilik Eureka, Bangunan Menara, UMS Kampus Antarabangsa Labuan (UMSKAL) pada 11 Disember 2024.

Acara yang bertemakan “Ideas, Innovate, Inspire” ini mengiktiraf dan memberikan penghargaan kepada bakat teknologi luar biasa dalam kalangan pelajar UMS.

Pengerusi T2H 2024 merangkap Dekan Fakulti Kewangan Antarabangsa Labuan (FKAL) UMS, Profesor Madya Dr. Geoffrey Harvey Tanakinjal, mengucapkan tahniah kepada pemenang dan memuji idea inovatif serta dedikasi mereka.

Beliau menekankan kuasa transformasi inovasi dengan menyatakan, “Inovasi, seperti percikan api yang pantas, boleh menyala di mana sahaja, tetapi hanya mereka yang mempunyai minda ingin tahu akan melihat nyalaannya.

Ia sering memerlukan pencarian yang sengaja dan keberanian untuk mencabar status quo.”

Inisiatif ini, yang pertama seumpamanya di Labuan dan UMS, bertujuan menangani isu penghijrahan tenaga kerja (brain drain) di Labuan dan Sabah dengan mengenal pasti, membangun dan menarik bakat dalam bidang teknologi, pemasaran dan kewangan.

“Usaha ini juga membuktikan kebolehan Labuan sebagai hab yang sesuai dan berdaya maju untuk pembangunan teknologi, khususnya dalam aplikasi Kecerdasan Buatan (AI) dan rantaian blok,”tambah Dr. Geoffrey.

Turut hadir, Pengarah UMSKAL, Profesor Madya Dr Mohd Rizal Abdul Hamid, Ketua Pegawai Eksekutif Neurogine, Owen Chee Onn dan Ketua Pegawai Eksekutif Labuan Shipyard and Engineering Sdn Bhd, Haji Shahrul Ahmad Tajudin. Timbalan Dekan Fakulti Komputeran dan Informatik, Dr, Noralisa Mohd Tuah dan Timbalan Dekan (Hal Ehwal Pelajar & Alumni), Dr Noor Hassanah Husin yang juga Ketua Sekretariat UMS T2H 2024.

Hadir sama Timbalan Presiden Kanan Neurogine, Chooi Yew Tzen dan Timbalan Dekan (Akademik & Antarabangsa), Dr Ricky Chia Chee Jiun.

“Kami percaya bahawa dengan mengiktiraf dan memberi ganjaran kepada bakat luar biasa, kami dapat menginspirasi generasi pelopor teknologi akan datang.

Ekosistem di UMS menyediakan persekitaran yang sesuai untuk membangun dan lebih penting lagi, menyampaikan pengajaran utama kepada generasi muda ini,”katanya sambil mengucapkan terima kasih kepada 14 mentor yang terlibat, terdiri daripada pakar daripada empat fakulti: FKAL, Fakulti Komputeran dan Informatik (FKI), Fakulti Kejuruteraan, dan Fakulti Sains dan Sumber Alam, yang membimbing para peserta.

Dr. Geoffrey dan Profesor Madya Ts. Dr. Mohd Hanafi Ahmad Hijazi dari FCI UMS bersama-sama mengetuai panel lapan hakim untuk menilai pelbagai projek inovatif, termasuk aplikasi AI, penyelesaian rantaian blok, serta penyelesaian praktikal untuk cabaran tempatan dan industri.

Para hakim teruja dengan pertimbangan sosial yang ditampilkan oleh pasukan serta potensi mereka dalam menangani isu seperti kelestarian alam sekitar, keselamatan makanan dan penjagaan kesihatan.

Ahli panel hakim T2H 2024 yang lain termasuk Ketua Pegawai Eksekutif Neurogine Owen Chen Chee Onn, Ketua Pegawai Eksekutif Labuan Shipyard and Engineering Sdn Bhd, Shahrul Effendy Ahmad Tajudin, Profesor Madya Lee Hock Ann dari Fakulti Kewangan Antarabangsa Labuan UMS, Pengurus Kanan Founders Centre of Excellence Development & Unicorn Markets Malaysia Digital Economy Corporation, Jesse Chooi Tze Keong, Penasihat Persatuan Fintech Malaysia Farah Jaafar dan Pengerusi Dewan Perniagaan Labuan (LCC) Ts. Daniel Doughty.

T2H 2024 dianjurkan oleh Fakulti Kewangan Antarabangsa Labuan dengan kerjasama Fakulti Komputeran dan Informatik serta Neurogine Sdn Bhd.

Ia dilancarkan pada bulan Jun lalu untuk memupuk budaya inovasi dan kreativiti dalam kalangan pelajar UMS, dengan mendorong mereka untuk menghasilkan penyelesaian kepada cabaran dunia sebenar.

Ketua Pegawai Eksekutif Neurogine, Owen Chen Chee Onn, menyatakan komitmen syarikatnya untuk membina pemimpin teknologi masa depan dan rasa bangganya dalam menyokong inisiatif ini.

“Kami komited untuk membangunkan pemimpin masa depan dalam bidang teknologi, kewangan dan pemasaran yang saling berkaitan.

Kami berbesar hati menjadi sebahagian daripada T2H 2024 UMS dan menjadi penaja utamanya kerana inisiatif ini sejajar dengan nilai-nilai kami yang dirangkumkan dalam temanya, ‘Ideas, Innovate, and Inspire,”katanya.

Beliau menambah bahawa Neurogine telah berada di barisan hadapan dalam inovasi, menerajui penyelesaian tokenisasi pembayaran dan rantaian blok kewangan sejak 2019, dan sentiasa bersedia untuk berkongsi pengalaman.

“Inisiatif ini akan menyokong dan memupuk minda-minda cemerlang, memberi manfaat kepada golongan muda, untuk golongan muda, dan disokong oleh industri.

Kami sangat bangga dengan bakat dan kreativiti yang ditunjukkan oleh setiap peserta.”

“Kami percaya bahawa dengan melabur dalam pendidikan, penyelidikan, dan kerjasama, kita dapat membuka potensi penuh daya cipta manusia. Inisiatif ini adalah bukti kepada visi bersama kami untuk mencipta ekosistem yang dinamik di mana idea berkembang dan penyelesaian inovatif terhasil.

Saya yakin sepenuhnya bahawa T2H 2024 UMS bersedia menjadi pemangkin kepada perubahan transformasi bagi Labuan dan Malaysia.”

UMS mengucapkan tahniah kepada semua pemenang dan peserta atas sumbangan cemerlang mereka dan berharap untuk terus menginspirasi generasi inovator akan datang.

Tahniat Buat Semua.

Tamat.

Hubungi Kami

UMS Kampus Antarabangsa Labuan
Jalan Sungai Pagar
87000 WP Labuan

+(60) 87 - 503 000
adminkal[at]ums.edu.my