Magnin Blog

Publish your news and thoughts with all.

Popular Articles

Recent Stories

FKAL dan KAPENAS Berbincang

FKAL dan KAPENAS Berbincang

18 OKTOBER 2024 (JUMAAT) – Mesyuarat pembentangan penemuan awal penyelidikan berkaitan kesatuan sekerja di Sabah dan W.P Labuan telah diadakan dengan jayanya di Universiti Malaysia Sabah, Kampus Antarabangsa Labuan (UMSKAL).

Mesyuarat yang bermula dari pukul 9.30 pagi hingga 11.30 pagi itu dihadiri oleh lima penyelidik dari Fakulti Kewangan Antarabangsa Labuan (FKAL) iaitu Dr. Sharinah Puasa, Dr. Rini Suryati Sulong, Dr. Nurhamizah Mumin @ Osman, Dr. Emily Yapp Hon Tshin dan Dr. Anath Rau Krishnan.

Hadir sama empat pegawai Kesatuan Kakitangan Petroliam Nasional Berhad (KAPENAS) W.P Labuan iaitu Mansyur Lakasa, Shahril Haji Raffiee, Denise Gregory dan M. Noradiman M. Jumat.

Projek penyelidikan ini merupakan kerjasama antara FKAL dan KAPENAS, yang bermula dari 1 Jun 2024 hingga 31 Disember 2024.

Pengumpulan data kuantitatif telah dilaksanakan pada penghujung bulan Jun hingga pertengahan bulan Ogos 2024, melibatkan bantuan daripada pihak KAPENAS serta sembilan enumerator yang dilantik untuk tujuan berkenaan.

Ketua Penyelidik, Dr. Sharinah Puasa dari FKAL, telah membentangkan penemuan awal data kuantitatif yang diperoleh.

Pembentangan itu menggariskan beberapa dapatan kajian yang penting berkaitan tahap pengetahuan dan kesedaran berkesatuan dalam kalangan pekerja bermajikan di Sabah dan W.P Labuan.

Perbincangan yang berlangsung lebih kurang dua jam di antara kedua-dua pihak telah menghasilkan pelbagai idea dan cadangan bernas untuk menambah baik kaedah serta strategi yang sedia ada.

Usaha ini diharapkan dapat meningkatkan kesedaran berkesatuan dalam kalangan pekerja bermajikan di kawasan terbabit.

Dengan kerjasama ini, diharapkan penemuan penyelidikan dapat memberi impak positif dalam memperkukuhkan kesatuan sekerja dan meningkatkan hak serta kesejahteraan pekerja di Sabah dan W.P Labuan.

Perbincangan dua hala.

Tamat.

UMSKAL Deepavali Night 2024 tonjol budaya kaum India

UMSKAL Deepavali Night 2024 tonjol budaya kaum India

18 OKTOBER 2024 (JUMAAT) - Pengarah Universiti Malaysia Sabah Kampus Antarabangsa Labuan (UMSKAL) Prof. Madya Dr. Mohamad Rizal Abdul Hamid merasmikan Program Deepavali Night 2024 di Dewan Utama UMSKAL .

Majlis dimeriahkan dengan kehadiran mantan Pengerusi Kongres India Malaysia Labuan, Datuk Ramasamy Rengasamy, Dekan Fakulti Kewangan Antarabangsa Labuan (FKAL), Prof. Madya Dr. Geoffrey Harvey Tanakinjal, Penyelaras Program Deepavali Night 2024, Dr. Anath Rau Krishnan dan Pengarah Program, Har Sarazir A/L Har Mahadzir.

Syabas Sekretariat Majlis Perwakilan Pelajar (SMPP) dan Kelab Sekretariat Kesenian, Kerohanian Dan Warisan India Malaysia (SEKWIM) yang berterusan memelihara dan mempromosikan warisan budaya masyarakat India.

Mahasiswa UMSKAL berpeluang mengetahui dan memahami adat dan budaya masyarakat India.

Program itu menonjolkan seni tradisional, amalan kerohanian dan nilai budaya selain makanan dan pakaian yang unik serta menarik.

Pelajar membuktikan kemampuan dan bakat mereka.

Tamat.

Empat Pensyarah FKAL Memperkasa Komuniti Kampung Sungai Bedaun Melalui Komuniti@UniMADANI

Empat Pensyarah FKAL Memperkasa Komuniti Kampung Sungai Bedaun Melalui Komuniti@UniMADANI

Komuniti Kampung Sungai Bedaun telah menyertai program gotong-royong dan menerima peralatan dan bungkah cendawan di bawah Program Pendayaan Komuniti@UniMADANI pada 12  Oktober 2024 (SABTU).

Program ini bertujuan untuk memindahkan ilmu dan teknologi untuk memperkasakan sosio-ekonomi komuniti menerusi penanaman cendawan di Perkebunan Rumah Cendawan Dewan Komuniti JPKK Kampung Sungai Bedaun.

Para peserta yang terlibat dalam gotong-royong merangkumi penduduk dan AJK Kg Sungai Bedaun.

Program ini bertujuan membantu menjana pendapatan tambahan untuk komuniti Kg Sungai Bedaun.

