Magnin Blog

Publish your news and thoughts with all.

Popular Articles

Recent Stories

Pegawai Kolej Komuniti Penampang Lawat UMSKAL

Pegawai Kolej Komuniti Penampang Lawat UMSKAL

SERAMAI 10 orang pegawai Kolej Komuniti Penampang (KKP) telah mengadakan Lawatan Penanda Aras ke Universiti Malaysia Sabah Kampus Antarabangsa Labuan (UMSKAL) pada 28 November 2024 (Khamis).

Lawatan berkenaan diketuai Pengarah KKP, Haji Kamal Ali.

Turut mengiringi beliau ialah Timbalan Pengarah, Corine Ahlai@Eric, Tuan Rakiza Tuan Mahmud, Dg.Nurshazana Daud, Nurhidayu Husin, Rukinah@Nanang Samuing, Mimi Tumbalon, Norfadzilatul Zaleha Khalid, Siti Sarjiah Juanis dan Mohd Faisal Jahari.
Ketibaan delegasi KKP disambut mesra oleh Ketua Pentadbiran UMSKAL. Zamri Mohammad Tuah, Ketua Sektor Pentadbiran dan Sumber Manusia (SPSM), Mas Adi Alimin dan Ketua Unit Korporat dan Antarabangsa, Ezawati Pungut.

Lawatan itu bertujuan untuk mendapatkan pengetahuan dan pengalaman serta amalan baik yang dapat dicontohi dari UMSKAL bagi meningkatkan kualiti dan prestasi dalam pengurusan Kolej Komuniti Penampang.

Program yang ditawarkan di Kolej Komuniti Penampang ialah Sijil Teknologi Senibina (STS) dan ⁠Sijil Pengoperasian Perniagaan (SPP).

Menerusi lawatan ini, kami mendapat pengetahuan dan pengalaman serta amalan baik yang dapat dicontohi daripada UMSKAL bagi meningkatkan kualiti dan prestasi dalam pengurusan Kolej Komuniti Penampang.

Beliau berkata demikian ketika memberikan taklimat di Bilik Mesyuarat Kiamsam UMSKAL.

Ketua Pentadbiran UMSKAL. Zamri Mohammad Tuah mengalu-alukan kunjungan dan kerjasama daripada KKP ke UMS Labuan.

Beliau yang mewakili Pengarah UMSKAL, Profesor Madya Dr. Mohamad Rizal Abdul Hamid mengucapkan terima kasih kepada KKP yang sudi melawat UMSKAL sambil berkongsi ilmu dan pengalaman.

Menerusi lawatan itu, dapatlah kedua-dua pihak bertukar-tukar ilmu pengetahuan dan pengalaman yang ada di UMSKAL dan KKP,”katanya.

Delegasi KKP turut melawat Pejabat Sektor HEP, Makmal Fakulti Komputeran dan Informatik (FKI) dan Perpustakaan.

Rombongan KKP teruja dengan pemandangan menarik WP Labuan dari Aras 13 sambil disantuni Pengarah UMSKAL, Profesor Madya Dr. Mohamad Rizal Abdul Hamid.

Hingga Berjumpa Lagi.

Tamat.

Lawatan Sambil Belajar Kategori Teras, Kepimpinan, dan Jati Diri Persatuan Mahasiswa FKAL Ke Indonesia

Lawatan Sambil Belajar Kategori Teras, Kepimpinan, dan Jati Diri Persatuan Mahasiswa FKAL Ke Indonesia

Labuan, 20 November 2024 – Fakulti Kewangan Antarabangsa Labuan (FKAL), Universiti Malaysia Sabah (UMS), telah berjaya menganjurkan program Lawatan Sambil Belajar Kategori Teras, Kepimpinan, dan Jati Diri ke tiga institusi terkemuka di Indonesia, iaitu Universitas Negeri Jakarta (UNJ), Komite Nasional Ekonomi dan Keuangan Syariah (KNEKS) Kementerian Keuangan Republik Indonesia, dan Universitas Telkom, Bandung. Program ini berlangsung selama enam hari, bermula dari 12 hingga 17 November 2024, dengan penyertaan 11 pelajar Persatuan Mahasiswa FKAL dan diiringi oleh dua pensyarah fakulti, Dr Noor Hassanah Husin dan Dr. Ricky Chia Chee Jiun.

