Magnin Blog

Publish your news and thoughts with all.

Popular Articles

Recent Stories

Path to Perfection: Al-Fatihah Workshop'

Path to Perfection: Al-Fatihah Workshop'

11 JANUARI 2025 - Pelajar Kursus Pengurusan Wakaf daripada Program Kewangan Islam Fakulti Antarabangsa Labuan (FKAL), Universiti Malaysia Sabah Kampus Antarabangsa Labuan (UMSKAL) telah menganjurkan Path to Perfection: Al-Fatihah Workshop' di Sekolah Menengah Sains Labuan.

Program telah disertai oleh 50 orang pelajar Sekolah Menengah Sains Labuan (SMSL) bersama Guru Pembimbing, Ustazah Noorain Jumah, Ustazah Nur Amirah Amaninah Nordin dan Ustazah Lily Elmiyanti Kastor.

Majlis perasmian telah disempurnakan oleh Penyelaras program yang juga Pensyarah Kanan FKAL, Dr Haneefa Muchlis Gazali.

Beliau bertanggungjawab memastikan sepanjang persediaan program sentiasa dalam pemerhatiannya dan dirangka dengan teliti, termasuklah cara pendekatan pelajar bersama pihak yang terlibat.

Dr Hannefa mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua pihak yang terlibat terutama kepada pihak Sekolah Menengah Sains Labuan yang telah membantu menjayakan program berkenaan.

Beliau turut berterima kasih kepada penceramah jemputan yang telah memberi kerjasama yang positif kepada pelajar Kursus Pengurusan Wakaf.

Ilmu yang disampaikan Ustaz Azzif Anuwar dari SMK Rancha-Rancha telah memberi ruang kepada pelajar Sekolah Menengah Sains Labuan untuk mengambil bahagian dalam aktiviti praktikal seperti flash card, kuiz ringkas berkenaan Al Fatihah, pemindahan ilmu tajwid dan kesalahan dalam bacaan Al Fatihah serta praktikal pembacaan Al fatihah dengan bacaan dan sebutan mengikut makhraj yang betul.

Pelaksanaan program ini diketuai oleh Hakeemudin Halim bersama ahli kumpulannya iaitu Muhammad Yassin Yusli, Muhammad Alhakam, Hazrul Hab Seng, Muhamad Ikhwan Hakim, Siti Raudhah Anuar, Julinah Kayapis, Saidatul Fatihah Jamaludin, Fitria Yusof dan Nur Suhaila Ahmad.

Program Path to Perfection: Al-Fatihah Workshop’ telah memberi peluang kepada peserta untuk memahami makna dan pengajaran serta meningkatkan hubungan peribadi dengan bacaan Al-Fatihah, yang merupakan surah asas dalam Islam.

Melalui program ini, penganjur berhasrat membantu pelajar-pelajar memantapkan kemahiran menghafaz dan sebutan yang betul.

Dengan pemahaman yang lebih mendalam, peserta dapat meningkatkan kefahaman agama dan mengaplikasikan pengajaran untuk menjadi lebih aman, adil dan seimbang.

Ini juga menyokong pembangunan masyarakat yang damai melalui pertukaran maklumat dan kerjasama antara penganjur, peserta dan penceramah serta menggalakkan kolaborasi antara komuniti, masjid dan organisasi pendidikan agama.

Tamat.

 Fakulti Kewangan Antarabangsa Labuan Bantu Usahawan IKS Sabah

Fakulti Kewangan Antarabangsa Labuan Bantu Usahawan IKS Sabah

11 JANUARI 2025 - Pelajar-pelajar Fakulti Kewangan Antarabangsa Labuan (FKAL), Universiti Malaysia Sabah Kampus Antarabangsa Labuan (UMSKAL) menjayakan Program SULAM
bersama usahawan IKS Kawasan Pantai Dalit, Tuaran, Sabah yang diadakan di NADI PPR Taman Sri Rugading, Tuaran, Sabah.

Program Pemindahan Ilmu bersama Usahawan IKS Pantai Dalit di bawah Projek Service Learning Malaysia - University for Society (SULAM) yang dikendalikan oleh 10 orang pelajar dari Fakulti Kewangan Antarabangsa Labuan (FKAL) yang diketuai oleh Chong Choon Pin di bawah selian Pensyarah Kanan, Dr Nazarina Jamil untuk kursus Etika Perniagaan.

Program ini adalah kerjasama bersama Koperasi Persatuan Usahawan Digital IKS Sabah Berhad (Ko-Perdiks) dan pihak UPPM Pantai Dalit.

Program ini dihadiri seramai 29 orang usahawan Kecil Dan Sederhana (IKS) dari kawasan Pantai Dalit.

Tujuan program ini diadakan adalah untuk membantu usahawan-usahawan IKS dalam membangunkan dan mengembangkan perniagaan mereka terutamanya dari segi pemasaran  dan promosi produk menggunakan teknologi seperti Kecerdasan Buatan (AI) seperti ChatGPT dan juga Canva.