Sementara itu, misi utama pelaksanaan Program Pendayaan Komuniti Kementerian Kewangan - Universiti Awam (Komuniti@UniMADANI) adalah untuk meningkatkan peranan universiti awam dalam mendaya upaya komuniti seiring falsafah pembangunan MADANI oleh kerajaan.

Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan, Dato’ Seri Anwar Ibrahim dalam ucapan Belanjawan 2024 telah menyatakan komitmen kerajaan untuk menyediakan peruntukan kepada universiti awam bagi pelaksanaan program komuniti.

Melalui program penanaman cendawan ini, proses perbincangan dan penyerahan peralatan telah mula dilaksanakan bermula awal September kepada AJK Kg Sungai Bedaun bagi tempoh 4 bulan dan akan berakhir Disember depan.

Program ini dijalankan atas usaha sama penyelidik yang juga Pensyarah Kanan Fakulti Kewangan Antarabangsa Labuan (FKAL), Universiti Malaysia Sabah (UMS) yang diketuai Dr. Emily Yapp Hon Tshin bersama Dr. Nazarina Jamil, Dr. Sharinah Puasa dan Prof. Madya Dr. Lee Hock Ann yang mempunyai kemahiran serta kepakaran yang diperlukan.

Dr. Emily berkata matlamat projek ini adalah bagi meningkatkan kemahiran peserta komuniti dengan kaedah dan amalan baik penanaman untuk kebolehlaksanaan projek penanaman cendawan melalui pengurusan, penjagaan, pemasaran dan pengurusan kewangan yang betul kepada peserta komuniti untuk meningkatkan produktiviti dan kualiti hasil tanaman, meningkatkan penghasilan cendawan untuk penggunaan tempatan dan potensi pendapatan serta mempromosikan amalan pertanian mampan.

Sementara itu, Ketua Kampung Sungai Bedaun, Rosmani Puteh, mengucapkan terima kasih kepada kerajaan serta Universiti Malaysia Sabah atas bantuan yang diberikan.

Beliau yakin bahawa program ini mampu meningkatkan semangat kerjasama serta keupayaan ekonomi komuniti.

Turut hadir dalam gotong-royong itu adalah Pengarah Jabatan Pertanian Wilayah Persekutuan Labuan, Marysia Modingin yang merupakan rakan strategik dalam program berkenaan.

Marysia berkata beliau menyambut baik usaha kerajaan melalui universiti untuk melaksanakan program pendayaan komuniti ini.

Beliau menyeru komuniti untuk memberikan kerjasama penuh serta sokongan terhadap program ini agar ia dapat berjaya dan mencapai pertumbuhan ekonomi yang mampan.

Tamat.

50 Pensyarah Fakulti Komputeran dan Informatik Jayakan Seminar Akreditasi MBOT

50 Pensyarah Fakulti Komputeran dan Informatik Jayakan Seminar Akreditasi MBOT

SERAMAI 50 peserta yang terdiri daripada pensyarah Fakulti Komputeran dan Informatik (FKI) telah menghadiri Seminar Akreditasi Lembaga Teknologis Malaysia (MBOT) di Smart Classroom FKAL, Tingkat 1, Podium Menara Universiti Malaysia Sabah Kampus Antarabangsa Labuan (UMSKAL) pada 10 September 2024.

Seminar yang dianjurkan Pusat Jaminan Kualiti (CQA) Universiti Malaysia Sabah (UMS) dengan kerjasama Fakulti Komputeran dan Informatik (FKI) UMS itu dihadiri 30 pensyarah secara fizikal dan 20 lagi secara dalam talian.

Pengarah Pusat Jaminan Kualiti (CQA) Universiti Malaysia Sabah (UMS), Profesor Ir Dr Zainal Zakaria berkata seminar itu diadakan bertujuan untuk memberi pengenalan dan pendedahan berkenaan proses permohonan pengiktirafan Akreditasi daripada Badan Profesional MBOT.

“Seminar itu diadakan untuk memberikan penerangan tentang proses mendapatkan akreditasi daripada Lembaga Teknologis Malaysia (MBOT) untuk program sedia ada serta program baru yang bakal ditubuhkan di Fakulti Komputeran dan Informatik,”katanya.

Seminar yang diadakan dari pukul 9 pagi hingga 4.30 petang itu dikendalikan oleh Director Of TITAS MBOT, TS Dr Nor Aznan Mohd Nor.

Sementara itu, Dekan, Fakulti Komputeran dan Informatik, Prof. Madya Ts. Dr. Mohd Hanafi Ahmad Hijazi berharap pensyarah yang menghadiri seminar sehari itu akan menggunakan ruang dan peluang untuk meningkatkan ilmu dan kepakaran dalam bidang masing-masing.

“Kita akan terus mengadakan pelbagai program agar ia memberi manfaat kepada pensyarah dan kakitangan Fakulti Komputeran dan Informatik,”katanya.

Selain pembentangan oleh penceramah jemputan, seminar itu turut dijayakan dengan sesi soal jawab.

Dr. Mohd Hanafi tidak lupa mengucapkan terima kasih dan penghargaan kepada AJK Pelaksana yang menjayakan seminar berkenaan.

Tamat.

Hubungi Kami

UMS Kampus Antarabangsa Labuan
Jalan Sungai Pagar
87000 WP Labuan

+(60) 87 - 503 000
adminkal[at]ums.edu.my