Lawatan ini bertujuan untuk memperkukuh pengetahuan akademik, memantapkan nilai kepimpinan, serta meningkatkan jati diri para pelajar sebagai pemimpin masa depan. Di samping itu, ia juga berfungsi sebagai platform untuk merapatkan hubungan antara FKAL dengan institusi-institusi serantau.

Di Universitas Negeri Jakarta (UNJ), rombongan telah disambut dengan mesra oleh wakil fakulti, di mana diskusi ilmiah diadakan untuk meneroka potensi kerjasama akademik antara kedua-dua institusi. Perbincangan ini turut menyentuh peluang pertukaran pelajar yang bertujuan untuk memperkaya pengalaman pembelajaran antarabangsa. Selain itu, peserta juga didedahkan kepada program pembangunan pelajar di UNJ yang menekankan aspek kepimpinan dan keusahawanan, memberikan inspirasi kepada pelajar FKAL untuk memperkasakan potensi mereka sebagai pemimpin masa hadapan.

Sementara itu, lawatan ke Komite Nasional Ekonomi dan Keuangan Syariah (KNEKS) telah membuka ruang kepada peserta untuk memahami perkembangan terkini ekonomi dan kewangan Islam di Indonesia. Taklimat yang disampaikan oleh pakar-pakar KNEKS memberikan gambaran mendalam tentang inisiatif dan dasar strategik yang dirancang untuk memacu pertumbuhan ekonomi syariah di negara tersebut. Pendedahan ini amat relevan dengan aspirasi Malaysia sebagai hab kewangan Islam global, menjadikan pengalaman ini suatu pengetahuan berharga kepada semua peserta.

Di Universitas Telkom, peserta telah mengunjungi fakulti yang memfokuskan kepada teknologi dan inovasi dalam perniagaan. Lawatan ini diikuti dengan bengkel interaktif yang menarik, di mana peserta didedahkan kepada konsep transformasi digital dan kepimpinan dalam era globalisasi. Bengkel ini bukan sahaja memberi pencerahan tentang cabaran dan peluang dalam dunia perniagaan moden tetapi juga melengkapkan pelajar dengan pandangan baharu untuk bersaing dalam dunia digital yang pesat berubah.

FKAL berharap agar program seumpama ini dapat diteruskan pada masa akan datang sebagai langkah proaktif membentuk generasi pemimpin yang mampu memacu pembangunan ekonomi dan sosial serantau.

Menurut Dr. Ricky Chia Chee Jiun, lawatan ini adalah satu peluang unik untuk para pelajar memperluas pandangan mereka mengenai landskap ekonomi dan kewangan serantau. Sementara itu, Dr. Noor Hassanah Husin selaku Ketua Delegasi ke Indonesia, menekankan bahawa program ini bukan sahaja memperkukuh ilmu tetapi juga melatih pelajar dalam pengurusan diri, komunikasi, dan pemikiran strategik.

Menurut Chai Zhi Leng, Presiden Persatuan Mahasiswa FKAL merangkap Pengarah Program, lawatan ini adalah peluang yang luar biasa untuk para pelajar meningkatkan pengetahuan mereka di luar bilik kuliah.

"Program ini bukan sahaja memberikan kami pengalaman berharga dalam memahami landskap ekonomi, kewangan, dan teknologi di peringkat antarabangsa, malah mengajar kami tentang nilai kerjasama dan kepemimpinan. Kami sangat terinspirasi oleh pendekatan inovatif yang diterapkan di UNJ, KNEKS, dan Telkom Universiti, yang mampu kami jadikan contoh untuk memperkukuh visi serta misi persatuan mahasiswa FKAL di masa hadapan. Saya juga ingin mengucapkan terima kasih kepada FKAL, UMS, dan semua pihak yang menyokong perjalanan ini, menjadikannya suatu realiti bagi kami semua,” ujar beliau.

Peserta juga berpeluang merasai budaya tempatan melalui aktiviti-aktiviti luar kuliah yang dianjurkan sepanjang program. Ini sejajar dengan misi FKAL untuk melahirkan graduan yang holistik, kompeten, dan berdaya saing di peringkat antarabangsa.

FKAL berharap agar program seumpama ini dapat diteruskan pada masa akan datang sebagai langkah proaktif membentuk generasi pemimpin yang mampu memacu pembangunan ekonomi dan sosial serantau.