Selain daripada itu, usahawan juga didedahkan dengan kepentingan amalan etika dalam perniagaan, serta turut memastikan objektif perniagaan mereka selari dengan Matlamat Pembangunan Lestari (SDGs).

Program ini telah dirasmikan oleh Datuk Johari Saiman, wakil kepada Datuk Jasnih Daya, ADUN N13 Pantai Dalit merangkap Pengerusi Innoprise Sdn Bhd.

Hadir sama ialah Pensyarah Kursus Etika Perniagaan, Dr. Nazarina Jamil, mewakili Dekan FKAL, Prof Madya. Dr. Geoffrey Harvey Tanakinjal. Pengerusi Koperasi Persatuan Usahawan Digital IKS Sabah Berhad, Azlee Okee, Pegawai Pembangunan Masyarakat N13 UPPM Pantai Dalit, Irwandie Matshah dan Timbalan Pengerusi Ko-Perdiks Dato Paduka Rehan Rahim.

Dalam ucapan perasmiannya, Datuk Johari Saiman menekankan pentingnya program SULAM dalam memperkasakan masyarakat setempat melalui kerjasama antara universiti dan komuniti.

Beliau merakamkan penghargaan dan terima kasih dan mengucapkan tahniah kepada semua pihak yang terlibat dan berharap agar program seperti ini dapat diteruskan dan diperluas untuk memberi manfaat kepada lebih ramai individu dan komuniti pada masa hadapan.

Beliau berharap agar kejayaan projek ini akan menjadi titik mula kepada kesinambungan program-program seumpamanya pada masa hadapan.

Beliau menekankan sokongan terus menerus daripada pihak pemimpin setempat di Pantai Dalit dan Tuaran amnya, untuk menjayakan program-program yang bermanfaat seperti ini.

Kajian-kajian bersama dengan institusi pengajian tinggi terutamya dari FKAL dan UMS yang melibatkan pendidikan, suara rakyat, dan sikap masyarakat sekitar amat dialu-alukan bagi menilai tahap penerimaan dan penguasaan aspek-aspek berkaitan ekonomi, pendidikan dan kebajikan untuk penyelesaian bersama.

Projek SULAM ini telah berjaya mencapai matlamatnya dalam memupuk kerjasama antara universiti dan masyarakat.

Diharapkan program ini akan menjadi inspirasi kepada lebih banyak inisiatif yang memanfaatkan kemajuan teknologi dan pendidikan untuk pembangunan komuniti setempat.

Tahniah Buat Semua.

Tamat.

Waspada Sebelum Terpedaya: Jangan Jadi Mangsa Scammer

Waspada Sebelum Terpedaya: Jangan Jadi Mangsa Scammer

PELAJAR Kursus Pengurusan Wakaf dari Program Kewangan Islam Fakulti Kewangan Antarabangsa Labuan (FKAL), Universiti Malaysia Sabah Kampus Antarabangsa Labuan (UMSKAL) telah berjaya mengadakan Program ‘Bahanah Scammer’ di Kolej Vokasional Labuan pada 8 Januari 2025.

Program ini merupakan inisiatif pelajar Pengurusan Wakaf yang bertujuan untuk mendidik, berkongsi ilmu dan meningkatkan kesedaran tentang langkah bagi mengelakkan diri daripada terjerat dengan penipuan (scam) dalam kalangan pelajar Kolej Vokasional Labuan.

Program ini mendapat kerjasama daripada pelbagai agensi termasuk Ibu Pejabat Polis Daerah Labuan (IPDL) dan Kolej Vokasional Labuan.

Majlis perasmian disempurnakan oleh Pengarah Program ‘Bahanah Scammer’ iaitu Fasela Adrian dan Penyelaras Program, Dr. Hajah Haneffa Muchlis Gazali.

Turut hadir Pengarah Kolej Vokasional Labuan, Nordin Akup dan Timbalan Pengarah Sokongan Akademik Kolej Vokasional Labuan, Irwan Maidin.

Dengan sokongan ini, program ini diharapkan dapat memberikan impak positif kepada 30 orang pelajar Kolej Vokasional Labuan yang terlibat.

Penyelaras program, Dr. Hajah Haneffa Muchlis Gazali memainkan peranan penting dalam menyelaras, menasihat dan memastikan program ini dapat dilaksanakan dengan jayanya.

Beliau bertanggungjawab memastikan sepanjang persediaan program sentiasa dalam pemerhatiannya dan dirangka dengan cara yang betul termasuklah cara pendekatan pelajar bersama rakan kolaborasi.

Dengan pengalaman dan kepakaran beliau, Dr. Hajah Haneffa berkomitmen untuk menjadikan program ini menjadi satu pengalaman yang bermakna dan berkesan bagi pelajar Kursus Pengurusan Wakaf dan juga semua peserta.

Dr. Hajah Haneffa mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua pihak yang terlibat secara langsung dan tidak langsung dalam menjayakan program ini.

“Walaupun program ‘Bahanah Scammer’ yang mereka anjurkan ini tidak berkaitan dengan Kursus Pengurusan Wakaf, namun ini adalah salah satu cara mereka untuk menyumbangkan ilmu pengetahuan atau juga dikenali sebagai wakaf ilmu melalui pakar yang lebih mengetahui tentang penipuan atas talian ini.”katanya.