Untuk maklumat lanjut, sila hubungi:
Fakulti Kewangan Antarabangsa Labuan (FKAL)
Universiti Malaysia Sabah, Kampus Antarabangsa Labuan
Telefon: 087-460000 | Emel: Alamat emel ini dilindungi dari Spambot. Anda perlu hidupkan JavaScript untuk melihatnya.

TAMAT

Hari Terbuka FKAL Disambut Meriah

Hari Terbuka FKAL Disambut Meriah

HARI Terbuka Fakulti Kewangan Antarabangsa Labuan (FKAL) yang juga merupakan sebahagian daripada sambutan ulang tahun ke-30 Universiti Malaysia Sabah (UMS) disambut meriah.

Penolong Naib Canselor (Jaringan Industri dan Masyarakat) merangkap Pengarah Pusat Kolaborasi dan Libatsama Industri (PKLI) UMS, Prof. Dr. ChM. Ts. Coswald Stephen Sipaut @ Mohd Nasri berkata Hari Terbuka Fakulti Kewangan Antarabangsa Labuan (FKAL) bukan sahaja meraikan pencapaian FKAL tetapi juga peranan fakulti ini dalam memacu kecemerlangan pendidikan, keusahawanan dan pembangunan komuniti.

Katanya, Program UniMADANI di bawah geran UNIMadani, yang dikelola oleh Pusat Kelestarian Libatsama Masyarakat (PKLM) dengan sokongan dana Kementerian Kewangan Malaysia.

Geran ini telah memberi peluang kepada FKAL untuk melaksanakan pelbagai projek komuniti berimpak tinggi di WP Labuan, termasuk Projek Penanaman Cendawan di Kampung Sungai Bedaun oleh Dr. Emily Yapp Hon Tshin, Projek Kek Kebal (Kampung Kilan oleh Dr. Suzillah Sidek, Projek Ayam Penelur (Kampung Pohon Batu) oleh Ooi Ai Yee dan Projek Bagang Ikan Bilis (Kampung Pantai oleh Dr. Geoffrey Harvey Tanakinjal.

Beliau berkata Geran UNIMadani ini merupakan salah satu langkah strategik UMS untuk memastikan setiap inisiatif yang dijalankan mampu meningkatkan taraf ekonomi komuniti, menyemai semangat keusahawanan, dan memperkukuh jalinan antara universiti, masyarakat, dan industri.

“Sebagai Pengarah PKLI, saya amat berbangga dapat melihat program-program seperti ini menjadi contoh terbaik bagaimana UMS memanfaatkan geran UniMADANI untuk melaksanakan projek yang menyentuh kehidupan masyarakat secara langsung,”katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Hari Terbuka Fakulti Kewangan Antarabangsa Labuan (FKAL) Sempena Ulang Tahun Ke-30 UMS di Bilik Eureka, Bangunan Menara UMSKAL pada 21 November 2024.

Turut hadir Dekan Fakulti Kewangan Antarabangsa Labuan. Prof. Madya Dr. Geoffrey Harvey Tanakinjal, wakil Dekan FKI Prof. Madya Dr. Goh Say Leng. Pengerusi Kelab Belia Anak Layangan (KEBAL), TS. Ahmad Nazri Jamal dan State Client Relationship Manager Sabah, Bank Islam Malaysia Berhad, Melvin Ogos @ Mohd Yahya Nawid.

Pada majlis itu, Prof. Dr. ChM. Ts. Coswald dan Mohd Yahya menyaksikan Majlis Menandatangani Surat Niat antara UMS yang diwakili Prof. Madya Dr. Geoffrey bersama Kelab Belia Anak Layangan yang diwakili TS. Ahmad Nazri.

Kata beliau, FKAL juga terus memperkukuhkan usaha ke arah keusahawanan sosial melalui program seperti Labuanpreneur Living Lab, yang menyatukan pelbagai inisiatif di bawah satu platform untuk menyokong usahawan tempatan.

Inisiatif ini melibatkan program BMT-IPR, Asnafpreneur, UniMADANI, sekali gus menjadikan FKAL sebagai peneraju utama dalam pembangunan keusahawanan di WP Labuan.

“Kejayaan Fakulti Kewangan Antarabangsa Labuan adalah bukti kepada visi besar UMS untuk terus relevan dalam mendukung aspirasi nasional.

“Dengan gabungan usaha dari fakulti, pusat seperti PKLI dan sokongan komuniti, saya yakin FKAL akan terus menjadi pemacu perubahan positif,”katanya.