Program ini telah diusahakan oleh 11 orang pelajar dari Tahun 3 Kewangan Islam yang
diketuai oleh Fasela Adrian bersama ahli kumpulannya, Nur Alya Hafiezah, Hafiza Nabila, Nazatul Aisah, Nur Nazifah, Siti Nursuhana, Zulikmal, Nazriah, Noor Farah Afifah Elana, Nurul Nabilah dan Faleela Firdhaus.

Antara aktiviti yang dilaksanakan termasuklah ceramah interaktif yang telah disampaikan oleh seorang penceramah yang berpengalaman luas dalam isu keselamatan dan jenayah siber, Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Komersil, Ibu Pejabat Polis Daerah Labuan, ASP Jacklyn Justin.

Ceramah ini memberi tumpuan kepada jenis-jenis penipuan yang berlaku atas talian dan juga cara-cara untuk mengatasi apabila berlakunya penipuan atas talian ini.

Peserta juga terlibat dalam permainan interaktif Kahoot untuk mengukuhkan lagi pemahaman mereka tentang penipuan atas talian melalui soalan yang sudah disediakan oleh penganjur program.

Hadiah juga turut disediakan bagi pemenang yang mendapat tempat pertama, kedua dan ketiga.

Pihak penganjur berharap agar program ini dapat menjadi platform untuk menyebarkan ilmu dan meningkatkan kesedaran tentang pentingnya pengetahuan tentang penipuan atas talian ini, sekaligus membentuk generasi yang lebih berpengetahuan dan mementingkan keselamatan diri dan juga peribadi.

Tamat.

22 Kanak-kanak Tabika Kemas Kampung Sungai Bedaun Jayakan Program Jelajah Cilik

22 Kanak-kanak Tabika Kemas Kampung Sungai Bedaun Jayakan Program Jelajah Cilik

Pelajar Kursus Pengurusan Wakaf daripada Program Kewangan Islam Fakulti Antarabangsa Labuan (FKAL), Universiti Malaysia Sabah Kampus Antarabangsa Labuan (UMSKAL) yang melibatkan kanak-kanak Tabika Kemas Kampung Sungai Bedaun telah menjayakan program “Jelajah Cilik” yang dilaksanakan di Tabika Kemas Kampung Sungai Bedaun pada 8 Januari 2025.

Program Jelajah Cilik telah dapat mendidik kanak-kanak terlibat mengembangkan kemahiran kendiri dalam menjaga kebersihan diri.

Program Jelajah Cilik ini dihadiri oleh 22 kanak-kanak Tabika Kemas Kampung Sungai Bedaun yang disertai oleh Guru Pembimbing mereka.

Objektif dalam Program Jelajah Cilik adalah untuk meningkatkan keyakinan diri untuk menyelesaikan tugas tanpa bantuan orang dewasa dan membantu kanak-kanak mengembangkan kemahiran kendiri dalam menjaga kebersihan diri.

Justeru itu, program jelajah Cilik juga memberi manfaat kepada kanak-kanak dengan memastikan penjagaan kebersihan diri dalam kehidupan seharian.

Pada program itu, Dr. Hajah Haneffa Muchlis Ghazali yang merupakan penyelaras program pengurusan waqf dan memainkan peranan sebagai penasihat yang mana memastikan program Jelajah Cilik dapat dilaksanakan dengan jayanya.

Beliau juga turut merasmikan program ini dengan menyampaikan cenderamata penghargaan kepada yang terlibat.

Ilmu yang disampaikan oleh Dr. Nur Zawani Daud dan dibantu oleh Dr. Ler Ning Yean telah dapat memberi ruang kepada peserta iaitu kanak-kanak Tabika Kemas Kampung Sungai Bedaun untuk mengambil bahagian dalam aktiviti praktikal seperti teknik asas membersihkan gigi secara berkala dan efektif.

Pelaksanaan program ini diketuai oleh Nur Azzwaliza Amran bersama ahli kumpulannya iaitu Erlianah Asmie, Nurul Izati Farhan Muhamad Syukur, Abby Zulaikha, Hafsirah Borhan, Nurain Kamal, Crystal Roger, Mohammad Salmin Minan, Syahrul Niezam Jasni dan Khaizuran Irfan Aswadee.

Dengan ini, pihak penganjur berharap agar program yang dilaksanakan ini dapat memberi manfaat kepada peserta terlibat.

Tidak lupa juga, ucapan terima kasih kepada penyelaras program Jelajah Cilik ini yang telah banyak memberikan sokongan dan bantuan sehingga program ini dapat dilaksanakan dengan lancar.

Semoga segala usaha dan kerjasama kita semua mendapat ganjaran dan keberkatan dari Allah SWT.

Tamat.

Hubungi Kami

UMS Kampus Antarabangsa Labuan
Jalan Sungai Pagar
87000 WP Labuan

+(60) 87 - 503 000
adminkal[at]ums.edu.my