Turut diadakan pameran dan jualan daripada pihak industri dan peniaga tempatan.

Tamat.

Dr Hyginus Dinobatkan Ikon Alumni Pengurusan UMS 2024

Dr Hyginus Dinobatkan Ikon Alumni Pengurusan UMS 2024

PENGASAS dan Pengerusi Persatuan Penyelidikan, Inovasi dan Kreativiti Labuan (LaRIS) Dr Hyginus Lester Junior Lee telah dianugerahkan sebagai Ikon Alumni Pengurusan Universiti Malaysia Sabah (UMS) 2024, baru-baru ini.

Dr Hyginus percaya moto “Bertekad Cemerlang” UMS telah banyak memberi inspirasi dan motivasi kepadanya untuk terus melakar kejayaan dalam bidang kerjaya selepas tamat pengajian terutamanya dalam tugas sebagai jurulatih pakar di Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan dan sebagai Pengerusi LaRIS.

Beliau melanjutkan pelajaran di Institut Perguruan Bahasa-Bahasa Antarabangsa (kini IPG Kampus Bahasa Antarabangsa) dan Victoria University of Wellington, New Zealand dalam pengajaran bahasa Inggeris.

Dr Hyginus mendapat ijazah sarjana dalam bidang kurikulum dan pengajaran dari Universiti Utara Malaysia sebelum meneruskan pengajian kedoktoran di Universiti Malaysia Sabah dalam bidang pengurusan pendidikan di bawah seliaan Profesor Madya Dr Mohd Khairuddin Abdullah @ Jerry.

Tesis kedoktoran beliau memberi fokus kepada efikasi guru, keberkesanan pengajaran dan penggunaan Headcount dalam pencapaian murid.

Dr. Hyginus mengasaskan Persatuan Penyelidikan, Inovasi, dan Kreativiti Labuan (LaRIS) pada tahun 2019 dan sehingga kini sebagai pengerusi pengelola International Creativity and Innovation in Education for Language Teaching & STEM sejak 2016.

Beliau juga pengerusi pengelola Perhimpunan Hakim Inovasi Peringkat Kebangsaan (PHIK) sejak 2022 dan LaRIS National Creativity and Innovation Virtual Showcase peringkat kebangsaan.

Dr. Hyginus pernah dilantik sebagai Duta Negara oleh Center for Career and Professional Progression Organization Inc Filipina, ahli Lembaga Penasihat Intercultural & Global Engagement Center LLC, Northwest Indiana Amerika Syarikat, reviewer Universitas Bina Sarana Informatika Indonesia dan penyunting Persatuan Pengajaran Bahasa Inggeris Malaysia (MELTA). 

“Saya merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Pusat Alumni UMS atas pengiktirafan ini dan berharap dapat memberi sumbangan kepakaran kepada fakultinya dahulu,”katanya.

Sebanyak lapan anugerah diberikan kepada alumni yang telah menunjukkan pencapaian cemerlang dan boleh dijadikan inspirasi kepada alumni dan pelajar UMS.

Prof. Dr. Saw Phei Er dinobatkan Ikon Alumni Ideal, Prof. Dr Ahmad Zaharin Aris (Ikon Alumni Akademik).  Dr. Hyginus Lester Junior Lee (Pengurusan), Carla Goncalves De Oliveira Sarmento (Ikon Alumni Antarabangsa), Jasmi Rasit (Kesenian dan Kebudayaan), Azizul Julirin (Keusahawanan), Raymond Toh Meng Hui (Sukan) dan Nur Heliza Helmi (Kesukarelawanan),

Majlis Anugerah Ikon Alumni UMS yang diadakan di Hotel Hilton Kota Kinabalu pada 9 November lalu dirasmikan oleh Pengerusi Lembaga Pengarah UMS, Datuk Seri Panglima Abdul Rahman Dahlan dan Timbalan Naib Canselor, Hal Ehwal Pelajar dan Alumni UMS, Profesor Madya Dr Raman Noordin.

Turut hadir Pengarah Pusat Alumni UMS, Dr Arif @ Kamisan Pusiran, pengurusan tertinggi, kakitangan dan alumni.

Tahniah.

Tamat.

Hubungi Kami

UMS Kampus Antarabangsa Labuan
Jalan Sungai Pagar
87000 WP Labuan

+(60) 87 - 503 000
adminkal[at]ums.edu.my